Ibu bapa sering mengabaikan masalah anak bantut kerana selama ini pendedahan tentang malnutrisi atau tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak kurang diperkatakan.
Namun, sejak data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 melaporkan sebanyak 21.2 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut, isu yang meruncing ini mula mendapat perhatian ibu bapa di luar sana.
Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang masalah tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak, termasuk makanan untuk anak bantut dan cara mengatasi masalah bantut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Masalah anak bantut kian meruncing
Bayangkan, satu daripada lima kanak-kanak di bawah usia 5 tahun di negara kita mengalami masalah tumbesaran terbantut. Mengejutkan!
Ramai ibu bapa yang tidak sedar bahawa anak mereka mengalami masalah kebantutan, ekoran ada yang menganggap anak pendek secara semula jadi disebabkan faktor keturunan.
Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azriyanti Anuar Zaini berkata, inilah cabaran yang dihadapi oleh pakar pediatrik dalam menangani isu anak bantut.
Menurutnya, ramai ibu bapa yang lambat sedar bahawa anak mereka mengalami masalah tumbesaran terbantut.
“Antara kes yang kita terima, anak sudah berusia 10 tahun, 12 tahun, malahan ada yang sudah mencecah 17 tahun baru hendak dibawa untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Waktu ni dah terlambat.
“Kita sarankan ibu bapa datang lebih awal jika ada kesangsian tentang tumbesaran anak. Kalau tengok anak berbeza ketinggian dengan rakan sebaya mereka, cepat-cepat bertindak datang jumpa pakar yang betul untuk kanak-kanak,” katanya.
Beliau ditemui semasa perbincangan panel mengenai penyelesaian pemakanan kanak-kanak sempena Hari Pemakanan Sedunia anjuran Danone, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Pemakanan & Sains Inovasi Global Danone, Dr Yvonne Yee Siang Tee.
Tanda anak bantut
Menurut Dr Azriyanti, cara terbaik untuk mengesan tanda anak bantut adalah membandingkan ketinggian anak dengan rakan sebaya, adik-beradik dan sepupu-sepupu mereka.
Katanya, jika anak didapati termasuk golongan yang terendah di dalam kelas, maka ibu bapa boleh segera bertindak membawa anak berjumpa pakar.
Selain itu, ibu bapa juga boleh bandingkan ketinggian anak dengan adik-beradiknya yang lain. Contoh, ketika umur si abang 7 tahun, adakah ketinggian si adik ini sama dengan abangnya sewaktu umur 7 tahun.
Begitu juga dengan sepupu-sepupunya yang berada dalam lingkungan umur yang sama.
Nasihatnya juga, sentiasa merujuk carta tumbesaran kanak-kanak yang disediakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memantau ketinggian anak.
Dr Azriyanti turut menyeru ibu bapa dan penjaga untuk membawa anak mereka berjumpa pakar kanak-kanak khususnya bagi memeriksa tumbesaran anak sekurang-kurangnya sekali atau dua kali setahun.
Tip elak tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak
Dr Azriyanti berkata, faktor keturunan memang menyumbang kepada masalah anak bantut.
Akan tetapi, faktor pemakanan atau nutrisi memainkan peranan yang besar untuk tumbesaran anak. Lebih-lebih lagi sewaktu lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak.
“Tiga perkara utama yang berperanan penting dalam tumbesaran kanak-kanak adalah pemakanan, tidur yang cukup dan juga aktiviti fizikal. Tapi di Malaysia, tiga faktor ini tidak seimbang.
“Biasanya ibu bapa berikan nasi dan lauk telur, portion protein ini masih belum cukup untuk tumbesaran anak walhal protein amat penting untuk anak membesar. Mereka yang mengambil protein haiwan akan mempunyai tumbesaran yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Antara protein yang disarankan untuk diberikan kepada kanak-kanak adalah protein daripada haiwan seperti daging merah dan juga protein berasaskan tumbuhan.
Tiga faktor utama yang menyumbang kepada tumbesaran kanak-kanak yang sihat:
- Pemakanan
- Waktu tidur yang mencukupi
- Aktiviti fizikal
Tambah Dr Azriyanti lagi, ibu bapa perlu melatih anak untuk makan dengan kerap termasuk memberi snek sihat antara sela waktu makan.
Selain itu, cara mengatasi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak adalah dengan mendidik anak tentang amalan pemakanan yang sihat.
Tabiat pemakanan yang baik penting dalam mendidik anak mengamalkan pemakanan yang sihat. Misalnya, elakkan bermain gajet sewaktu makan dan meluangkan masa untuk makan bersama keluarga.
Tidur dan aktiviti fizikal membantu tumbesaran anak
Selain faktor pemakanan, waktu tidur yang mencukupi turut menyumbang kepada tumbesaran kanak-kanak.
Ibu bapa juga perlu menggalakkan kanak-kanak melakukan aktiviti fizikal seperti skipping, berjalan dan melompat.
Dr Yvonne turut menambah, ibu bapa perlu menyediakan diet seimbang untuk anak yang mengandungi bijirin penuh, pengambilan susu setiap hari, kerap menawarkan snek berkhasiat kepada anak, selain mempertimbangkan pemberian suplemen oral.
Dalam majlis yang sama, Danone turut mengumumkan tajaan kajian keberkesanan 1kcal/ml suplemen nutrisi oral seperti Dugro Sure PLUS dalam menyokong 50% tumbesaran pantas dalam kalangan kanak-kanak usia 2-5 tahun yang mengalami kesukaran pemakanan.
Danone juga bekerjasama dengan Monthly Index Medical Specialities (MIMS) dalam Projek Intervensi Tumbesaran Danone, yang bertujuan untuk menerokai bagaimana Formula Catch-up Growth, seperti Dugro Sure Plus memberi kesan kepada tinggi dan berat kanak-kanak di Malaysia.
[embed-health-tool-bmi]