
Membantu pengguna membuat pilihan makanan yang sihat adalah kunci utama untuk mencegah kanser, kata Profesor Ellen Kampman, Profesor dalam bidang Pemakanan dan Penyakit di Universiti Wageningen.
Dalam pembentangan tentang kajian Pemprofilan Nutrien dan Risiko Kanser yang dibuat oleh Pemprofilan Nutrien dan Risiko Kanser oleh Siasatan Prespektif Eropah pada Kanser dan Pemakanan (Epic), pihak berkuasa politik mempertimbangkan pelaksanaan sistem pelabelan mudah, iaitu pemprofilan nutrien untuk menunjukkan kualiti pemakanan sesuatu produk makanan.
Menurutnya, pemprofilan nutrien adalah kaedah saintifik untuk menaksir kualiti pemakanan pada makanan dan minuman, yang boleh digunakan untuk menggalakkan matlamat diet kesihatan awam.
Katanya lagi, penggunaan Nutri-Skor telah dipilih sebagai label pek pemakanan rasmi yang dilaksanakan di Perancis pada tahun 2017. Justeru, kajian dibuat untuk mencari kaitan antara Nutri-Skor individu dengan risiko kanser, yang dijalankan dalam kajian Epic, melibatkan 10 negara di Eropah.
“Kiraan Nutri-Skor dibuat melalui dua aspek iaitu tahap makanan/ minuman dan tahap individu. Untuk tahap makanan/ minuman, kami labelkan pemakanan lima-warna mengikut Sistem Pemprofilan Nutrien Agensi Standard Makanan British, di mana setiap makanan/ minuman dikira mengikut 100g kandungan iaitu tenaga, gula, asid lemak tepu, sodium, serat, protein dan buah/sayur/kekacang.
“Untuk tahap individu pula, kami mengambil kira pengambilan diet seperti jenis makanan/ minuman dan kuantiti,” ujarnya semasa Kongres Kanser Dunia 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pagi tadi.
Kampman menambah, kiraan Nutri-Skor dibuat dengan pengiraan skor; iaitu semakin tinggi skor, semakin rendah kualiti pemakanan.
Dalam dapatan kajian tersebut, beliau berkata, pengambilan produk makanan dengan tinggi Skor Pemprofilan Nutrien (rendah kualiti pemakanan) adalah dikaitkan dengan tinggi risiko penyakit, termasuklah penyakit kanser, obesiti, sindrom metabolik dan penyakit kardiovaskular (jantung).
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.