backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Fahami Perkembangan Golongan Anak Remaja

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/09/2021

Fahami Perkembangan Golongan Anak Remaja

Golongan remaja akan melalui tempoh peralihan antara zaman kanak-kanak dan dewasa. Pada fasa ini ibu bapa perlu membantu belia untuk memahami proses perubahan yang berlaku.

Selain daripada peningkatan usia daripada seorang kanak-kanak kepada remaja dan seterusnya dewasa, pada fasa ini juga anak akan melalui tempoh akil baligh. 

Akil baligh adalah masa perubahan besar bagi seorang anak terutamanya melibatkan tubuh dan harus diakui agak sukar untuk bercakap dengan mereka mengenai perkara ini

Tetapi dapat berbual secara terbuka dengan anak sebelum perubahan fizikal bermula pasti akan membantu golongan remaja menerima dengan tenang apabila tubuhnya berubah. 

Sebaiknya ibu bapa disarankan untuk memilih bercakap mengenai perkara ini apabila anak sudah bersedia untuk mendengar dan berbincang.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Remaja, sila dapatkannya di sini.

Proses perkembangan

Belia adalah tempoh yang bermula dengan akil baligh dan berakhir pada peralihan ke dewasa, dalam lingkungan usia antara 10 hingga 20 tahun.

Anak yang memasuki fasa ini akan banyak mengalami perubahan – fizikal, intelektual, keperibadian dan perkembangan sosial.

Umumnya, perubahan melibatkan fizikal berkaitan akil baligh dipicu oleh hormon.

Terdapat 3 perubahan fizikal utama yang berlaku kepada anak remaja:

  • Lonjakan tumbesaran (tanda awal kematangan)
  • Ciri seks primer (perubahan pada organ secara langsung dengan pembiakan)
  • Ciri seks sekunder (tanda-tanda kematangan seksual tubuh yang tidak melibatkan organ pembiakan secara langsung)
  • 3 Tahap perkembangan

    Para penyelidik berpendapat seorang belia akan menjalani 3 peringkat perkembangan utama iaitu:

    golongan remaja

    Awal remaja (Usia 10-14)

    Merupakan peringkat awal akil baligh. Kedua-dua jantina akan mengalami pertumbuhan fizikal dan peningkatan minat seksual. 

    Secara kognitif, remaja pada tahap ini mempunyai keupayaan terhad untuk pemikiran abstrak tetapi intelektual berkembang.

    Mereka juga mengembangkan pemikiran moral yang lebih dalam pada peringkat awal remaja.

    Remaja pertengahan (Usia 15-17)

    Proses perkembangan akil baligh selesa untuk lelaki dan wanita. Pertumbuhan fizikal bagi wanita agak perlahan, manakala lelaki akan berterusan. 

    Belia pada fasa ini terus mengalami peningkatan kemampuan pemikiran abstrak.

    Kebanyakan remaja juga menetapkan tujuan jangka panjang dan menjadi tertarik dengan makna kehidupan dan penilaian moral.

    Anak remaja anda juga akan mengalami banyak perubahan sosial dan emosi termasuk penglibatan diri dan semangat untuk berdikari.

    Akhir remaja / Dewasa muda (Usia 18-24)

    Golongan remaja pada fasa ini biasanya mengalami perkembangan fizikal dan kognitif yang lebih sedikit.

    Mereka mempunyai keupayaan untuk berfikir tentang idea secara rasional, merancang masa depan dan memperoleh personaliti yang tegas.

    Semasa fasa terakhir perkembangan remaja ini, anak juga mengalami peningkatan kestabilan dan kebebasan emosi.

    Petua keibubapaan

    Seringkali kita mendengar hubungan antara ibu bapa dan belia sukar untuk berada pada tahap yang baik.

    Perselisihan faham itu pastinya sukar untuk dielakkan. Ini kerana sama ada ibu bapa atau anak, masing-masing sedang bergelut untuk menghadapi perubahan yang berlaku.

    Percayalah, keadaan ini normal untuk berlaku.

    Sedangkan dalam hubungan rumah tangga melibatkan 2 individu dewasa matang pun ada pasang surutnya, apatah lagi melibatkan golongan remaja yang sedang berkembang.

    Ada 4 perkara boleh anda lakukan untuk membantu anak yang sedang melalui fasa perubahan:

    1. Bantu anak fahami perubahan tubuhnya

    Anak boleh belajar mengenai akil baligh dan terangkan kepada mereka apa yang bakal berlaku.

    Yakinkan kepada mereka bahawa perubahan fizikal dan seksualiti adalah sebahagian daripada proses tumbesaran normal dan sihat.

    Berikan ruang untuk anak bertanya pada tahap keselesaan mereka sendiri. Jika perlu, anda boleh merujuk kepada pakar pediatrik. 

    golongan remaja

    2. Perbincangan awal mengenai topik penting

    Lakukan perbincangan terbuka mengenai perhubungan, seks, seksualiti, persetujuan dan keselamatan yang sihat – seperti cara mencegah penularan jangkitan penyakit kelamin dan kehamilan.

