
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyediakan cadangan untuk mengawal harga ubat-ubatan di Malaysia melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Ia kini masih berada di peringkat awal.
Menurut Menteri Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, cadangan mengawal harga ubat tersebut adalah untuk menentukan harga maksimum bagi semua pengguna di semua farmasi dan pusat jualan ubat selari dengan standard amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
“Cadangan ini secara tidak langsung menyama rata harga ubat-ubatan dan memastikan ia mampu dibeli oleh rakyat. Kementerian sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah serta pemain industri dan pengamal perubatan,” kata Dr Dzulkefly kepada Charles Santiago (PH-Klang) yang bertanya tentang mekanisma yang diambil oleh kementerian berkenaan dalam mengawal harga ubat di Malaysia.
Santiago turut bertanya jika kementerian berniat untuk membantu industri tempatan sebagai usaha mengurangkan harga ubat.
Dr Dzulkefly berkata bahawa kerajaan juga membantu industri tempatan dan menambah bahawa kementeriannya sentiasa menggalakkan usaha menggunakan ubat-ubatan dalam sektor awam dengan harga berpatutan dengan mengutamakan ubat yang dihasilkan di dalam negara.
Beliau menegaskan bahawa pembelian ubat-ubatan oleh kementerian adalah berdasarkan prinsip akauntabiliti awam, nilai terbaik serta persaingan terbuka, sihat, dan adil.
Pembelian ubat dilakukan melalui tender terbuka dan pemilihan syarikat konsesi adalah berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Kementerian bersedia menyokong industri ubat-ubatan tempatan, malah mengutamakan pembelian ubat-ubatan yang dihasilkan di dalam negara. Pembelian ubat melalui import akan diambil kira hanya jika ia tidak boleh diperoleh dari dalam,” beliau berkata.
Pada tahun lepas, sebanyak 53.6% ubat generik telah dibeli dan 50.3% daripadanya dihasilkan di dalam negara.
Beliau menambah, keutamaan diberikan kepada hasil tempatan tetapi harganya mungkin lebih tinggi kerana hanya dihasilkan untuk kegunaan tempatan.
“Ekonomi skala tidak boleh dicapai menyebabkan ia tidak boleh bersaing dengan harga ubat generik dari luar negara. Kadangkala, harga ubat generik tempatan adalah lebih mahal kerana bahan mentah untuk menghasilkan ubat tersebut semuanya diimport dari luar negara.
“Kini, kita boleh lihat mengapa ubat generik tempatan susah untuk bersaing kerana ia tidak mempunyai pasaran eksport,” beliau berkata.
Menurut Dr Dzulkefly, kini terdapat 18 syarikat menghasilkan ubat generik dan 10 daripadanya ialah milik bumiputera. Beliau turut berkata bahawa kerajaan akan memastikan penghasilan ubat generik tempatan adalah selamat dan efisien melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.