“Alamak, kenapa ada kesan coklat dekat seluar dalam ni?” Buat wanita di luar sana, keputihan yang abnormal merupakan satu masalah yang boleh membuatkan kita menjadi panik. Tetapi, apakah punca keputihan berdarah dan bolehkah kita mengelakkannya?
Keputihan atau cairan vagina merupakan sesuatu yang normal. Ia terdiri daripada kombinasi sel dan cecair dari badan yang keluar melalui faraj. Selalunya, keputihan berwarna putih susu atau jernih tanpa sebarang bau yang kuat.
Walau bagaimanapun, kuantiti keputihan boleh berubah mengikut kitaran haid seorang wanita. Namun, jika keputihan bercampur dengan darah atau berwarna pelik, ini mungkin tanda penyakit!
Sebagai wanita, anda perlulah cakna mengenai sebarang perubahan yang berlaku pada badan. Mari ketahui punca keputihan berdarah dan bila anda perlu berjumpa doktor.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Keputihan berdarah tanda penyakit?
Kenapa keputihan ada darah? Kenapa ada spotting darah?
Kadangkala, normal untuk wanita mengalami keputihan yang bercampur dengan darah, lebih-lebih lagi jika menghampiri tempoh haid.
Namun, jika keputihan tersebut tanda penyakit, anda mungkin bakal mengalami beberapa simptom lain seperti:
- Perut rasa kejang (cramp)
- Faraj gatal
- Sakit ketika melakukan hubungan seks
- Pendarahan selepas melakukan hubungan seks
- Kerap kencing atau rasa sakit ketika membuang air kecil
8 sebab masalah keputihan berdarah
Masalah keputihan bercampur dengan darah mungkin berlaku disebabkan beberapa perkara. Antaranya:
1. Anda datang haid
Kadangkala, pada awal atau akhir period, anda akan alami masalah keputihan berdarah. Perkara ini berlaku disebabkan sisa darah haid yang bercampur dengan keputihan.
Malah, masalah ini akan menjadi semakin lazim pada penghujung period kerana jumlah keputihan yang dihasilkan pada waktu ini lebih banyak daripada biasa.
2. Anda mungkin hamil
Kadangkala, keputihan yang bercampur darah boleh menjadi tanda pendarahan implantasi. Ini merupakan salah satu tanda kehamilan.
Pendarahan implantasi selalunya berlaku pada hari ke-10 hingga 14 selepas konsepsi. Ia merupakan sesuatu yang normal dan bukanlah tanda sebarang masalah kesihatan. Pendarahan ini juga berlaku apabila telur yang disenyawakan melekat pada dinding uterus.
3. Komplikasi semasa hamil
Jangan sesekali abaikan masalah pendarahan pada keputihan berketul ketika hamil. Sebarang pendarahan yang abnormal ketika mengandung perlu diperiksa oleh doktor secepat mungkin.
Malah, pendarahan ini juga mungkin merupakan tanda keguguran atau komplikasi lain yang boleh membawa bahaya kepada ibu dan juga bayi dalam kandungan.
4. Punca keputihan berdarah mungkin disebabkan usia
Sama seperti kehamilan, wanita juga boleh mengalami masalah keputihan yang bercampur darah pada awal akil baligh dan juga pada saat-saat akhir menopaus.
Malah, darah haid yang berasal dari kitaran period yang tidak stabil ini mungkin akan menyebabkan keputihan yang berwarna merah atau kecoklatan.
5. Keputihan berketul disebabkan penggunaan pil perancang hormon
Penggunaan pil kontraseptif hormon juga boleh menyebabkan munculnya darah dalam keputihan berketul. Ini termasuklah penggunaan morning after pill dan IUD. Selalunya, masalah keputihan ini akan hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa bulan.
6. Mungkin disebabkan penyakit tiroid
Kelenjar hormon bertanggungjawab mengawal banyak fungsi badan, dari kadar degupan jantung hinggalah kitaran haid wanita.
Oleh sebab itu, wanita boleh mengalami gangguan haid jika badan mempunyai terlalu banyak atau sedikit hormon tiroid dalam badan.
Jika anda mempunyai masalah tiroid, selalunya anda akan alami simptom seperti:
- Degupan jantung yang pantas
- Masalah aritmia
- Selera makan yang bertambah
- Mood cepat berubah
- Jari atau tangan menggigil tanpa sebab
7. Jangkitan kulat atau bakteria
Vagina wanita sangat berisiko untuk mengalami jangkitan. Kadangkala, keputihan yang bercampur darah mungkin merupakan tanda jangkitan kulat atau bakteria pada kawasan faraj.
Dua organisma yang selalu menjangkiti kawasan faraj ialah:
- Bakteria merupakan antara organisma yang wujud secara semula jadi di kawasan vagina. Namun, apabila bilangannya bertambah, ia boleh menyebabkan jangkitan yang menyebabkan masalah keputihan.
- Kulat merupakan sejenis fungi. Apabila keseimbangan pH di kawasan vagina terganggu, ia boleh menyebabkan kegatalan dan keputihan yang abnormal.
8. Mungkin juga disebabkan kanser
Masalah keputihan berketul yang bercampur dengan darah mungkin tanda kanser, terutamanya kanser serviks atau kanser rahim. Walau bagaimanapun, simptom ini jarang sekali berlaku.
Fakta!
[embed-health-tool-ovulation]