backup og meta

Kerap Sakit Belakang? AWAS, Ini 7 Punca Yang Boleh Menyerang Kaum Hawa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/10/2023

    Kerap Sakit Belakang? AWAS, Ini 7 Punca Yang Boleh Menyerang Kaum Hawa

    Terdapat beberapa punca sakit belakang bagi wanita yang cenderung dialami seiring peningkatan usia. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Punca sakit belakang bagi wanita

    Terdapat beberapa keadaan sakit belakang adalah lebih biasa dan eksklusif berlaku kepada wanita.
    Amnya, masalah berkaitan sakit belakang akan terjadi pada usia selepas menopaus – melebihi 50 tahun.

    Berikut beberapa punca biasa sakit belakang yang berpanjangan pada wanita:

    1. Disfungsi sendi sacroiliac, antara punca sakit belakang bagi wanita

    Keadaan melibatkan rasa sakit pada sendi sacroiliac (SI) yang menghubungkan bahagian bawah tulang belakang ke pelvis. 

    Wanita biasanya mempunyai luas permukaan sendi SI lebih kecil berbanding lelaki. Ini mengakibatkan kepekatan tekanan lebih tinggi pada seluruh sendi.

    Tulang belakang (sacrum) juga lebih lebar, tidak rata, kurang melengkung dan lebih condong ke belakang pada wanita – yang boleh menyebabkan masalah pada sendi SI.

    Disfungsi sendi SI juga boleh menyebabkan gejala seperti sciatica, selain simptom berikut:

    • Sakit pinggang bawah
    • Rasa nyeri dan menyucuk pada bahagian atas punggung
    • Sensasi sakit pada bahagian bawah paha – biasanya tidak melepasi lutut

    Rasa sakit ini biasanya meningkat semasa duduk, baring mengiring pada bahagian terjejas dan/atau menaiki tangga.

    2. Sindrom piriformis

    punca sakit belakang bagi wanita

    Merupakan sakit yang berpunca daripada kekejangan pada otot piriformis – otot besar yang terletak jauh di bahagian punggung. Wanita lebih berisiko mengalaminya akibat hormon dan perubahan berkaitan kehamilan pada pelvis.

    Piriformis syndrome sering mengakibatkan kerengsaan atau tekanan pada saraf sciatic, menyerupai kesakitan sciatica – rasa sakit, lemah, kebas dan kesemutan pada kaki.

    Sindrom ini boleh menyebabkan gejala seperti:

    • Kesakitan kronik pada bahagian pungung dan pinggul dan bertambah sakit dengan pergerakan pinggul
    • Rasa sakit apabila bangun daripada katil
    • Tidak boleh duduk lama
    • Sakit pada bahagian belakang paha dan kaki

    Gejalanya biasa akan menjadi lebih baik apabila berbaring terlentang.

    3. Osteoartritis tulang belakang

    Haus dan lusuh (wear & tear) artritis (osteoartritis) pada sendi facet – sendi yang menghubungkan vertebra – adalah lebih cenderung terjadi seiring peningkatan usia dan/atau berat badan.

    Osteoartritis tulang belakang menyebabkan kerosakan rawan pada sendi facet. Tanpa kusyen yang disediakan tulang rawan, tulang boleh bergesel dan mengakibatkan kesakitan.

    Gejala yang mungkin berkembang adalah:

    • Sakit pada bahagian atas atau bawah belakang, pangkal paha, punggung dan paha
    • Kebas dan sakit belakang pada waktu pagi
    • Kesakitan yang teruk sekali-sekala

    Kesakitan mungkin bertambah apabila mengalami tekanan luar dan/atau lega apabila membengkokkan tulang belakang ke depan.punca sakit belakang bagi wanita

    Salah satu punca sakit belakang bagi wanita #4. Spondylolisthesis degeneratif

    Berlaku apabila tulang belakang tergelincir (slips) akibat degenerasi (kemerosotan). Keadaan ini lebih kerap berlaku pada wanita selepas menopaus kerana tahap estrogen lebih rendah.

    Apabila estrogen rendah, terdapat peningkatan degradasi cakera vertebra dan melonggarkan ligamen yang memegang vertebra – mengakibatkan ketidakstabilan tulang belakang.

    Keadaan ini boleh mengembangkan gejala seperti:

    • Sakit belakang bawah dengan nyeri pada bahagian kaki
    • Sakit semasa berjalan, apabila saraf tunjang dimampatkan

    Kesakitan berkurangan apabila membongkok ke hadapan.

    5. Coccydynia (sakit tulang ekor), punca sakit belakang bagi wanita

    Biasanya terjadi disebabkan trauma dan kerap dialami wanita kerana perbezaan dalam bentuk dan sudut pelvis serta kecederaan semasa bersalin.

    Tulang ekor berfungsi sebagai penyokong penahan berat semasa duduk. Kecederaan kawasan ini boleh menyebabkan kesakitan semasa:

    • Duduk
    • Menyandar belakang semasa duduk
    • Duduk di permukaan keras
    • Bangun daripada postur duduk

    Kesakitan ini biasanya hilang secara tiba-tiba apabila anda berdiri. Anda mungkin perlu duduk dan condong ke depan atau duduk pada sebelah punggung pada satu-satu masa untuk mengelakkan rasa sakit.

    Baca juga:

    6. Retak tulang belakang osteoporosis

    Apabila ketumpatan tulang berkurangan, menjadikan ia rapuh dan terdedah kepada patah tulang – keadaan ini disebut osteoporosis.

    Osteoporosis berlaku apabila kadar kehilangan tulang lebih tinggi berbanding pembentukan tulang baru, sekali gus menjadi punca sakit belakang bagi wanita.

    Osteoporosis boleh menyebabkan sakit tulang, tetapi lebih kerap menyebabkan keretakan mampatan pada tulang belakang akut. Patah mampatan tulang belakang boleh menyebabkan:

    • Sakit belakang akut dan setempat yang biasanya berlaku pada bahagian tengah belakang atau kawasan antara bahagian tengah dan bawah
    • Kesakitan mungkin merebak ke hadapan dan dikelirukan dengan masalah jantung atau paru-paru

    Bergantung pada tahap keterukan, keadaan ini menyebabkan kecemasan perubatan.

    Punca sakit belakang bagi wanita #7. Endometriosis

    Merupakan penyakit ginekologi yang hanya menyerang wanita. Ia menyebabkan tisu rahim tumbuh di luar rahim. Gejala yang boleh dialami:

    • Kitaran haid yang menyakitkan dengan rasa sakit pada pelvis dan bahagian bawah perut yang teruk
    • Sakit pada bahagian kemaluan
    • Sakit pinggang terutamanya semasa haid

    punca sakit belakang bagi wanita

    Waspada dengan gejala

    Punca sakit belakang wanita mungkin dialami tanpa dapat dikenal pasti penyebabnya. 

    Perubahan biasa dalam kitaran hayat, termasuk kehamilan, kelahiran bayi, ketidakseimbangan hormon, pertambahan berat badan (khususnya bahagian perut) boleh mencetuskan rasa sakit belakang.

    Sekiranya kesakitan yang dialami menjejaskan aktiviti harian anda, lakukan pemeriksaan doktor bagi mengenal pasti dan merawat puncanya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan