
Jika anda kerap dengar mengenai kelab bola sepak terkemuka yang mengungguli tangga teratas liga dan memenangi banyak trofi pelawanan seperti Barcelona, Real Madrid, Manchester City, dan Liverpool, ada satu anugerah yang mungkin tidak pernah didengari sebelum ini, iaitu pasukan kelab sepak paling hijau di dunia.
Kelab tersebut ialah Forest Green Rover. Kelab yang berpusat di Nailsworth, Gloucestershire, England ini bermain di Liga Dua Inggeris yang merupakan liga tangga ke-4 dalam sistem bola sepak Inggeris. Ia mungkin bukan pasukan terbaik dari sudut permainan bola sepak tetapi apa yang mereka berjaya lakukan ialah luar biasa.
Pada tahun 2010, kelab ini memulakan strategi untuk menjadi kelab bebas karbon dan telah memberikan pendidikan serta kesedaran kepada pemain dan peminatnya tentang alam sekitar.
Antara usaha yang dilakukan untuk mengurangkan tapak kaki karbon (carbon footprint), iaitu jumlah karbon dioksida yang dikeluarkan ke atmosfera hasil dari aktiviti sesuatu organisasi atau kumpulan, termasuk menggunakan pemotong rumput robotik yang menjana kuasa dari tenaga solar
Apa lagi perkara yang dilakukan oleh Forest Green Rover sehingga dinobatkan oleh PBB sebagai kelab bebas karbon pertama?
Anugerah yang diterima tidak datang bergolek dengan mudah. Ia merupakan hasil usaha kerjasama dari semua pihak termasuk pengurusan, pemain, dan peminat.
Pertama, kelab bola sepak ini telah melakukan perubahan signifikan terhadap stadiumnya, The New Lawn. Stadium ini mendapat janaan kuasa 100% dari tenaga solar melalui panel solar yang dipasang di bumbung stadium dan pintu masuk.
Kelab ini juga menyediakan menu makanan vegan kepada pemain dan peminat di hari pelawanan. Makanan biasa yang dihidangkan di stadium seperti sosej, burger, dan kentang koreng tidak lagi ditemui di kelab ini.
Selain itu, alat pengecas kereta turut disediakan bagi memudahkan dan menggalakkan penggunaan kereta eletrik yang lebih mesra alam sekitar. Terdapat juga khidmat pengangkutan ke stadium bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Bukan itu sahaja, rumput yang dipotong digunakan oleh petani tempatan sebagai kompos, air hujan di sekeliling stadium dikumpul dan digunakan semula, dan minyak masak yang telah digunakan dikitar semula menjadi bahan bakar bio (biofuel).
Setakat ini, antara pencapaian Forest Green Rover ialah:
- Mengurangkan tapak kaki karbon sebanyak 3% sejak 2017.
- Pada tahun 2016/17, lebih 8% air dari bekalan air utama dikitar semula.
- Pada musim 2017/18, sebanyak 14.7% bahan buangan berjaya dikurangkan.
Apa yang kita boleh pelajari dari kelab bola sepak ini?
Tiada halangan untuk kita anda melakukan perubahan terhadap alam sekitar. Sama ada di peringkat individu atau kumpulan, sentiasa ada ruang untuk melakukan sesuatu.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.