    Memulakan perbualan ini pada fasa awal remaja dapat membantu membina kerangka yang baik untuk perbincangan di kemudian hari.

    3. Berikan sokongan

    Pastikan anak mempunyai persefahaman mengenai peraturan dan larangan, penglibatan aktiviti sekolah, penggunaan media dan tingkah laku.

    Dalam masa yang sama, secara perlahan-lahan berikan anak peluang untuk mengembangkan sikap berdikari dan memikul tanggungjawab. 

    Golongan remaja dengan ibu bapa yang mempunyai keseimbangan ini dikatakan mempunyai kadar kemurungan dan penyalahgunaan dadah yang lebih rendah.

    4. Kekalkan perbualan positif

    Apa perasaan sekiranya ibu bapa lebih melihat kepada kelemahan diri? 

    Tidak suka, kecil hati dan hilang keyakinan diri antara kesan yang boleh terjadi, bukan?

    Jadi elakkan daripada hanya mencari kelemahan atau kesilapan anak. Fokuskan kepada perkara yang positif, itu yang sebaiknya. 

    Golongan remaja perempuan & akil baligh

    Seorang kanak-kanak perempuan yang akan melalui fasa akil baligh biasanya mempunyai kebimbangan mengenai:

    Golongan remaja perempuan – Tumbesaran payudara

    Sesetengah belia akan mempunyai kerisauan mengenai perkembangan buah dada mereka, seperti sebelah payudara mula membesar dan sebelah lagi tidak.

    Jelaskan kepada anak bahawa ia adalah normal. Bahkan, ukuran antara kedua-dua belah payudara juga adalah berbeza.

    Jika payudara anak tumbuh agak awal, mereka mungkin akan berasa malu dan kurang keyakinan diri.

    Untuk membantu anak berasa lebih selesa dalam situasi seperti ni, mereka mungkin perlu untuk memakai pakaian longgar.

    Anda juga boleh membelikan training bra jika anak memintanya atau merasakan ia perlu.   

    Menstruasi

    Membantu anak perempuan bersedia untuk haid pertamanya adalah sangat penting.

    Anda boleh sediakan tuala wanita di dalam beg sekolah miliknya dan menerangkan cara penggunaannya. 

    Anda juga boleh membuat persediaan untuk membantu anak menghadapi kesakitan senggugut dengan menyediakan pad pemanas atau ubat tahan sakit yang boleh digunakan.

    Sekiranya seorang belia perempuan tidak mengalami haid pada usia 16 atau 17 tahun, bawalah mereka berjumpa doktor.

    Golongan remaja lelaki & akil baligh

    Seorang kanak-kanak lelaki yang akan melalui fasa akil baligh juga akan mempunyai kebimbangan, termasuklah mengenai:

    Perubahan suara golongan remaja lelaki 

    Apabila kotak suara mereka membesar dan pita suara berkembang, suara belia lelaki akan pecah. 

    Ia mungkin boleh menjadi sesuatu yang memalukan dan menjengkelkan, tetapi umumnya keadaan itu adalah sebahagian normal daripada proses perkembangan.

    Mimpi basah

    Anak lelaki anda mungkin terbangun pada waktu pagi dan berasa lembap dan melekit pada seluar serta kain cadar katil.

    golongan remaja

    Mimpi basah atau pelepasan nokturnal adalah disebabkan oleh ejakulasi yang berlaku semasa tidur. Ia bukan petunjuk seorang belia mengalami mimpi seksual.

    Ibu bapa (lebih kepada bapa) perlu menyakinkan anak bawah ia adalah situasi normal dalam proses tumbesaran dan mereka tidak boleh menghalangnya.

    Ereksi spontan

    Semasa akil baligh, seorang kanak-kanak lelaki akan mengalami ereksi spontan, tanpa menyentuh zakar dan tanpa mempunyai pemikiran seksual.

    Ia boleh menjadi sesuatu yang memalukan bagi golongan remaja lelaki, terutamanya jika ia berlaku di tempat awam seperti di sekolah. 

    Biarkan anak anda memahami mengenai situasi ini agar mereka tidak berasa bersalah atau malu. 

    Jelaskan ia adalah keadaan yang akan dilalui oleh semua kanak-kanak lelaki semasa akil baligh dan akan semakin berkurangan dari masa ke masa. 

    Kesimpulan

    Setiap kanak-kanak akan mengalami perubahan fizikal pada kadar yang berbeza.

    Belia yang sedang menyesuaikan diri dengan perubahan tubuh mereka mungkin akan menjadi lebih pemalu dan berwaspada.

    Pastikan anak anda mempunyai beberapa privasi dan ruang peribadi. Sebaiknya, ketuklah pintu sebelum memasuki bilik apabila mereka kini sudah bergelar golongan remaja.

    Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai kadar perkembangan anak, berundinglah dengan pakar kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan