Pernahkah anda terfikir, bagaimana anda mula menjalinkan persahabatan dengan kawan anda? Adakah seperti situasi di dalam televisyen di mana anda berselisih bahu semasa berjalan, atau kerana anda terpaksa memperkenalkan diri anda dalam satu program orientasi di sekolah?
Kami pasti, ramai di antara kita yang tidak begitu mengingati saat mereka mula berkenalan dengan kawan masing-masing. Ada yang berlaku secara semula jadi tanpa kita sedari, namun ada juga yang berlaku hasil daripada usaha kerasa kita sendiri. Disini kami ingin kongsikan beberapa trick psikologi yang boleh digunakan oleh anda agar lebih ramai individu menyukai anda dan seterusnya berkawan dengan anda. Anda pasti berminat dengan apa yang ingin kami kongsikan ini.
Trick psikologi untuk mendapatkan lebih ramai kawan
#1. Ikut cara mereka
Strategi ini juga disebut sebagai ‘mirroring’. Ia melibatkan ajukan kelakuan individu lain secara halus. Apabila anda bercakap dengan seseorang, cuba untuk meniru bahasa tubuh, gerak isyarat dan ekspresi wajah mereka. Pada tahun 1999, para penyelidik dari Universiti New York menerbitkan kajian yang bertajuk “chameleon effect“, yang mana ia berlaku ketika seseorang individu meniru tingkah laku individu lain secara tidak sedar, dan peniruan itu sebenarnya menggalakkan individu yang ditiru untuk menyukai mereka.
#2. Luangkan lebih masa bersama mereka
Berpandukan kepada mere-exposure effect, seseorang individu itu lebih cenderung untuk menyukai sesuatu yang biasa dengan diri mereka. Pada tahun 1950, satu kajian yang dijalankan oleh MIT menunjukkan, pelajar kolej yang tinggal berdekatan di asrama pelajar lebih cenderung untuk bersahabat berbanding mereka yang tinggal berjauhan. Ini kerana pelajar yang tinggal berdekatan akan berinteraksi sesama mereka setiap hari seperti bersapa di bilik rehat atau dapur. Dalam sesetengah keadaan, interaksi pasif seperti itu akan berkembang menjadi satu persahabatan yang lebih erat. Kajian ini menunjukkan bahawa, dengan meluangkan lebih banyak masa bersama individu lain akan menjadikan mereka lebih menyukai anda.
#3. Memuji individu lain
Mengikut Gretchen Rubin, pengarang buku “The Happiness Project”, apa sahaja yang anda katakan mengenai individu lain akan mempengaruhi bagaimana individu lain melihat anda. Sekiranya anda menyatakan seseorang individu tersebut sebagai seorang yang baik, individu lain pula akan mengaitkan sifat yang sama dengan diri anda.
#4. Berada dalam mood atau emosi yang baik
Penularan emosi (emotional contagion) bermaksud apabila seseorang individu tersebut dipengaruhi secara kuat oleh mood atau emosi individu lain. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Universiti Ohio dan juga Universiti Hawaii, seseorang individu boleh merasai emosi individu lain yang berada di sekitar mereka tanpa mereka sedari. Oleh itu, sekiranya anda ingin membuatkan orang lain gembira apabila mereka berada di sekitar anda, berkomunikasilah dengan emosi yang positif.
#5. Berkawan dengan rakan mereka
Teori rangkaian sosial di sebalik kesan ini disebut sebagai penutupan triad (triadic closure). Ini bermaksud, dua individu cenderung untuk menjadi lebih rapat apabila mereka mempunyai rakan yang sama. Sepertimana di Facebook, seseorang individu itu akan lebih cenderung untuk menerima friend request daripada individu lain sekiranya bilangan mutual friends mereka lebih ramai.
