Takut pada darah tidak bermakna anda tidak boleh derma darah. Selagi memenuhi kriteria penderma darah, anda boleh menyumbangkan darah anda.
Perbuatan altruistik tersebut sememangnya dipandang tinggi oleh masyarakat umum.
Mana tidaknya, anda berpotensi untuk menyelamatkan nyawa seseorang walaupun anda tidak terlibat secara langsung.
Apapun tanggapan negatif atau positif berkenaan dengan derma darah, anda perlu fahami sebab kenapa digalakkan untuk berbuat demikian terutamanya pada saat kritikal.
Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.
Darah, lebih kompleks daripada apa yang anda fikirkan
Rawatan menggunakan darah tidaklah seasing mana.
Pada suatu ketika dahulu, mungkin ia kelihatan kolot dan mengancam nyawa.
Setiap manusia mempunyai jenis darah berbeza dan jika proses transfusi melibatkan jenis darah yang tidak sesuai, individu tersebut berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi.
Setelah kita memasuki era kemajuan sains dan teknologi, prosedur invasif seperti pembedahan membuatkan permintaan darah semakin meningkat.
Tambahan pula, mereka yang mempunyai penyakit genetik seperti talasemia juga memerlukan jumlah darah yang banyak secara berkala.
Oleh yang demikian, kempen derma darah telah diadakan di merata tempat bagi menggalakkan orang ramai untuk tampil membantu mereka yang memerlukannya.
Setiap tahun, jumlah mereka yang menderma meningkat selaras dengan tahap kesedaran awam terhadap kepentingan menderma darah.
Ramai yang mulai sedar bahawa darah bukan sekadar sel darah merah semata-mata.
Pemikiran sebegitu tidak salah, namun tidak tepat.
Darah yang didermakan terdiri daripada 4 komponen utama yang dapat memberikan manfaat kepada pesakit:
- Sel darah merah
- Sel darah putih
- Sel darah kuning (platelet)
- Plasma darah
Secara amnya, mereka yang menderma akan diambil lebih kurang 450 ml namun ia boleh kurang atau lebih bergantung kepada kiraan berat badan anda.
Oleh sebab darah mempunyai banyak komponen berbeza, prosedur pendermaan juga berlainan mengikut apa yang dipersetujui oleh penderma.
Ada prosedur derma darah yang dikenali sebagai aferesis, pengambilan hanya platelet dan plasma.
Komponen selain daripada itu, akan dikembalikan semula ke dalam badan anda.
Anda mungkin berminat:
- 4 Perkara Yang Perlu Dielakkan Sebelum Menderma Darah
- 5 Fakta Mengejutkan Tentang Derma Darah
- Derma Darah Boleh Meningkatkan Kesihatan
Nampak kempen derma darah? Tunggu dulu, pastikan anda penuhi kriteria penderma darah
Bukan semua orang boleh derma darah. Pusat Darah Negara (PDN) telah menggariskan beberapa golongan yang dikira ideal dan memenuhi kriteria penderma darah:
- Kriteria penderma darah yang utama perlu berumur: 18-65 tahun yang pernah menderma, 18-60 tahun yang belum pernah menderma dan jika 17 tahun, perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.
- Berat badan minimum 45 kg.
- Tidur sekurang-kurangnya 5 jam sebelum menderma.
- Tiada masalah kesihatan.
- Makan sebelum menderma darah.
- Tidak pernah terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi (untuk mendapat jangkitan) seperti bertukar pasangan seks, homoseksual, biseksual, hubungan seks dengan pekerja seks komersial, berkongsi jarum atau anda merupakan pasangan kepada mereka yang melakukan mana-mana aktiviti berisiko.
- Jika anda pernah menderma darah, rekod kali terakhir perlu sekurang-kurangnya 3 bulan lepas.
- Kriteria penderma darah bagi wanita, anda tidak mengandung, sedang menyusukan anak atau mengalami pendarahan haid.
- Anda tidak boleh menderma darah sekiranya pernah tinggal di United Kingdom (UK) pada tahun 1980 hingga 1996 selama 6 bulan atau lebih (kiraan terkumpul) atau anda tinggal di negara di Eropah dari tahun 1980 hingga sekarang untuk 5 tahun atau lebih (kiraan terkumpul).
Kriteria penderma darah yang tersenarai mengambil kira risiko bagi penyakit bolehjangkit melalui produk darah tercemar.
Sebagai contoh, bagi kriteria 9, mereka yang menetap di UK atau Eropah pada tahun tertentu berisiko untuk menjadi pembawa penyakit lembu gila (bovine spongiform encephalopathy).
Jangkitan tersebut jika didiagnosis dan tidak dirawat dengan sebaiknya boleh menyebabkan masalah otak (neurodegeneratif).
Sudah tahu kriteria penderma darah di Malaysia, ini pula prosedur yang akan anda lalui sebelum derma darah
Anda perlu melalui prosedur yang lebih kurang sama apabila hendak mendaftar sebagai penderma darah di mana-mana kempen derma darah oleh PDN.
Borang pendaftaran (PDN3/2000/Pin 1 atau 2) perlu diisi dan dokumen seperti kad pengenalan dan buku penderma darah bagi penderma ulangan perlu diberi.
Jika semuanya selesai, pemeriksaan makmal akan dibuat dan darah anda akan dilihat pada aspek ujian hemoglobin dan jenis darah yang bakal diderma.
Sejarah perubatan akan diambil dan sebarang penyakit kronik akan direkodkan berserta dengan tahap risiko.
Kalau anda layak saringan tersebut, proses pengambilan darah akan dibuat oleh staf kesihatan terlatih.
Anda akan diberikan makanan dan minuman selepas selesai prosedur tersebut.
Walaupun prosedur derma darah boleh selesai dalam masa kurang daripada 10 minit, anda dinasihatkan untuk berehat sekurang-kurangnya 1 jam di tempat menderma.
Jika anda derma darah, badan anda akan menggantikan semula darah yang didermakan dalam tempoh masa 1 hingga 2 bulan.
Namun, jika anda menderma plasma, ia akan digantikan dalam tempoh masa 24 jam.
Konklusi
Individu yang layak menderma darah digalakkan untuk berbuat demikian demi kemudahan mereka yang memerlukan.
Bagi yang tidak memenuhi kriteria derma darah, jangan bersedih. Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk berbakti kepada masyarakat.
[embed-health-tool-bmi]