
“Kesihatan ialah hak masyarakat, bukan satu keistimewaan,” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus yang menegaskan kepentingan untuk memastikan semua anggota masyarakat mendapat akses kepada penjagaan kesihatan tanpa mengira apa pun latar belakang mereka.
Tiada diskriminasi dalam urusan kesihatan
Apa pun kaum, taraf ekonomi atau pandangan politik seseorang, hak untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang baik sentiasa perlu diberikan. Dalam etika perubatan, walaupun pesakit ialah seorang musuh yang berisiko membawa mudarat kepada negara, beliau tetap perlu dirawat.
Seperti makanan sihat dan tempat tinggal yang baik, kesihatan merupakan asas bagi kehidupan seseorang. Tanpanya, masyarakat tidak akan dapat berkembang maju.
Peruntukan 29 bilion untuk sektor kesihatan dalam Belanjawan 2019 ialah satu langkah positif
Peruntukan ini ialah paling tinggi pernah diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Terdapat pertambahan sebanyak 2.5 bilion (7.8%) berbanding tahun lalu yang menerima 26.5 bilion. Ini merupakan satu langkah positif dalam memastikan hak penjagaan kesihatan dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah atau B40.
Walaupun, peruntukan duit bukanlah segala-galanya dalam pembangunan sektor ini, ia memainkan peranan yang besar.
Lebih daripada sekadar rawatan
Penjagaan kesihatan yang baik meliputi aspek yang luas bukan sekadar rawatan tetapi termasuk pencegahan, pembudayaan gaya hidup dan pemakanan sihat serta pendidikan yang betul mengenai kesihatan. Tahap kesihatan masyarakat tidak akan menjadi baik hanya dengan perkembangan rawatan serta penemuan ubat-ubatan baru. Apa yang lebih utama ialah langkah pencegahan melalui pemeriksaan kesihatan berkala, ujian saringan penyakit, dan gaya hidup sihat.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.