backup og meta

Jangan Keliru Lagi! Ini 7 Mitos Mengenai Penyakit Hormon PCOS, Wanita Wajib Tahu

Jangan Keliru Lagi! Ini 7 Mitos Mengenai Penyakit Hormon PCOS, Wanita Wajib Tahu

Masalah hormon wanita yang sering terjadi adalah sindrom ovari polisistik (PCOS). Kondisi ini telah menjejaskan sekitar 10% wanita di dalam lingkungan usia reproduktif.

Bagi yang kurang familiar dengan penyakit ini, penghidap PCOS memiliki paras hormon lelaki (androgen) yang lebih tinggi berbanding kebiasaan, disertai kenaikan kadar insulin (hormon yang bantu mengatur gula darah).

Malangnya, kesedaran berkaitan masalah hormon wanita ini masih kurang dalam kalangan masyarakat.

Maklumat yang salah juga telah menjejaskan ketepatan diagnosis dan rawatan, lantas mengekang pesakit PCOS daripada menjalani kehidupan yang lebih baik!

Di dalam kupasan ini, penulis bakal membongkarkan beberapa mitos berkaitan PCOS yang sering diperkatakan. Ayuh ikuti perkongsian ini!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.

7 mitos masalah hormon wanita, PCOS

#1 Setiap pesakit mengalami pertumbuhan bulu abnormal

Antara gejala PCOS yang kerap berlaku adalah hirsutisme, pertumbuhan bulu/rambut yang tidak normal pada wanita.

Disebabkan kehadiran hormon androgen yang berlebihan, pesakit PCOS sering mengalami pertumbuhan bulu di tempat tidak diundang; di atas bibir, dagu, atau dada.

Pun begitu, bukan kesemua pesakit mempunyai simptom hirsutisme ini.

Aspek etnik tersendiri pesakit juga memainkan peranan dalam hal ini, menurut Dr. Loren Wissner Greene, Profesor Endokrinologi dan OB-GYN di NYU Langone Health.

#2 Betul ke senang sahaja nak detect masalah hormon wanita ini?

masalah hormon wanita

Dengan kewujudan simptom-simptom seperti jerawat, masalah mood, dan haid yang tidak teratur, adalah mudah untuk ia dianggap sebagai masalah tekanan, kan?

Hal ini menjadi salah satu punca kondisi PCOS terlepas pandang kerana sebanyak 50%-70% wanita dengan masalah hormon wanita ini tidak didiagnosis, menurut Dr. Greene.

Selain itu, PCOS tidak selalunya bergejala, yang menyukarkan sesetengah penghidap untuk mengesan kewujudannya!

Oleh itu, sekiranya anda mengalami gejala seperti yang telah disebutkan, adalah wajar untuk kalian mendapatkan khidmat nasihat pakar perubatan dan ahli endokrinologi agar punca dapat dikenal pasti.

#3 Semua penghidap PCOS alami masalah obesiti/berat badan berlebihan?

Wujudnya stereotaip apabila bercakap mengenai pesakit PCOS dan mereka sering digambarkan sebagai wanita gemuk yang ‘berbulu’.

Ya, sememangnya majoriti pesakit hormon ini tergolong dalam kalangan obes/berat badan berlebihan.

Namun apa yang perlu para pembaca faham, disebabkan PCOS merupakan sejenis sindrom, ia menjejaskan setiap orang dalam pelbagai cara yang berbeza!

Maka tidak hairanlah jika ada sesetengah pesakit mempunyai bentuk badan yang ramping, tidak semestinya gemuk sahaja ya!

Mitos berlandaskan bentuk badan boleh menjadi agak ‘bahaya’ kerana ia boleh menghasilkan diagnosis yang tidak tepat.

#4 Semua pesakit PCOS harus menggunakan kontraseptif

Alat atau pil pencegah kehamilan berasaskan hormon selalu disyorkan para doktor bagi merawat masalah ketidakteraturan haid yang dipicu oleh masalah hormon wanita, PCOS.

Tetapi, rawatan untuk masalah hormon ini sangat bergantung pada perancangan masa depan keluarga anda.

