Anda tahu tak mengapa boleh terjadinya bibir hitam dan kusam?
Cuba ingat kembali, bilakah kali terakhir anda lakukan sesuatu untuk kesihatan bibir anda? Mengaku sahajalah, pasti ramai di luar sana yang nak wajah cantik, tapi mengabaikan bibir masing-masing, betul tak?
Bibir selalunya tidak akan mendapat perhatian yang sama seperti kulit wajah. Malah, ramai di antara kita yang amat menitikberatkan soal skincare, tetapi terlupa untuk menjaga bibir masing-masing.
Bagi wanita, bibir yang sihat sudah semestinya berwarna merah jambu. Tetapi, jika tidak dijaga dengan baik, lama-kelamaan warnanya boleh bertukar menjadi bibir hitam.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkannya di sini.
Mengapa bibir saya menjadi gelap?
Setiap orang mempunyai warna bibir yang berbeza-beza mengikut tona kulit.
Walaupun bibir anda mungkin sedikit gelap berbanding orang lain, jangan risau kerana ia bukanlah petanda masalah kesihatan.
Tetapi, beberapa amalan gaya hidup boleh menyebabkan perubahan warna kulit bibir. Seperti yang ramai sedia maklum, amalan merokok boleh membuatkan bibir hitam.
Nikotin dan tembakau yang terkandung di dalam sebatang rokok boleh menggelapkan bahagian dalam bibir dan mulut. Keadaan ini turut dikenali sebagai Melanesia perokok.
Tetapi, bukan itu sahaja. Ada banyak lagi amalan lain yang boleh menyebabkan bibir gelap anda kehilangan warna semula jadinya. Contohnya:
1. Kurangkan kopi dan teh untuk bibir lebih menawan
Jika anda inginkan bibir yang lebih menawan, cuba kurangkan pengambilan kopi atau teh pada waktu pagi.
Kopi yang anda minum mungkin merupakan dalang sebenar di sebalik perubahan warna bibir anda. Namun, ia bergantung kepada jumlah pengambilan anda setiap hari.
Minum kopi boleh membantu anda untuk fokus semasa bekerja. Tetapi, lama-kelamaan, ia boleh menyebabkan bibir anda jadi lebih gelap.
Selain itu, minum kopi dan teh yang panas juga boleh menggalakkan proses pigmentasi pada kawasan bibir anda.
Cuba kurangkan pengambilan kopi setiap hari. Sebagai permulaan, cuba minum air putih untuk kekal hidrat.
2. Bibir hitam kerana terdedah terlalu lama pada sinaran matahari
Bukan kulit wajah anda sahaja yang perlukan perlindungan daripada sinaran matahari, tapi bibir anda juga sama!
Malah, ramai yang tidak tahu bahawa bibir kita amat sensitif terhadap cahaya matahari. Di bawah sinaran yang berpanjangan, bibir boleh menjadi gelap, luka dan merekah.
Pastikan anda memakai pelembap bibir yang mempunyai SPF sekurang-kurangnya 15. Pelembap bibir ini akan kekalkan bibir anda lembut dan bebas rekahan.
3. Tidak minum air dengan cukup
Satu lagi punca bibir menjadi gelap adalah disebabkan anda tidak minum air dengan cukup. Mereka yang tidak cukup air akan alami bibir yang merekah, kering dan gelap.
Minum sekurang-kurangnya 2 hingga 3 liter air sehari untuk bibir yang lebih sihat dan cantik.
4. Anda tidak pernah lakukan eksfoliasi punca bibir hitam
Pastikan anda exfoliate bibir anda untuk membuang sel mati pada kawasan bibir. Jika anda inginkan bibir yang nampak lebih cantik dan sihat, jangan sesekali skip langkah ini.
Cara yang termudah untuk melakukan exfoliasi adalah dengan menggunakan berus gigi anda.
Basahkan berus gigi dan gosok pada bibir anda. Kemudian, sapukan sedikit pelembap atau jeli petroleum.
5 tip mudah untuk bibir lebih cantik
Selepas tahu punca-punca bibir hitam, pastilah anda nak tahu pula cara-cara untuk mengatasinya, betul tak?
Oleh sebab itu, kami ingin kongsikan 5 cara terbaik untuk menjaga bibir supaya ia kekal sihat dan cantik:
1. Jangan lupa lakukan eksfoliasi
Bukan wajah anda sahaja yang perlukan eksfoliasi, bibir anda juga sama!
Selain menggunakan berus gigi, anda juga boleh gunakan bahan-bahan seperti gula atau serbuk teh sebagai skrub untuk menanggalkan sel-sel kulit mati pada kawasan bibir.
Tetapi, jangan skrub terlalu lama atau terlalu kuat pula ya! Cukuplah jika anda lakukan eksfoliasi sebanyak 2 kali seminggu.
2. Minum air dengan mencukupi
Kawasan bibirlah yang akan paling terkesan jika anda tidak minum air dengan cukup. Oleh sebab itu, pastikan anda minum air untuk elakkan bibir daripada kering.
Selain itu, elakkan tabiat seperti menjilat bibir. Tabiat ini hanya akan buatkan bibir anda jadi bertambah kering!
3. Gunakan pelembap untuk elak bibir hitam
Pastikan anda gunakan pelembap ke atas bibir anda. Gunakan lip balm untuk melawan kekeringan.
Selain itu, anda juga boleh gunakan pelembap bibir yang mempunyai perlindungan SPF. Bibir anda menerima banyak sinaran matahari, lebih-lebih lagi bahagian bawah bibir.
Oleh sebab itu, ia merupakan tempat yang lazim untuk kanser kulit. Untuk elakkannya, gunakan lip balm yang mempunyai SPF 15 atau lebih tinggi.
4. Pakai pelembap 2 jam sekali
Sama seperti pelindung matahari untuk kulit wajah, lip balm juga perlu diaplikasikan semula sekurang-kurangnya 2 jam sekali.
5. Pastikan anda menggunakan produk yang betul
Sebelum anda membeli apa-apa produk, pastikan ia selamat dan berkesan. Jangan beli produk semata-mata kerana harganya yang murah!
Pastikan ia mendapat akreditasi yang bersesuaian.
Elakkan membeli produk viral yang meragukan. Selalunya, produk ini menggunakan testimoni dan tidak mempunyai sebarang pengesahan daripada Jabatan Kesihatan.
Oleh sebab itu, berhati-hatilah sebelum membeli dan jangan tertipu dengan testimoni.
[embed-health-tool-bmi]