
Pada 22 Disember 2018 yang lalu, kita dikejutkan dengan bencana tsunami yang melanda saudara kita akibat letusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda selepas gempa bumi dan tsunami di Palu dan Lombok pada September lalu. Sehingga hari ini, kematian yang dicatatkan telah mencecah lebih 400 orang dan lebih 1000 orang dilaporkan mengalami kecederaan.

Pada tahun 2004, ombak besar tersebut juga melanda Aceh dan meragut 226,000 nyawa. Dengan jumlah kematian yang sangat besar, bagaimana sebenarnya tsunami membunuh?
Hentakan langsung dari ombak tsunami dan lemas menjadi punca utama
Kelajuan ombak ini adalah sangat tinggi dengan purata kelajuan 700 kilometer sejam dan ketinggian sehingga 30 meter. Dengan kelajuan dan ketinggian sebegini, tidak mustahil ia boleh menghancurkan bangunan besar dan dinding batu.
Hentakan langsung ke atas tubuh seseorang boleh menyebabkan kematian selain kecederaan tidak langsung dari batu-bata yang pecah.
Selain itu, lemas juga menjadi sebab utama kematian. Ombak yang besar dan laju menyukarkan mangsa untuk menyelamatkan diri, lebih-lebih lagi apabila deras ombak tersebut turut membawa sisa-sisa bangunan, pokok dan objek lain yang hancur.
Kerosakan pada infrastruktur dan sistem keselamatan turut mengancam nyawa
Kehilangan tempat tinggal dan infrastruktur utama seperti hospital, kedai makan, dan sistem perpaipan menjejaskan kualiti hidup sehingga boleh mengancam banyak nyawa.
Kekurangan bekalan air bersih dan makanan mengundang kepada pelbagai keadaan kesihatan seperti jangkitan kuman dan malnutrisi.
Tsunami menyebabkan sumber air bersih di sungai, tasik, dan takungan air bercampur dengan air masin. Garam dari air laut juga boleh mencemarkan kesuburan tanah dan menyebabkan tanaman gagal tumbuh selama bertahun-tahun. Tambahan pula, aliran ombak tsunami yang besar dan kuat boleh merosakkan tebing bukit serta membuatkan jalan raya menjadi tidak stabil dan bahaya.
Semua ini menambah lagi kesan negatif ke atas penduduk di kawasan terbabit.
Mencegah tsunami merupakan satu perkara yang mustahil. Namun, mengesan dan membuat jangkaan awal boleh menyelamatkan banyak nyawa dari terkorban.
Semoga mangsa tsunami di Selat Sunda diberikan kemudahan atas musibah yang berlaku.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.