
Siapa di sini yang suka pergi ke muzium? Kami akui peminat muzium amatlah sukar untuk dijumpai berbanding peminat-peminat zoo, konsert atau lokasi pelancongan yang lain. Boleh dikatakan, peminat muzium adalah golongan yang berada dalam kategori yang sangat ‘rare’. Mungkin ada yang berminat untuk membuat lawatan ke muzium, tetapi matlamat utama mereka biasanya hanyalah untuk bergambar berbanding menghayati apa yang ada di sana.
Ramai yang menganggap lokasi ini satu tempat yang tidak menarik. Malahan peminat muzium juga sering dilabel sebagai nerd, dan membosankan.Â
Tetapi tahukah anda, di sebalik tanggapan tersebut, terdapat pelbagai manfaat yang boleh diperoleh terutamanya terhadap kesihatan mental sekiranya berkunjung ke muzium.Â
Muzium bantu tingkatkan kesihatan mental pengunjungnya
Di dalam sebuah buku yang bertajuk ‘Museums, Health and Well-being’, ia menyatakan beberapa kesan positif yang boleh diperoleh daripada lawatan muzium kepada kesihatan mental pengunjungnya.
Antaranya ialah:
- Pengalaman sosial positif, yang membawa kepada kurangnya pengasingan sosial
- Peluang untuk belajar dan memperoleh kemahiran yang baharu
- Pengalaman yang menenangkan, menyebabkan penurunan tahap keresahan
- Meningkatkan emosi positif, seperti optimisme, harapan dan kesenangan
- Meningkatkan keyakinan diriÂ
- Pengalaman baharu yang boleh menjadi sesuatu yang berinspirasi dan bermakna
- Meningkatkan komunikasi antara keluarga, penjaga dan profesional kesihatan
Beri kesan positif terhadap mental pesakit dan penghuni rumah jagaan
Terdapat satu kajian yang melibatkan sesi pengendalian objek daripada muzium bersama-sama pesakit dari hospital dan juga penghuni rumah jagaan. Hasil kajian telah menunjukkan penambahbaikan yang sangat ketara dalam emosi yang positif serta kesejahteraan dan kegembiraan pesakit yang terlibat.
Selain itu, pesakit juga mempunyai persepsi yang lebih baik berkenaan kesihatan mereka sendiri. Mereka juga lebih bersikap optimis dan yakin dengan sesi yang dijalankan kerana ia boleh mengalih perhatian mereka daripada kehidupan di dalam wad hospital.
Selain itu, sesi seperti ini juga memberi kesan yang positif terhadap hubungan antara staf, pesakit dan juga penjaga pesakit.Â
Lawatan ke muzium bantu tingkatkan daya tumpuan
Pada tahun 2008, seramai 60 orang pelawat yang melawat Muzium Queensland, Australia telah terlibat dalam satu temu bual berkenaan pengalaman mereka pergi ke lokasi tersebut. Separuh daripada mereka telah menyatakan manfaat yang diperoleh daripada lawatan ke tempat tersebut.Â
Mereka mengakui lawatan ke lokasi tersebut memulihkan kembali daya perhatian mereka seperti relaksasi, ketenangan, dan juga refleksi.Â
Sebab-sebab lain mengapa anda perlu melawat muzium
Selain daripada manfaat terhadap kesihatan mental yang didapati daripada lawatan muzium, anda juga akan memperoleh beberapa manfaat lain yang mungkin tidak pernah anda fikirkan. Antara kebaikan lain melawat muzium ialah:
#1. Menjadikan anda lebih bijak
Muzium berfungsi bukan sahaja memelihara artifak-artifak bersejarah, malah bertujuan untuk mendidik masyarakat. Sejarah yang menarik dalam sesuatu pameran membantu memberikan inspirasi kepada pengunjung. Amat mustahil jika anda berkunjung ke muzium tanpa mendapat sebarang input atau informasi yang berguna.
#2. Pengajaran berkenaan kemanusiaan
Muzium bukan sahaja lokasi yang terbaik untuk anda mempelajari sejarah manusia, malah ia juga lokasi yang paling sesuai untuk anda mengetahui berkenaan budaya daripada negara-negara lain. Mungkin sukar untuk anda pergi ke luar negara bagi mendapatkan maklumat berkenaan budaya lain, tetapi anda boleh menerokanya hanya melalui lawatan ke muzium.
#3. Memberikan ketenangan
Adakalanya anda akan mempunyai sedikit tekanan atau stres dalam kehidupan seharian anda. Cuba pergi ke muzium, mungkin anda akan memperoleh sedikit ketenangan berbanding tempat kerja atau rumah anda. Dengan yuran kemasukan yang sangat murah atau percuma, anda boleh mendapatkan ketenangan tanpa perlu berbelanja dengan modal yang besar.Â
#4. Berjumpa individu dengan minat yang sama
Bagi anda yang mungkin sukar untuk berjumpa mereka yang mempunyai minat yang sama, muzium adalah lokasi terbaik. Di sini anda boleh berbual mengenai perkara yang sama-sama diminati bersama-sama rakan baharu. Libatkan diri anda dengan program atau aktiviti anjuran pihak terbabit untuk mengeratkan hubungan bersama rakan baharu anda.
#5. Belajar sesuatu yang baharu dan unik
Walaupun anda mengetahui kewujudan pelbagai jenis muzium di sekitar anda, hampir kesemua jenis tempat pameran ini menawarkan perkara yang unik yang tidak sama antara satu sama lain.
Ada lokasi yang mengkhususkan bahan pameran arkeologi semata-mata, dan ada juga yang memberi tumpuan kepada koleksi diraja sahaja. Pilih dan pergilah ke lokasi yang bersesuaian dengan minat anda.
Kesimpulan
Jika anda boleh melabur sejumlah wang untuk pergi ke taman tema air, kenapa pula tidak anda laburkan hanya beberapa ringgit ke muzium. Anda hanya perlu membayar RM2 sahaja untuk masuk ke Muzium Negara. Malah terdapat juga lokasi lain yang tidak mengenakan sebarang yuran kemasukan. Bayaran mungkin murah tetapi tidak bagi nilai pengetahuan yang akan anda peroleh setelah keluar dari muzium.
Lagi satu, rakan anda yang menggemari lawatan muzium dan bacaan sejarah mungkin tidak sebosan yang anda sangkakan. Dalam diam, mereka mungkin jauh lebih berpengetahuan daripada apa yang anda sangkakan. Jika anda tidak percaya, cubalah tanya kepada mereka mengenai sesuatu perkara. Mereka pasti mengingati dan mengetahuinya!
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga:
- Benarkah Ketawa Itu Penawar Terbaik Buat Kesihatan Emosi Anda?
- Persepsi Mengenai Kesihatan Mental Berubah Selepas Sedekad
- Kepentingan Kesihatan Mental ke atas Ekonomi
- Ini Merupakan Masalah Utama dalam Kesihatan Mental, Anda Mungkin Tidak Percaya
- Bandar Hijau Meningkatkan Tahap Kesihatan Mental
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.