Malunya puting payudara tenggelam sebelah! Aduh, macam mana ni? Normal ke kalau puting tenggelam sebelum kahwin atau adakah ia tanda penyakit yang serius?
Jika anda sedang mencari jawapan, anda berada di tempat yang betul!
Puting tenggelam merupakan satu kondisi yang menyebabkan puting payudara termasuk ke dalam dan bukannya ke luar. Walaupun nampak luar biasa, kondisi ini merupakan sesuatu yang lazim berlaku.
Lelaki atau wanita, kedua-duanya boleh mengalami masalah puting tenggelam. Malah, ada yang alami puting payudara tenggelam sebelah sahaja.
Selalunya, masalah puting tenggelam hanyalah satu masalah kosmetik. Ia tidak akan menyebabkan sebarang masalah kesihatan. Walaupun begitu, wanita yang mempunyai puting tenggelam mungkin sukar untuk menyusukan anak.
Malah, jika anda mempunyai masalah ini sejak dahulu lagi, besar kemungkinan ia bukanlah tanda penyakit.
Namun, jika puting anda asalnya normal serta perlahan-lahan berubah dan menjadi tenggelam, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin. Ini merupakan salah satu simptom kanser payudara dan perlu diperiksa oleh pakar.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Puting tenggelam sebelum kahwin, adakah ia normal?
Payudara merupakan bahagian yang intim bagi wanita.
Oleh sebab itu, kaum Hawa yang mengalami masalah puting tenggelam pasti rasa gusar dan rendah diri, terutamanya jika mereka masih belum berkahwin.
Menurut statistik, hampir 2-10% wanita mempunyai masalah puting tenggelam. Malah, ada juga yang mempunyai puting payudara tenggelam sebelah sahaja.
Buat wanita di luar sana, jangan risau jika anda alami masalah ini. Ia bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai bentuk puting ini sejak lahir. Malah, kondisi ini juga boleh berlaku kepada lelaki!
Buat masa ini, doktor juga setuju bahawa tidak ada keperluan untuk merawat masalah puting tenggelam.
Walaupun begitu, puting tenggelam yang berlaku disebabkan penyakit lain perlu diperiksa oleh pakar secepat mungkin.
Jadi, berjumpalah doktor jika anda mengalami sebarang perubahan yang abnormal pada kawasan payudara. Pemeriksaan awal dapat menyelamatkan nyawa.
Punca puting payudara tenggelam sebelah
Bagi mereka yang mengalami puting tenggelam, pasti anda tertanya-tanya mengenai punca sebenar masalah ini berlaku.
Selalunya, mereka yang mempunyai puting tenggelam mengalami kondisi ini sejak lahir.
Kondisi ini mungkin berlaku disebabkan kelenjar susu yang tidak berkembang sepenuhnya atau dasar puting bersaiz kecil sejak dari dalam kandungan lagi.
Walau bagaimanapun, ada juga individu yang alami masalah puting payudara tenggelam ketika dewasa. Kondisi ini merupakan sesuatu yang merisaukan kerana ia mungkin berlaku disebabkan penyakit tertentu.
Baca juga:
- Rasa Ragu Tentang Puting Payudara Sebab Saiz, Warna & Bentuk Berubah? Ini Alasannya!
- Peliknya, Kenapa Puting Susu Rasa Sakit? Ini 9 Punca Utama Di Sebaliknya!
Antara punca puting payudara tenggelam ialah:
1. Masalah umur
Ketika kita berusia 30 tahun ke atas, bentuk payudara akan mula berubah. Malah, kelenjar susu juga akan memendek apabila wanita menghampiri menopaus. Sebab itulah, puting payudara mereka mula tenggelam.
Namun, jangan lupa, apabila wanita semakin berusia, risiko untuk menghidap kanser payudara juga semakin meningkat.
Oleh sebab itu, jika anda mempunyai sebarang perubahan dari segi bentuk payudara, dapatkan pemeriksaan pakar secepat mungkin.
2. Sedang menyusukan anak
Jika anda sedang menyusukan anak, puting wanita berisiko untuk menjadi tenggelam. Ini mungkin disebabkan luka pada kelenjar susu ketika proses penyusuan.
Bukan itu sahaja, pembedahan dan juga sebarang kecederaan di sekitar kawasan payudara juga boleh menjadi punca puting payudara tenggelam sebelah.
Tidak dinafikan, sama seperti bentuk badan wanita, rupa puting juga berbeza.
Walau bagaimanapun, wanita yang mempunyai puting tenggelam sejak lahir mungkin akan alami masalah ketika menyusukan anak.
Oleh sebab itu, ibu perlu lebih bersabar ketika menyusu kerana bayi akan alami kesukaran untuk menghisap puting.
3. Puting payudara tenggelam sebelah tanda menghidap penyakit mammary duct ectasia
Mammary duct ectasia merupakan satu kondisi yang lazimnya berlaku pada wanita yang berusia 45 hingga 55 tahun.
Ia merupakan satu penyakit benign (bukan kanser) yang berlaku apabila kelenjar susu pada kawasan payudara mengembang dan menjadi keras. Kondisi ini menyebabkan saluran tersebut terhalang dan mengalami keradangan.
Selain puting tenggelam, penyakit ini juga boleh menyebabkan:
- Kawasan puting menjadi merah.
- Buah dada lembut apabila disentuh.
- Mengeluarkan cecair yang berwarna hitam, hijau atau putih.
4. Jangkitan bakteria (mastitis)
Bakteria boleh memasuki kelenjar susu dan menyebabkan jangkitan.
Kondisi ini turut dikenali sebagai mastitis dan amat lazim dalam kalangan wanita yang baru sahaja bersalin atau sedang menyusukan anak.
Jika puting payudara tenggelam sebelah disebabkan mastitis, ada beberapa simptom lain yang mungkin berlaku seperti:
- Buah dada yang kemerahan, sakit dan sering rasa hangat.
- Keluarnya cecair yang berdarah.
- Rasa ketulan di sebalik puting.
Mastitis boleh sembuh dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, doktor akan melakukan ultrasound untuk menentukan punca sebenar ketulan yang dialami.
4. Kanser payudara
Jika puting payudara tenggelam, ia mungkin merupakan tanda kanser. Selain itu, ada beberapa simptom lain seperti:
- Muncul ketulan pada payudara.
- Ada perubahan pada kulit payudara.
Doktor mungkin menggunakan pelbagai prosedur untuk melakukan diagnosis termasuklah ujian payudara, mamogram, ultrasound, biopsi dan MRI.
Rawatan pula bergantung pada tahap kanser payudara yang dialami. Antara opsyen yang boleh pesakit ambil adalah dengan melakukan pembedahan atau terapi untuk membuang kanser tersebut.
[embed-health-tool-ovulation]