Jika anda mempunyai rancangan untuk hamil, anda pastinya tidak boleh menggunakan kontraseptif.

Tambahan itu, Dr. Greene berpendapat bahawa fungsi kontraseptif terhadap pesakit PCOS sebenarnya lebih kepada menutupi gejala seakan ‘plaster’.

Jadi, beliau lebih gemar menasihati dan mendorong pesakit untuk menangani masalah kesihatan mereka secara holistik dengan pengamalan gaya hidup sihat; mengurangkan tekanan dan makan diet antiradang.

#5 Anda memerlukan ujian ultrabunyi untuk mendiagnosis PCOS?

Oleh sebab kondisi ini tidak semestinya mempunyai gejala seperti sista ovari atau multiple follicles, doktor tidak mempunyai keperluan untuk menjalankan ujian ultrabunyi, kata Dr. Greene.

Pun begitu, ujian ini mungkin diperlukan hanya jika anda tidak memenuhi kriteria seperti hirsutisme atau haid yang tidak teratur, dan dalam masa yang sama kalian masih disyaki menghidap PCOS.

#6 Anda tidak boleh hamil jika menghidap PCOS? Benarkah?

PCOS sememangnya menjadi antara penyebab kemandulan yang biasa berlaku.

Masalah hormon wanita berupaya menjejaskan kemampuan ovari untuk melepaskan telur (ovum) yang berpotensi disenyawakan untuk mewujudkan kehamilan.

Tetapi, usah terlalu khuatir kerana ini bukanlah penamat kepada impian berkeluarga!

Jika anda mempunyai PCOS, kalian masih berpeluang untuk hamil, baik secara semula jadi atau selepas menjalani rawatan kesuburan seperti ubat perangsang folikel.

Mitos yang mengatakan penghidap PCOS tidak mampu hamil sering digembar-gemburkan, hingga memicu tekanan dan stres dalam kalangan pesakit.

masalah hormon wanita

Sekiranya anda mempunyai PCOS dan berimpian untuk memulakan keluarga sendiri, usah pedulikan kata-kata negatif orang sekeliling dan jangan sesekali berputus asa dalam berikhtiar mendapatkan zuriat, okey?

Di samping itu, pastikan kalian membuat konsultasi dengan pakar kesuburan agar rawatan yang bersesuaian dapat dilakukan!

#7 Rintangan insulin dalam kalangan pesakit PCOS memicu kenaikan berat badan

Perlu para pembaca ketahui, punca di sebalik obesiti atau kegemukan dalam kalangan penghidap PCOS masih menjadi tanda tanya, menurut Dr. Greene.

Tambah beliau lagi, ramai yang mengatakan hal ini berpunca dek kerana rintangan terhadap insulin.

Tapi hakikatnya, kenaikan berat badan yang memicu rintangan insulin, dan bukan sebaliknya!

Kesimpulan

Ternyata banyak sekali salah faham dan mitos berkaitan masalah hormon wanita, PCOS, yang berlegaran dalam kalangan masyarakat.

Peningkatan kesedaran dan penyebaran informasi tepat mengenai sindrom ovari polisistik ini memainkan peranan penting supaya risiko kekeliruan serta diagnosis yang salah dapat dicegah!

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/polycystic-ovary-syndrome-pcos#:~:text=Polycystic%20ovary%20syndrome%20(PCOS)%20is,that%20form%20in%20the%20ovaries.
  2. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pcos/symptoms-causes/syc-20353439
  3. http://www.myhealth.gov.my/sindrom-ovari-polisistik-pcos/
  4. https://www.hormone.org/-/media/hormone/files/infographics/myth_vs_fact_pcos_infographic.pdf
  5. https://www.hormone.org/support-and-resources/resource-library/pcos-myths-debunked

Versi Terbaru

13/01/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Rupanya Punca Penyakit Wanita PCOS Adalah Faktor Keturunan? Betul Ke?

Wanita PCOS Ada Masalah Banyak Bulu Pada Muka & Badan? Cuba 5 Kaedah Ini


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan