backup og meta

Ibu Atau Ayah? Ini Jawapan Siapa Dapat Hak Penjagaan Anak Selepas Bercerai...

Ibu Atau Ayah? Ini Jawapan Siapa Dapat Hak Penjagaan Anak Selepas Bercerai...

Persoalan paling utama apabila berlaku perceraian, siapakah yang lebih berhak mendapat hak penjagaan anak selepas bercerai?

Ini kerana perceraian bukan sahaja memberi impak kepada pasangan suami isteri, tetapi juga melibatkan perihal kesejahteraan anak selepas berpisah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.

Hak penjagaan anak selepas bercerai

Apabila berlakunya perpisahan, isu penjagaan anak sering kali menjadi antara isu utama yang timbul, apatah lagi jika anak tersebut masih kecil.

Jika perpisahan berlaku secara baik, sudah tentu isu penjagaan ini tidak akan menjadi masalah.

Walau bagaimanapun, jika prosedur perceraian itu tidak berlangsung dengan baik, sudah tentu isu berkaitan hak penjagaan ini akan menjadi satu masalah. 

Sesungguhnya, perkara paling penting berkaitan hak penjagaan ini adalah mengenai kebajikan dan kesejahteraan anak.

Ia adalah seratus peratus berkaitan hak anak dan bukannya mengenai hak ibu bapa.

hak penjagaan anak selepas bercerai

Dalam Islam, hak berkaitan penjagaan si kecil dinamakan sebagai hadhanah.

Menurut pensyariatan hadhanah ini, telah ditetapkan bahawa individu yang paling layak untuk mendapat hak penjagaan anak selepas bercerai setelah berlakunya perpisahan bagi sebuah perkahwinan adalah ibunya, selagi si ibu tidak berkahwin dengan suami yang baru.

Berikut dikongsikan susunan kelayakan hak penjagaan seperti yang diberi kuasa oleh pihak mahkamah untuk menjaga anak kecil setelah berlakunya perceraian:

  1. Ibu
  2. Nenek sebelah ibu dan ke atas
  3. Bapa
  4. Nenek sebelah bapa dan ke atas
  5. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa
  6. Kakak atau adik perempuan seibu
  7. Kakak atau adik perempuan sebapa
  8. Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa
  9. Anak perempuan daripada kakak atau adik seibu
  10. Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa
  11. Emak saudara sebelah ibu
  12. Emak saudara sebelah bapa
  13. Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya

Paling utama, syarat untuk menjaga anak tersebut adalah individu berkenaan tidak akan menjejaskan hak kebajikan dan kesejahteraan anak yang dijaganya.

Baca juga:

Kelayakan untuk hak penjagaan

Di bawah syariat hadhanah, seseorang yang ingin mendapat hak penjagaan anak selepas bercerai dalam Islam perlulah:

  • Seorang individu yang beragama Islam
  • Mempunyai kesempurnaan akal (boleh berfikir)
  • Cukup usianya untuk melayakkan dia memberikan penjagaan dan kasih sayang yang diperlukan si anak
  • Berkelakuan baik dari aspek akhlak Islamiah
  • Mempunyai tempat tinggal yang bersesuaian untuk tumbesaran si anak, terutamanya dari aspek akhlak dan jasmani

Hilang hak penjagaan

Bagaimana pula seorang yang layak untuk mendapat hak penjagaan boleh hilang kelayakan menjaga si anak tersebut? 

hak penjagaan anak selepas bercerai

Sudah tentu ada sebab tertentu yang menyebabkan kelayakan hak penjagaan anak selepas bercerai gugur, antaranya:

  • Penjaga wanita berkahwin dengan lelaki yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang dilarang berkahwin dengan si anak tersebut. Jika penjagaannya selepas berkahwin boleh menjejaskan kebajikan anak itu, maka hak penjagaan akan hilang. Tetapi ia akan dikembalikan, sekiranya perkahwinan itu terbubar; 
  • Jika penjaga wanita itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  • Jika penjaga wanita itu menukar permastautinan dengan niat untuk menghalang/ mencegah bapa kandung kepada anak tersebut melakukan pengawasan ke atasnya. Walau bagaimanapun, jika penjaga wanita itu adalah ibu kandung kepada anak tersebut yang diceraikan, ibu tersebut boleh membawa anaknya untuk tinggal di tempat lahirnya;
  • Jika penjaga anak itu murtad, iaitu meninggalkan agama Islam;
  • Jika penjaga anak itu menganiaya dan mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan si anak

Jadi apa yang dikongsikan merupakan antara sebab mengapa hak penjagaan anak boleh ditarik semula.

Ini bermakna dalam Islam, mahupun sebarang anutan agama lain, kebajikan dan kesejahteraan anak, merupakan hal yang paling diutamakan dalam pemberian hak penjagaan si kecil.

hak penjagaan anak selepas bercerai

Pilihan sendiri

Bagaimana pula jika si anak mahu memilih sendiri dengan siapa dia mahu tinggal?

Sudah tentu anak juga mempunyai hak untuk menentukan dengan siapa dirinya mahu tinggal bersama.

Walau bagaimanapun, keputusan anak hanya akan dapat diambil kira setelah mencapai usia baligh atau mumayyiz, iaitu dapat membezakan antara baik dan buruk, benar dan salah serta sudah mampu untuk menjaga kebajikan dirinya sendiri.

Namun begitu, pada akhirnya, keputusan muktamad masih bergantung kepada pihak mahkamah.

Bagi setiap negeri di Malaysia ini, terdapat perbezaan undang-undang berkaitan hak penjagaan anak selepas bercerai yang bergantung kepada enakmen negeri.

Cara terbaik untuk menentukan atau menyelesaikan soal hak penjagaan anak, adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak peguam di tempat/ negeri anda bagi memperolehi lebih kepastian.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, rujuklah kepada pihak yang lebih arif mengenai penceraian ini.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. AL-KAFI #621 : HAK JAGAAN ANAK SETELAH BERCERAI. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/839-al-kafi-621-hak-jagaan-anak-setelah-bercerai /Accessed on Jan 31, 2020
  2. Tuntutan & Hak selepas Perceraian. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/27697?language=my /Accessed on Jan 31, 2020
  3. Hak penjagaan zuriat. https://www.hmetro.com.my/addin/2019/02/420456/hak-penjagaan-zuriat /Accessed on Jan 31, 2020
  4. Hak penjagaan anak. https://www.jbg.gov.my/images/doc/risalah/hak_penjagaan_anak_bukan_islam.pdf, Accessed April 17, 2023
  5. Hak Selepas Penceraian. http://kelantan.jksm.gov.my/jksn/index.php/pustaka-media/hak-selepas-penceraian, Accessed April 17, 2023

Versi Terbaru

17/04/2023

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Selalu Resah Gelisah? Ketahui 10 Perkara Yang Buat Kita Rasa Kosong & Tak Gembira

Ada Masalah Jiwa, Tapi Keliru Nak Jumpa Pakar Psikiatri Atau Ahli Psikologi? Ini Perbezaannya


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/04/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan