Faraj merupakan bahagian tubuh utama wanita yang mempunyai fungsi unik tersendiri. Namun, kondisi vulva bengkak boleh berlaku pada sesetengah individu.
Oleh itu, apakah faktor yang menyebabkan vulva bengkak sebenarnya? Adakah ia merupakan petanda kepada masalah kesihatan yang serius?
Vulva bengkak, adakah ia perlu dibimbangkan?
Vulva yang bengkak adalah gejala vaginitis (radang faraj) yang biasa berlaku.
Vaginitis sering disebabkan oleh jangkitan kulat, virus atau ketidakseimbangan bakteria di dalam faraj wanita.
Di samping itu, gangguan kulit tertentu atau tahap estrogen yang rendah juga boleh menyebabkan kondisi ini berlaku.
Apabila faraj dan vulva anda meradang, keadaan ini dikenali sebagai vulvovaginitis.
Selain vulva yang membengkak, vaginitis boleh menyebabkan:
- Masalah keputihan
- Gatal-gatal
- Rasa sakit semasa melakukan hubungan seks
- Sakit semasa kencing
- Pendarahan ringan
Sekiranya simptom-simptom ini berlangsung lebih dari beberapa hari, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.
Antara penyebab vulva bengkak
Jika anda tertanya-tanya punca vulva membengkak, berikut adalah beberapa faktor yang berpotensi menyumbang kepada kondisi ini:
1. Tindak balas alergi
Reaksi alergi yang menyebabkan vulva anda membengkak dikenali sebagai kondisi vaginitis tidak berjangkit.
Ia boleh disebabkan oleh bahan-bahan kimia pada:
- Pakaian
- Krim
- Kondom
- Sabun wangi
- Pencuci wangi
- Pelincir
Sesetengah produk mengandungi bahan kimia yang tidak bersesuaian mampu cetuskan alahan kepada pemakai lalu menyebabkan kerengsaan dan keradangan faraj.
Apa cara terbaik untuk mencegah?
Sekiranya anda mengalami reaksi alergi, hentikan sama sekali penggunaan produk atau pakaian yang menyebabkan kegatalan.
Hadkan pendedahan kepada faktor perengsa akan membantu mengurangkan masalah pembengkakan.
Anda juga boleh menggunakan krim kortison over-the-counter (OTC) untuk mengurangkan gejala.
2. Seks
Kondisi vulva bengkak sebenarnya adalah normal terutamanya setelah melakukan hubungan seks.
Ini kerana rangsangan seksual menyebabkan peningkatan aliran darah ke kawasan faraj, menyebabkan vulva dan kelentit anda membengkak.
Bukan itu sahaja, vulva juga boleh membengkak jika tidak cukup pelincir semasa penetrasi zakar, yang akan merengsakan kawasan faraj.
Apa cara terbaik untuk mencegah?
Kawasan bibir faraj biasanya tidak akan membengkak lama, anda boleh menggunakan kompres sejuk untuk meredakannya.
Selain itu, pastikan untuk sentiasa memakai pelincir jika faraj berasa kering bagi mengelakkan kesan geseran, dan menjauhi produk yang boleh menyebabkan reaksi alergi.
3. Jangkitan kulat (yis)
Jangkitan kulat pada faraj bukanlah satu perkara yang asing dan kebanyakan wanita sering mengalaminya sekali seumur hidup.
Untuk mengenal pasti jangkitan ini, selain vulva bengkak anda juga mungkin mengalami:
- Kegatalan yang teruk
- Keputihan yang pekat dan tebal
- Sensasi seakan terbakar
- Kesakitan
- Ruam
Sekiranya gejala anda bertambah parah, atau mengalami 4 atau lebih jangkitan dalam masa setahun, segeralah bertemu doktor.
Apa cara terbaik untuk mencegah?
Anda boleh menggunakan krim atau ubat antikulat OTC untuk menghentikan kesan alergi dan mengurangkan masalah bengkak.
Sekiranya ini kali pertama anda mengalami simptom jangkitan yis atau tidak hilang dengan rawatan di rumah, lakukan janji temu bersama doktor anda.
4. Vaginosis bakteria
Vaginosis bakteria adalah bentuk vaginitis yang paling biasa berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan bakteria di dalam faraj.
Antara kesannya merangkumi, keputihan yang mungkin berwarna kelabu serta bau kurang menyenangkan.
Apa cara terbaik untuk mencegah?
Bagi sesetengah wanita, gejala vaginosis bakteria akan hilang dengan sendirinya.
Tambahan lagi, anda tidak boleh menggunakan produk OTC untuk merawatnya, kerana boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk.
Ini kerana gejalanya dapat meniru bentuk jangkitan vaginitis yang lain, justeru anda harus berjumpa doktor sekiranya simptom berterusan.
5. Kehamilan
Vulva membengkak turut boleh menjadi antara gejala kehamilan, kerana rahim akan menyekat aliran darah di kawasan pelvis, menyebabkan vulva dan kaki anda membengkak.
Malah, isu pembengkakan mampu menjadi lebih teruk apabila usia kandungan anda semakin bertambah.
Apa cara terbaik untuk mencegah?
Anda boleh mencuba beberapa rawatan di rumah untuk merawat, antaranya dengan menggunakan kompres atau air sejuk untuk mengurangkan kesan bengkak.
Sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan atau pertanyaan, pastikan untuk mendapatkan khidmat nasihat pakar.
Ini tip bagi pengurusan dan pencegahan
Untuk meredakan, bahkan mencegah kondisi vulva bengkak, anda boleh mencuba tip-tip ini:
- Amalkan kebersihan yang baik: Sentiasa pastikan kebersihan tubuh badan anda berada pada tahap optimum dan tidak membiarkan kawasan faraj lembap terutama selepas mandi. Dengan ini, risiko jangkitan bakteria atau kulat dapat dikurangkan
- Elak gunakan produk yang boleh menyebabkan kerengsaan: Elakkan sabun badan dengan bahan kimia yang kuat, tuala wanita atau sabun yang mengandungi pewangi. Juga, untuk mengelakkan kerengsaan, pastikan untuk membilas sabun pada bahagian intim dengan bersih selepas mandi dan keringkan kawasan tersebut dengan baik
- Pakai seluar dalam kapas: Seluar dalam kapas membolehkan kawasan intim bernafas dan akan mengelakkan risiko kulat atau bakteria daripada tumbuh
[embed-health-tool-ovulation]