Lelaki, Sila BERHENTI Kencing Berdiri & Jangan Malas Atau Lupa Cuci Zakar!

    Lelaki, Sila BERHENTI Kencing Berdiri & Jangan Malas Atau Lupa Cuci Zakar!

    Kebanyakan di tandas-tandas awam yang disediakan untuk kaum Adam menggunakan tempat membuang air berdiri (urinal bowl). Tetapi bagus ke cara lelaki kencing berdiri ini?

    Pertama, adakah terdapat sebarang kesan terhadap kesihatan jika anda kencing berdiri atau duduk?

    Kedua, memandangkan kebanyakan pengguna urinal bowl ini jarang sekali membasuh kemaluan mereka setelah membuang air, adakah terdapat juga apa-apa kesan jika individu tidak mencuci kemaluan setelah kencing?

    Mungkin ada di antara kita, terutama lelaki yang pernah melakukan salah satu daripada dua perkara berikut. Tenang, dan mari kita cari apa jawapan di sebalik dua persoalan ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Habit Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Cara lelaki kencing berdiri, ada sebarang kesan atau tidak pada kesihatan?

    cara lelaki kencing

    Menurut Dr. Jamin Brahmbhatt, seorang Pakar Urologi dan Profesor di University of Central Florida College of Medicine, lelaki mungkin perlu kencing dalam keadaan duduk sekiranya prostat mereka bersaiz besar.

    Ini kerana, kencing duduk boleh membantu merehatkan otot pelvis, yang mana ia akan membantu air kencing untuk keluar dengan lebih mudah.

    Kajian dari Leiden University Medical Centre pula menyatakan, kencing dengan cara duduk membolehkan aliran air kencing dikeluarkan dengan lebih kuat, dan ini membantu melegakan simptom hipertrofi prostat benigna peringkat awal.

    Kajian tersebut turut menyatakan bahawa, apabila kita berdiri, kita mengaktifkan otot yang berada di sekitar abdomen bawah, pelvis dan juga tulang belakang. Ini menghalang kita untuk kencing dengan lebih baik.

    Cara lelaki kencing berdiri buatkan diri lebih kotor!

    Kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli fizik yang diketuai oleh Prof Tadd Truscott dan juga Randy Hurd menyatakan, kencing berdiri boleh meningkatkan halaju air kencing tersebut secara signifikan. Apakah kesannya?

    Ia menjadikan anda lebih mudah terkena percikan air kencing dan tandas menjadi kurang bersih dan dipenuhi dengan bakteria.

    Kaedah kencing berdiri ini bukan sahaja lebih mengotorkan tandas, malah membuatkan tubuh dan pakaian anda turut menjadi kotor.

    Cara lelaki kencing berdiri menggalakkan anda untuk tidak mencuci kemaluan

    cara lelaki kencing

    Kebanyakan mangkuk kencing berdiri ini (urinal bowl) berfungsi sebagai tempat untuk anda membuang air kencing dengan segera tanpa perlu menanggalkan seluar dan boleh dilakukan dengan berdiri sahaja.

    Selain itu, mangkuk kencing ini juga biasanya tidak menyediakan sebarang paip atau punca air untuk anda mencuci kemaluan anda.

    Aliran air yang ada pada mangkuk ini hanyalah bertujuan untuk membersihkan mangkuk tersebut daripada air kencing sahaja, bukannya disediakan untuk mencuci kemaluan anda.

    Oleh sebab itu, ramai yang membuang air kecil di mangkuk ini sememangnya jarang sekali untuk mencuci kemaluan mereka sama ada dengan menggunakan air mahupun tisu.

    Baca juga:

    Apakah kesan jika saya tidak mencuci kemaluan setelah membuang air kecil?

    Jangan terkejut kerana cara lelaki kencing berdiri ini boleh membawa kesan kepada kemaluan anda.

    Antara kesannya jika tidak mencuci kemaluan setelah kencing adalah kegatalan boleh berlaku pada zakar.

    Selain itu, jika individu tidak mencuci kemaluan dengan kerap setiap hari, maka smegma akan terbentuk.

    Smegma ialah sejenis bahan pelincir semula jadi yang kelihatan seperti keju, dan bertindak memastikan zakar sentiasa berada dalam keadaan lembap. Ia akan terbentuk pada bahagian kepala zakar dan juga di bawah kulup jika individu tersebut tidak bersunat.

    Apa yang berlaku jika smegma ini terbentuk?

    Zakar anda semestinya akan memiliki bau yang kurang enak. Selain itu, kulup zakar anda juga akan menjadi sukar untuk digerakkan.

    Paling membimbangkan, lokasi di mana smegma ini terbentuk turut akan menjadi tempat pembiakan bagi bakteria.

    Jika smegma telah terbentuk, ia juga akan menyebabkan keradangan pada bahagian kulit yang berada di sekitarnya.

    Ini akan menbuatkan individu berasa tidak selesa selain boleh menyebabkan satu keadaan lain yang disebut sebagai balanitis.

    Balanitis adalah satu keadaan di mana kepala zakar berubah warna menjadi kemerah-merahan dan meradang.

    Apa yang sepatutnya saya lakukan sekarang?

    cara lelaki kencing

    Jika anda mula mengamalkan amalan kebersihan seperti yang sepatutnya, anda akan dapat mengelakkan diri daripada sebarang perkara yang tidak diingini seperti risiko jangkitan dan juga bau yang tidak menyenangkan daripada kemaluan anda.

    Untuk mengelakkan cara lelaki kencing berdiri, cuba untuk masuk ke tandas dan mula membuang air kecil dalam keadaan duduk atau mencangkung.

    Elakkan penggunaan mangkuk kencing di tandas awam. Setelah membuang air kecil, basuhlah zakar anda dengan air bersih dan gunakan sabun yang bersifat lembut jika ada.

    Setelah itu, pastikan anda mengeringkan kawasan kemaluan dengan menggunakan tisu atau kain sebelum mula memakai semula seluar.

    Ini untuk mengelakkan sebarang jangkitan kulat yang mungkin berlaku pada zakar anda.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/07/2022

    Iklan
    Iklan
    Iklan
    Iklan