
Mesti anda pernah terbaca mengenai fakta anak ketiga. Apa pendapat anda, adakah ia benar atau tidak? Jom ketahui keperibadian anak nombor 3 yang mungkin tidak disedari.
Fakta anak ketiga
Terdapat banyak spekulasi mengenai keperibadian anak nombor 3 dalam urutan kelahiran. Namun adakah semua yang dinyatakan itu benar atau sekadar rekaan semata-mata?
Anak kelahiran ketiga ini bertuah kerana lahir dengan keadaan ibu bapa yang telah mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam membesarkan anak.
Maka keadaan ibu bapa adalah lebih tenang dan teratur apabila melibatkan isu seperti menukar lampin atau ruam lampin si kecil.
Kesannya, keperibadian anak nombor 3 dikatakan lebih tenang dan lebih mudah diuruskan. Mereka juga sering mendapat perhatian disebabkan sikap yang ceria.
Malahan berdasarkan fakta anak ketiga, mereka dikatakan cenderung tersenyum dan mempunyai senyuman yang menawan.
Walau bagaimanapun, si kecil ini juga mempunyai beberapa cabaran yang unik.
Anak yang lebih tua; sulung dan tengah akan lebih bersifat menuntut dan ia mengakibatkan si adik yang ketiga ini kurang diberikan perhatian.
Dahagakan perhatian
Akhirnya, anak ketiga ini akan cuba meraih perhatian dan berusaha untuk mendapatkannya.
Mereka mungkin akan menjadi penghibur keluarga dalam ikhtiar untuk menarik perhatian kepada dirinya sendiri.
Terdapat juga, keperibadian anak nombor 3 ini lebih terarah kepada tingkah laku yang negatif seperti gemar menjerit bagi memastikan fokus keluarga tertumpu kepadanya.
Cabaran lain yang sering dialami oleh anak ketiga yang selalunya menjadi anak bongsu adalah kerap dipinggirkan oleh adik-beradik yang lebih tua.
Tindakan tersebut membuatkan mereka lebih berusaha keras agar diterima abang atau kakaknya.
11 fakta anak ketiga yang menarik
Sebagai seorang adik, anak ketiga akan menganggap si abang atau si kakak mempunyai keperibadian atau karektor yang pelik dan berbeza.
Namun hakikatnya, keperibadian anak nombor 3 adalah yang paling pelik antara adik-beradiknya.
Adakah anda anak ketiga? Jika ya, mungkin anda boleh menilai sendiri fakta anak ketiga yang disenaraikan di bawah, sama ada kena dengan diri atau sebaliknya. Jom!
Berbeza
Personaliti anak ketiga dikatakan paling unik. Mereka sering melakukan perkara yang individu lain tidak akan lakukan.
Apa perkara yang pelik itu? Mungkin anda boleh bertanyakan kepada diri anda sendiri.
Garang tapi mengambil berat
Anak ketiga selalunya kurang senyum dan tampak sombong. Tetapi sekali dia senyum, cair individu yang melihatnya. Eceh, betul ke ni?
Anak ketiga ini juga dikatakan tidak gemar menunjukkan sikap ambil berat sebaliknya lebih menonjolkan karektor seorang yang gemar marah.
Namun, di sebalik kemarahan tersebut, sebenarnya itulah tanda kasih sayang. Marah-marah sayang tandanya ini!
Berhati tisu dan sensitif
Walaupun garang, anak nombor 3 ini mempunyai sifat kewaspadaan yang tinggi dan membuatnya lebih peka terhadap keadaan sekeliling.
Fakta anak ketiga yang lain adalah mereka juga mudah untuk menangis. Di depan individu lain, mereka dilihat sebagai seorang yang ceria.
Namun, hakikatnya mereka lebih gemar memendam perasaan dan emosi sendiri.
Gemar mengacau
Tepatlah apabila anak yang lahir nombor tiga ini dianggap sebagai penghibur keluarga.
Si nombor 3 ini gemar mengganggu adik-beradik yang lain terutamanya jika mereka sedang khusyuk melakukan tugasan masing-masing.
Antara abang dan kakak, percayalah si kecil akan lebih gemar mengusik kakaknya berbanding si abang. Kasihanlah dekat kakak!
Degil
Keperibadian anak nombor ini dipercayai sangat keras kepala.
Mereka sukar mendengar nasihat individu lain dan lebih kepada menurut kata hati dan pendirian diri sendiri semata-mata. Ish, betul ke ini?
Tidak ambil peduli
Katalah apa sahaja tentang mereka, selagi ia tidak menjejaskan kehidupan, anak ketiga ini tidak akan ambil kisah.
Terutamanya jika ia daripada individu yang tidak langsung mempunyai kaitan atau kepentingan dengan dirinya.
Janggal
Apabila disuruh melakukan sesuatu yang tidak pernah atau jarang dilakukan, mereka akan berasa kekok.
Anak ketiga mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri mereka.
Penyayang
Keperibadian anak nombor 3 ini, walaupun tampak garang, pemarah, panas baran dan sering dikatakan sombong tetapi pada dasarnya mereka adalah individu penyayang.
Mereka mudah disenangi oleh individu sekelilingnya kerana kuat mengusik dan bergurau walaupun pada hakikatnya mereka mungkin sedang berduka.
Perahsia
Antara fakta anak ketiga yang patut anda tahu adalah mereka dianggap sebagai seorang individu yang gemar berahsia.
Oleh sebab itu, segala kisah sedih atau duka tidak akan dikongsikan dengan individu lain. Mereka akan cuba memendamnya selagi terdaya.
Berdendam
Ini adalah antara keperibadian anak nombor 3 yang kurang bagus kerana mereka mempunyai sifat dendam yang tinggi.
Pada luaran, mungkin mereka tidak menunjukkannya namun, dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Janganlah begitu wahai anak ketiga!
Manja
Kebanyakan anak ketiga adalah anak bongsu, secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai seorang individu yang manja.
Anak ketiga dianggap sebagai pelengkap dalam sesebuah keluarga. Tidak kira apa tanggapan individu luar, ibu bapa dan adik-beradik yang lain pasti amat menyayangi dan mensyukuri dengan kehadiran anda dalam keluarga.
Bahkan, masa anda kecil, anda merupakan fokus perhatian mereka. Percayalah!
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.