
Tahun 2018 bakal melabuhkan tirai beberapa hari sahaja lagi. Dunia telah menyaksikan banyak inovasi dan revolusi dalam pelbagai bidang. Tidak ketinggalan juga ialah bidang perubatan yang sentiasa berkembang dengan sangat laju. Dalam artikel ini, mari lihat 7 penemuan perubatan utama sepanjang tahun 2018.
1. Teknologi drone meningkatkan khidmat kesihatan
Drone merupakan alat terbang yang dikawal dari jauh tanpa memerlukan pemandu. Teknologi ini telah lama digunakan, khususnya dalam peperangan sejak abad ke-19. Dalam beberapa tahun belakangan ini, teknologi drone semakin mendapat tempat dalam kegunaan bidang lain seperti pembinaan, pengangkutan, pertanian, keselamatan, hiburan dan media, insuran, telekomunikasi, dan perlombongan.
Anda mungkin boleh membayangkan barang yang anda beli secara atas talian tidak lagi dihantar oleh pegawai pos tetapi melalui drone. Bukan itu sahaja, teknologi ini juga mungkin akan digunakan secara meluas dalam bidang perubatan untuk tujuan menghantar barang seperti darah, biopsi, dan vaksin. Terkini, kerajaan Vanuatu di lautan Pasifik Selatan menjadi negara pertama berjaya menghantar vaksin melalui drone.
Ia membuka ruang kepada halangan yang sering dihadapi dalam memberikan khidmat kesihatan di kawasan-kawasan terpencil. Satu hari nanti, defribillator juga mungkin dihantar melalui drone sebagai respon kepada panggilan kecemasan 999 untuk menyelamatkan pesakit serangan jantung.
2. Pil ubat yang ditelan dikawal melalui telefon

Satu lagi penemuan perubatan yang menarik tahun ini ialah pil mengandungi ubat yang dikawal melalui telefon pintar. Pil tersebut telah dicipta oleh penyelidik di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Draper, dan Bringham & Women’s Hospital.
Pil berbentuk Y ini boleh diisi dengan ubat berbeza dan turut mengandungi alat pengesan untuk mengenal pasti sebarang perubahan pada keadaan perut dan usus pesakit. Semua maklumat tersebut seterusnya dihubungkan ke telefon pintar pesakit atau doktor melalui teknologi Bluetooth tanpa wayar.
Lebih menarik lagi, kadar pelepasan ubat dari pil tersebut juga boleh dikawal melalui telefon pintar. Oleh itu, doktor boleh melepaskan ubat pada dos tertentu mengikut keadaan pesakit melalui maklumat yang diperoleh dari alat pengesan pada pil tersebut.
3. Bacaan gula melalui kanta sentuh

Saintis dan penyelidik di Ulsan National Institute of Science and Technologi (UNIST), Korea telah mencipta kanta sentuh untuk mengesan bacaan gula melalui air mata. Teknologi ini bakal membantu kaedah mengesan gula bagi penghidap diabetes tanpa perlu mengambil darah melalui suntikan jarum.
Kanta sentuh tersebut mengandungi alat elektronik boleh lentur dan lutsinar yang mampu memantau bacaan gula melalui air mata. Idea mengesan bacaan gula melalui air mata pernah diterokai sebelum ini tetapi gagal kerana masalah gangguan pada penglihatan.
Bagi menyelesaikan masalah ini, penyelidik di UNIST menggunakan elektrod yang diperbuat dari bahan mudah lentur dan lutsinar mengandungi pegesan gula yang menghantar isyarat elektrik kepada diod pemancar cahaya (LED). Dengan menggunakan sumber tenaga tanpa wayar, ia tidak mengganggu penglihatan.
Jika bacaan gula melebihi kadar normal, isyarat akan dihantar menyebabkan lampu LED berhenti menyala.
Teknologi ini walau bagaimanapun masih belum diuji pada manusia tetapi menunjukkan hasil yang baik pada arnab. Dalam beberapa tempoh lagi, penyelidik berkenaan menjanjikan kanta sentuh tersebut sedia digunakan oleh manusia.
4. Bacaan ECG melalui jam pintar
Perkembangan teknologi banyak membantu bidang perubatan secara khusus. Tahun ini, syarikat Apple melancarkan jam tangan pintar siri ke-4 (Apple Watch Series 4) yang mengandungi aplikasi membuat bacaan elektrokardiogram (ECG) mirip bacaan menggunakan satu kabel lead elektrokardiogram.
Elektrod yang diletakkan di bahagian belakang jam tersebut mengesan impuls elektrik jantung bagi mengenal pasti sebarang aktiviti elektrik tidak normal disebabkan beberapa keadaan jantung seperti irama jantung tidak sekata (atrial fibrillation). Semua bacaan tersebut boleh disimpan dalam memori dan dikongsikan dengan doktor sebagai rujukan.
Teknologi mudah alih seperti ini membantu doktor mengesan dan memantau penyakit jantung dengan lebih efisen.
5. Bayi pertama lahir dari rahim yang dipindahkan

Seorang wanita di Brazil menjadi wanita pertama berjaya melahirkan bayi hidup selepas menerima pemindahan rahim dari penderma meninggal dunia. Wanita tersebut menghidap keadaan tanpa rahim sejak lahir, dikenali sebagai sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH).
Pada bulan September tahun 2016 semasa berusia 32 tahun, wanita tersebut menerima pemindahan rahim di University of São Paulo, Brazil dari seorang penderma yang meninggal dunia disebabkan pendarahan otak.
7 bulan selepas pemindahan rahim, embrio berjaya ditanam di dalam rahim melalui kaedah tabung uji (IVF). Pada 15 Disember 2018 (hampir minggu ke-36 kehamilan), seorang bayi perempuan berjaya dilahirkan dengan sihat melalui pembedahan caesarean.
Pemindahan rahim telah dijalankan sejak tahun 2014 tetapi tiada kes kelahiran bayi hidup berjaya dilaporkan. Kejayaan ini bakal menjadi satu lonjakan dalam merawat masalah kehamilan berkait dengan rahim.
6. Kanser bakal mempunyai vaksin
Penyelidik di Stanford University mengatakan bahawa mereka sedang menjalankan percubaan klinikal terhadap pesakit kanser kelenjar (limfoma) untuk menguji rawatan yang berpotensi menjadi vaksin kepada kanser. Rawatan tersebut melibatkan suntikan agen perangsang sistem imun ke dalam tumor pepejal.
Dalam percubaan ke atas tikus, ia berjaya menghapuskan semua sel kanser termasuk yang telah merebak (metastasise) ke bahagian lain. Agen perangsang tersebut mengaktifkan sel T di dalam tumor yang mampu melawan serta menghapuskan sel-sel kanser.
Jika percubaan ke atas manusia berjaya, ia berpotensi merawat pelbagai jenis kanser berbeza.
7. DBS sebagai rawatan baru strok
Deep brain stimulation (DBS) atau rangsangan otak dari dalam merupakan kaedah rawatan baru bagi strok. Rawatan ini melibatkan penempatan elektrod DBS pada otak pesakit melalui pembedahan. Rangsangan elektrik diberikan melalui elektrod terbabit membantu proses pemulihan di samping rehabilitasi.
Percubaan klinikal pertama ke atas wanita berusia 59 tahun menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Penemuan ini memberi peluang kepada pesakit strok untuk pulih dan mengurangkan kebergantungan mereka kepada orang lain.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.