Salpingitis adalah keradangan yang berlaku pada struktur anatomi yang dikenali sebagai tiub falopio – tiub yang menyambungkan kepada organ reproduktif wanita.
Keadaan kesihatan ini merupakan sejenis penyakit radang pelvis (PID) yang merujuk kepada jangkitan bagi organ pembiakan wanita.
Salpingitis boleh berlaku apabila laluan tiub falopio yang terkesan dijangkiti oleh bakteria.
Proses keradangan yang terjadi pada satu tiub boleh tersebar dengan mudah kepada tiub yang lain.
Jika keadaan ini tidak dirawat sebaiknya, ia boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jangka masa panjang sehingga menjejaskan kesuburan.
Artikel ini akan membincangkan perihal salpingitis dan rawatan bagi mengelakkan komplikasi daripada berlaku.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Kenali simptom jangkitan tiub falopio
Bukan semua individu yang mengalami masalah penyakit radang pelvis akan mengalami simptom.
Keadaan kesihatan ini mempunyai tahap keterukan yang berbeza. Ia boleh jadi akut (simptom teruk namun jangka masa pendek) atau kronik (sedikit atau tiada simptom, namun jangka masa panjang).
Mereka yang mengalaminya boleh menunjukkan simptom seperti:
- Keluar bau daripada organ reproduktif wanita – faraj.
- Keluar cecair faraj yang berwarna kuning.
- Sakit semasa mengalami proses ovulasi, haid atau ketika melakukan seks.
- Alami tompokan darah di antara dua fasa pendarahan haid.
- Rasa sakit pada bahagian belakang badan.
- Sakit abdomen.
- Loya.
- Muntah.
- Demam.
- Kerap kencing.
Apa yang lebih menakutkan berkenaan dengan masalah kesihatan ini adalah simptom yang dialami pesakit boleh hilang tanpa rawatan perubatan.
Keadaan ini boleh memberikan tanggapan yang salah terhadap pesakit dan individu di sekeliling mereka.
Jika jangkitan tersebut tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih serius.
Apa yang menyebabkan berlakunya jangkitan organ reproduktif wanita dan bagaimana ia didiagnosis?
Lazimnya, salpingitis berlaku akibat jangkitan bakteria melalui hubungan seksual.
Terdapat juga punca lain yang lebih jarang seperti radang apendiks dan penggunaan alat cegah hamil dalam rahim (IUD). Namun secara umumnya, anda lebih berisiko jika:
- Pernah mendapat jangkitan kelamin.
- Membuat hubungan seks tanpa menggunakan perlindungan.
- Mempunyai ramai pasangan seksual.
- Mempunyai pasangan yang mengadakan hubungan seksual dengan ramai pasangan lain.
Langkah mendiagnosis jangkitan ini hampir sama dengan masalah jangkitan lain.
Ia dilakukan secara sistematik bermula daripada pengambilan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal oleh doktor dan akhir sekali, ujian makmal bagi mengesahkan diagnosis.
Antara maklumat makmal yang perlu diambil kira dalam mengenal pasti jangkitan tiub falopio adalah seperti berikut:
- Ujian darah dan air kencing. Ia bertujuan bagi melihat jika terdapat tanda-tanda jangkitan
- Ujian swab faraj dan serviks. Perkara ini membolehkan doktor untuk mengenal pasti bakteria apa yang menjangkiti pesakit
- Pemeriksaan ultrabunyi abdomen atau faraj. Ia bagi melihat keadaan di dalam tiub falopio dan kawasan lain sepanjang saluran reproduktif manusia
- Hysterosalpingogram. Ini merupakan x-ray khas yang melibatkan penggunaan pewarna iodin. Teknik ini boleh membantu doktor untuk mengenal pasti sekiranya terdapat halangan di dalam tiub falopio anda
Jenis ujian yang akan disarankan oleh doktor bergantung kepada situasi klinikal semasa anda datang membuat pemeriksaan.
Ada masanya doktor akan menyarankan pemeriksaan laparoskopi (prosedur pembedahan minor) bagi melihat secara langsung keadaan tiub falopio dan organ reproduktif yang lain.
Baca juga: