
Antara topik perdebatan hangat ketika berlangsungnya Kongres Kanser Dunia di hari kedua ini adalah persoalan mengenai kebebasan dan kredibiliti persatuan kanser jika bekerjasama dengan industri farmaseutikal atau pengeluar ubat.
Sesi debat yang menampilkan Prof. Richard Sullivan dari King’s College yang menentang usul tersebut dan Subhanu Saxena dari Yayasan Bill dan Melinda Gates yang bersetuju dengan usul tersebut.
Ketika hujah pembukaan menyokong usul, Subhanu Saxena menegaskan bahawa sektor kesihatan awam harus mengamalkan budaya inovasi dan inovasi boleh dicapai menerusi kerjasama strategik antara pelbagai pihak.
“Saya masih ingat satu kajian mengenai immunoterapi bagi rawatan kanser bukan sahaja dapat memberikan satu sinar kepada pesakit kanser malah kepada kajian HIV/AIDS, di mana kajian antara-disiplin kanser dan HIV/AIDS turut memberi manfaat kepada pesakit HIV/AIDS dengan rawatan yang lebih bersasar,” kata Subhanu.
Selain itu, Subhanu juga berkongsi bagaimana kerjasama di antara syarikat pengeluar ubat Hepatitis C membantu memberi capaian kepada ubat yang lebih efektif bagi menentang penyakit tersebut di India. Jika sebelum ini, hanya 100 ribu pesakit Hepatitis C mempunyai capaian terhadap ubat untuk Hepatitis C, namun menerusi kerjasama strategik, tambahan 50 ribu lagi pesakit menerima manfaat kerjasama tersebut.
Subhanu juga menerangkan bahawa pokok pangkal kerjasama di antara persatuan dan industri farmaseutikal sebenarnya terserah kepada kepimpinan. Jika pemimpin sesuatu persatuan bertegas mengenai hala tuju persatuan mereka dan apa yang mereka perjuangkan, sudah pasti industri akan lebih memahami serta menghormati pendirian mereka. Maka, kerjasama yang terhasil juga akan membawa lebih banyak manfaat berguna kepada penerima manfaat persatuan dan kerjasama tersebut.
Nada berbeza pula dinyatakan oleh Prof. Sullivan. Menurut beliau, usul debat ini bukan untuk memberi kritikan terhadap sifat industri farmaseutikal, yang sememangnya harus membuat keuntungan kerana di akhirnya, mereka adalah sebuah perniagaan dan harus untung.
Namun di sisi yang berbeza, jika dilihat menerusi perspektif sejagat, Prof Sullivan menegaskan memberi capaian kepada rawatan kanser yang berkesan dan murah adalah asas kepada hak asasi setiap manusia.
“Lihat sahaja sekarang, jurang di antara masyarakat yang tidak mampu dan mampu mendapatkan rawatan kanser semakin membesar. Mereka yang tidak mampu mendapatkan rawatan, dibiarkan terus menderita tanpa rawatan. Akhirnya bukan kanser yang membunuh mereka, tapi kekangan kewangan sebenarnya, “ tambah Prof Sullivan lagi.
Begitu juga halnya mengenai sumbangan dermawan (philantrophist) yang dikatakan hanya bertumpu kepada kajian saintifik dan perubatan terbaru dalam kaedah rawatan kanser. Menurut Prof. Sullivan hanya kira-kira 2 peratus dari jumlah keseluruhan derma untuk sesuatu penyakit pergi kepada persatuan yang memperjuangkan isu-isu kesedaran dan advokasi mengenai sesuatu penyakit seperti kanser. Sedangkan kempen kesedaran dan advokasi mengenai kawalan dan pencegahan penyakit juga sama penting dengan ‘kembara mencari penawar penyakit.’ Bukankah, mencegah itu lebih baik daripada mengubati?
Mungkin terdapat persoalan mengenai jika dana disalurkan kepada kajian perubatan, sekurang-kurangnya manfaatnya lebih kepada pemberi dana kerana terdapatnya peluang komersialisasi di situ.
Ketika menggulung hujah, Subhanu menerangkan sememangnya terdapat pemain-pemain industri yang berpaksikan keuntungan semata di luar sana. Turut senada dengan Prof. Sullivan, Subhanu bersetuju bahawa industri farmaseutikal adalah satu perniagaan dan bukan badan kebajikan, tapi itu bukan bermakna kerjasama yang positif dan memberi manfaat kepada semua tanpa mengetepikan nilai-nilai kemanusiaan tidak dapat dijalankan. Ini kerana, matlamat utama kewujudan semua pihak adalah untuk membantu memberi rawatan kepada pesakit.
Paling penting, para pemimpin di kedua-dua belah pihak, persatuan dan industri harus duduk bersama dan bersatu membincangkan apakah cara yang lebih adil dan telus agar capaian rawatan kepada pesakit tidak menjejaskan kebebasan dan kredibiliti kedua-dua pihak.
Ketika mengakhiri hujahnya, Prof Sullivan mencadangkan agar mekanisme amalan ketelusan (good governance) di antara industri dan persatuan harus diletakkan seawal kerjasama. Isu-isu utama dalam kerjasama, manfaat serta bidang keberhasilan utama (KPI) harus dinyatakan secara telus tanpa hanya menekan sesuatu pihak sahaja.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.