
2018 merupakan tahun yang telah banyak mengubah landskap perubatan dan kesihatan di seantero dunia. Pelbagai penemuan baharu berbentuk ubat-ubatan, kaedah rawatan, vaksin dan teknologi perubatan ditemui dan diperbaharui bagi memastikan kesihatan masyarakat sejagat lebih terjamin. Di sebalik kejayaan semua ini, terdapat beberapa individu yang menjadi pencetus, pemacu dan pelaksana setiap usaha dan aspirasi berkaitan bidang perubatan dan kesihatan.
Di peringkat global, pelbagai kemajuan dalam bidang perubatan dan kesihatan telah dikecapi. Antara yang paling terkemuka di mata dunia adalah pencapaian dua pakar perubatan dalam bidang imunologi iaitu Dr. James Allison dan Dr. Tasuku Honjo. Dua individu ternama ini merupakan pemenang anugerah Nobel bagi kategori fisiologi atau perubatan pada tahun 2018. Mereka berjaya merangkul anugerah ini selepas berjaya menghasilkan asas kepada ubat-ubatan yang mampu merawat penyakit kanser yang sedia maklum tidak mempunyai sebarang penawar sebelum ini.
Di negara kita pula misalnya, telah lahir beberapa tokoh yang telah banyak memberi impak dan bakti kepada masyarakat bukan sahaja di Malaysia malahan di negara lain. Sebagai contoh, Dr Muhd Lutfi Fadil Lokman, pengasas dan pengarah Hospital Beyond Boundaries (HBB) telah mencipta suatu kemudahan hospitaliti kepada golongan yang kurang bernasib baik. Begitu juga Dr Afiq Rahim, seorang pegawai perubatan yang menyertai misi kemanusiaan menyelamat dan membantu mangsa-mangsa banjir di Kuala Krai dan Manik Urai. Mereka merupakan antara insan yang wajar bergelar hero dalam bidang perubatan dan kesihatan pada tahun ini.
Berikut merupakan sorotan hero perubatan dan kesihatan pada tahun 2018 yang telah banyak menyumbang jasa dan keringat mereka semata-mata demi memastikan kesihatan masayarakat sekeliling mereka lebih terjamin. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah, jasa dan sumbangan mereka dalam bidang perubatan dan kesihatan.
Dr. James Allison dan Dr. Tasuku Hojo, pemenang anugerah Nobel kategori fisiologi atau perubatan 2018
Dr. James Allison dan Dr. Tasuku Hojo masing-masing merupakan doktor perubatan dan pakar dalam bidang imunologi. Bersama, mereka merupakan pemenang anugerah Nobel kategori fisiologi atau perubatan pada tahun 2018.
Dr. James Allison merupakan seorang saintis dan pakar imunologi yang bertugas di Anderson Cancer Center, Amerika. Beliau juga merupakan pengarah Parker Institute for Cancer Immunotherapy. Selain dianugerahi anugerah Nobel, beliau juga pernah memenangi pelbagai anugerah termasuklah Canada Gairdner International Award pada tahun 2014 dan Louisa Gross Horwitz Prize juga pada tahun 2014. Beliau juga pernah menjadi ahli pelbagai organisasi seperti National Academy of Sciences pada tahun 1997, American Association for the Advancement of Science pada tahun 2006 serta National Academy of Medicine pada tahun 2007.
Dr. Tasuku Honjo juga merupakan seorang saintis dan pakar imunologi yang bertugas di Universiti Kyoto, Jepun. Beliau juga merupakan seorang profesor di jabatan imunologi dan perubatan genomik di Universiti Kyoto. Selain dianugerahi anugerah Nobel, beliau juga pernah memenangi pelbagai anugerah termasuklah Kyoto Prize pada tahun 2016 dan Keio Medical Science Prize juga pada tahun 2016. Beliau juga pernah menjadi sekutu U.S. National Academy of Sciences pada tahun 2001 serta pernah menjadi ahli German National Academy of Sciences pada tahun 2003 serta Japan Academy pada tahun 2005.
Anugerah ini tidak diperolehi dengan mudah. Kedua-dua tokoh ini mengambil masa yang sangat lama untuk berusaha menjadikan impian mereka kenyataan. Kajian yang mula dilakukan oleh mereka pada abad ke 90-an ini sebenarnya menjadi titik tolak kepada kemungkinan terciptanya ubat-ubatan penyakit kanser ini berdasarkan konsep imunoterapi.
Kejayaan mereka dalam mencipta asas kepada ubat-ubatan penyakit kanser yang umum mengetahui tidak mempunyai penawar amat mengagumkan. Pencapaian ini merupakan titik tolak kepada kemungkinan terhasilnya sejenis ubat-ubatan yang mampu menyembuhkan penyakit kanser yang kini terlihat semakin membimbangkan.
