
Laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menemui bahawa negara paling miskin di dunia boleh menjana USD 350 bilion menjelang tahun 2030 dengan meningkatkan pelaburan dalam pencegahan dan rawatan penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung yang hanya memerlukan biaya tambahan sebanyak USD 1.27 setahun bagi setiap individu. Langkah tersebut mampu menyelamatkan lebih 8 juta nyawa dalam tempoh yang sama.
Laporan tersebut menunjukkan bahawa setiap USD 1 tambahan yang dilaburkan dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah akan memberikan masyarakat sekurang-kurangnya USD 7 dalam bentuk peningkatan pekerjaan, produktiviti dan umur yang lebih panjang.
“Mesej penting daripada laporan ini ialah sangat optimis. Menangani NCD ialah satu peluang untuk meningkatkan kesihatan dan ekonomi,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Jika semua negara mengambil langkah ini, dunia akan bergerak hampir ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3.4 untuk mengurangkan kematian pramatang disebabkan oleh NCD kepada satu pertiga menjelang tahun 2030. Antara langkah paling kos efektif ialah meningkatkan cukai rokok dan alkohol, mengurangkan pengambilan garam melalui formulasi semula produk makanan, memberikan vaksin HPV kepada wanita berumur 9 hingga 13 tahun dan ujian saringan kanser serviks dalam kalangan wanita 30 hingga 49 tahun.
Negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah menanggung beban kematian awal disebabkan oleh NCD: hampir separuh (7.2 juta) daripada 15 juta orang yang mati setiap tahun di peringkat global antara umur 30 dan 70 tahun ialah daripada negara miskin. Namun, dana yang disalurkan untuk NCD terlalu rendah iaitu kurang daripada 2 peratus daripada keseluruhan dana kesihatan.
Untuk setiap USD 1 yang dilaburkan dalam setiap dasar, hasil yang diperoleh ialah seperti berikut:
- USD 12.82 daripada promosi pemakanan sihat.
- USD 9.13 daripada mengurangkan penyalahgunaan alkohol.
- SUD 7.43 daripada pengurangan penggunaan rokok.
- USD 3.29 daripada penyediaan ubat-ubatan untuk penyakit kardiovaskular.
- USD 2.80 daripada peningkatan aktiviti fizikal.
- USD 2.74 daripada pengurusan kanser.
NCD membunuh 41 juta orang setiap tahun yang merangkumi 71 peratus kematian di peringkat global dan angka tersebut semakin meningkat. Apa yang lebih membimbangkan, keadaan ini secara khususnya banyak menjejaskan keluarga yang berpendapatan rendah memandangkan rawatan memerlukan kos yang tinggi serta tempoh yang panjang. Ia seterusnya memaksa keluarga tersebut hidup dalam kemiskinan dan menyekat pembangunan yang sihat.
Tajuk laporan tersebut ialah “Selamatkan Nyawa, Kurangkan Belanja: Satu Respon Strategik Terhadap NCD” yang membawa mesej jelas kepada kerajaan dan pihak swasta serta korporat dalam bersama-sama membantu mengangani isu ini.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.