#6. Menekankan nilai bersama anda
Berdasarkan kepada satu kajian klasik oleh Theodore Newcomb, seseorang individu itu lebih tertarik kepada mereka yang mempunyai ciri yang sama dengan mereka. Ini dikenali sebagai kesan tarikan kesamaan (similarity-attraction effect). Dalam eksperimen yang dijalankan, Newcomb mengukur sikap individu yang terlibat berdasarkan topik-topik kontroversi, seperti seks dan politik, dan mengumpulkan mereka dalam satu rumah untuk tinggal bersama. Pada akhir kajian, Newcomb mendapati bahawa seseorang individu itu akan menyukai kawan serumahnya yang lain jika mereka mempunyai persamaan berkenaan sesuatu topik tersebut. Jika anda ingin mewujudkan kemesraan dengan individu lain, cuba cari satu titik persamaan antara anda dengan individu tersebut. Ia pasti berkesan.
#7. Sentuh mereka dengan bersahaja
Ini dikenali sebagai sentuhan subliminal (subliminal touching) dan berlaku apabila anda menyentuh seseorang individu dengan lembut tanpa mereka sedari. Antara contohnya ialah, apabila anda menyentuh belakang seseorang, memeluk bahu atau menyentuh tangan mereka yang menjadikan mereka berasa dialu-alukan oleh diri anda.
#8. Senyum
Dalam satu kajian, hampir 100 orang pelajar wanita di peringkat ijazah diperlihatkan kepada imej seorang wanita dengan empat posisi iaitu sedang senyum dengan posisi badan yang boleh dilihat, senyum dengan posisi badan yang tidak dapat dilihat, tidak senyum dengan posisi badan yang boleh dilihat serta tidak senyum dengan posisi badan yang tidak boleh dilihat. Hasil kajian menunjukkan bahawa gambar wanita yang paling disukai adalah gambar yang disertai dengan senyuman, tanpa mengira posisi badan mereka. Selain itu, kajian lain turut mencadangkan bahawa senyum ketika anda pertama kali bertemu dengan seseorang akan membantu mereka mengingati diri anda. Hebatnya kuasa senyum!
#9. Beritahu mereka rahsia anda
Mendedahkan mengenai diri anda (self-disclosure) mungkin merupakan antara teknik membina hubungan yang terbaik. Dalam satu kajian yang dijalankan di Stony Brook University, pelajar-pelajar kolej telah dipadankan sesama mereka dan diberitahu agar mereka menghabiskan masa bersama selama 45 minit untuk mengenali antara satu sama lain. Sesetengah daripada pasangan ini diberikan satu siri soalan untuk ditanya, yang mana soalan tersebut akan menjadi lebih mendalam dan bersifat peribadi. Manakala pasangan yang lain hanya diberikan dengan soalan-soalan biasa sahaja. Pada akhir kajian, pasangan yang diberikan dengan soalan yang bersifat lebih peribadi berasa bahawa mereka lebih rapat antara satu sama lain berbanding pasangan yang bertanya soalan-soalan biasa.
#10. Tunjukkan sisi lucu anda
Kajian daripada Illinois State University dan juga California State University menunjukkan, tanpa mengira sama ada ia melibatkan kawan atau kekasih masing-masing, sisi lucu atau kelakar seseorang adalah sangat penting. Sementara itu, jika seseorang itu tidak memiliki ciri kelucuan pada diri mereka, mereka amat kurang digemari lebih-lebih lagi dalam persekitaran pejabat yang boleh dikatakan agak membosankan.
Kesimpulan
Sebenarnya, teknik-teknik yang dinyatakan ini bukanlah satu teknik yang amat sukar, malah ia mungkin dilakukan setiap hari oleh anda. Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu untuk memberikan lebih penekanan terhadap teknik-teknik ini. Jika sebelum ini anda kurang senyum, maka banyakkanlah senyum anda walaupun pada orang yang lalu lalang di hadapan anda sewaktu menunggu bas atau . Senyum kan murah, tak menggunakan sebarang modal langsung untuk anda lakukannya!
[embed-health-tool-ovulation]