Dr. Muhd Lutfi Fadil Lokman, pengasas Hospital Beyond Boundaries
Dr. Muhd Lutfi Fadil Lokman merupakan salah seorang daripada 17 orang yang dipilih oleh United Nations bagi menerima Anugerah Pemimpin Muda. Anugerah ini diberikan ekoran daripada usaha dan aspirasi beliau untuk membina sebuah hospital yang mampu memberi bantuan perubatan dan kesihatan kepada golongan yan kurang tidak berkemampuan.
Idea ini tercetus ketika beliau sedang di dalam tahun pertama pengajian di Bandung, Indonesia lagi. Di sana, beliau seringkali menyaksikan ketidakadilan antara golongan yang kaya dengan golongan yang miskin dari segi rawatan perubatan dan kesihatan. Pada ketika itu, beliau nekad untuk menjadi seorang doktor pakar dan ingin menabur bakti kepada masyarakat.
Pada tahun ketiga pembelajarannya, beliau membuka Hospital Beyond Boundaries, sebuah klinik di Phnom Penh, Kemboja yang ditubuhkan bertujuan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan perubatan dan kesihatan. Sehingga kini, seramai 13 orang kakitangan profesional dalam pelbagai bidang sedang berkhidmat di hospital tersebut dan ribuan individu yang kurang berkemampuan telah dibantu untuk mendapatkan rawatan.
Beliau merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik dan datang daripada keluarga yang juga berlatarbelakangkan bidang perubatan. Bapanya merupakan seorang pakar bedah telinga, hidung dan tekak manakala ibunya pula merupakan seorang ahli farmasi yang telah bersara. Latar belakang keluarga yang luas dalam bidang perubatan dan kesihatan ini sebenarnya merupakan titik tolak buat Dr Muhd Lutfi Fadil Lokman dalam menceburi bidang perubatan dan kesihatan ini yang ternyata memerlukan lebih ramai lagi individu yang hebat dan berjiwa besar seperti beliau.
Dr. Afiq Rahim, pegawai perubatan dan penyelamat mangsa banjir di Kelantan
Dr. Afiq Rahim merupakan seorang pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Badang, Kota Bharu. Beliau dikenali masyarakat umum sebagai seorang pegawai perubatan yang sangat berani kerana berhasil menyelamatkan mangsa-mangsa tragedi banjir yang terjadi di Kuala Krai dan Manik Urai, Kelantan pada tahun 2014.
Kejadian itu kemudiannya dibukukan di dalam buku yang berjudul “I Need A Helicopter: My Patient is Dying! Episod Cemas Banjir Besar 2014”. Buku ini menceritakan tentang segala perihal yang berlaku kepada petugas dan mangsa banjir. Setiap peristiwa dan situasi diceritakan dengan penuh sisi duka, derita dan jerih-perih yang dilalui oleh petugas dan mangsa banjir tatkala banjir mula menghanyutkan segala yang ada di depan mata mereka.
Antara peristiwa yang paling menyayat hati diceritakan oleh beliau adalah beliau dan jururawat terpaksa menyambut kelahiran bayi di klinik yang menempatkan mangsa-mangsa banjir yang cedera akibat helikopter penyelamat tidak dapat sampai tepat pada waktu dan tiada jalan darat yang boleh dilalui untuk dilalui oleh ambulan.
Selain itu juga, peristiwa yang sangat mendukacitakan beliau adalah ketika beliau sedang merawat seorang pesakit yang mengalami pendarahan teruk akibat menderita kanser rahim. Tanpa sebarang peralatan dan ubat bius, beliau terpaksa merawat pesakit itu demi menyelamatkan nyawanya. Kemudian, dengan pantas beliau menghubungi helikopter untuk membawa pesakit itu ke HUSM di Kubang Kerian. Tetapi malangnya, helikopter itu ditahan kerana mahu digunakan oleh individu ternama untuk meninjau keadaan banjir.
Beliau merupakan seorang pegawai perubatan yang sangat berani dan tidak takut untuk menyatakan ketidakadilan yang berlaku akibat kuasa dan pangkat. Beliau sewajarnya dianggap sebagai salah seorang hero perubatan dan kesihatan yang terkemuka di bumi Malaysia.
Tuntasnya, 2018 merupakan tahun yang sangat penting dan bersejarah dalam bidang perubatan dan kesihatan di seantero dunia. Pelbagai kemajuan telah dicapai dan banyak kemudahan telah diperbaharui bagi menjamin kehidupan masyarakat yang lebih sihat. Diharapkan, tahun 2019 akan lebih mendatangkan impak yang positif terhadap perkembangan dunia perubatan dan kesihatan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.