backup og meta

Semarakkan Rasa Jalinan Kasih Antara Ibu Dan Anak

Semarakkan Rasa Jalinan Kasih Antara Ibu Dan Anak

Kasih sayang antara ibu bapa dan anak merupakan ikatan yang sangat kukuh. Perhubungan yang terjalin, khususnya antara ibu dan anak ketika dalam kandungan adalah ikatan yang paling istimewa 

Kasih sayang ibu dan anak

Kasih sayang yang wujud terhadap anak adalah satu perkara yang terjadi secara semula jadi. Pasti anda pernah berdepan situasi di mana anda terlalu ingin mencium anak anda berulang kali sehingga si kecil anda berasa rimas. 

Rasa kasih kepada anak sudah ada dalam diri anda walaupun pada ketika anda berdua masih belum berjumpa. Jalinan emosi yang terjalin sejak dalam kandungan, adalah batu asas yang menyatu padukan rasa kasih antara anda berdua. 

Tidak percaya? Ketika anda sedang dalam tempoh kehamilan, pastinya anda pernah memegang perut anda sambil ‘berbual’ dengan anak yang masih dalam kandungan itu, bukan? Malahan, ada sesetengah individu menjadikan komunikasi tersebut sebagai satu rutin harian. 

Itu adalah antara tanda bahawa terdapat ikatan kasih sayang antara si ibu dan anak. Ini kerana ketika hamil, hormon keibuan akan menjadi kuat dan mengeratkan tali pertalian antara anda sebagai ibu dan anak. 

Semakin dekat dengan tarikh anda dijangka bersalin, perubahan akan mula berlaku pada otak. Di mana otak anda akan mula menghasilkan lebih banyak hormon oksitosin, iaitu hormon yang dapat membantu menyerlahkan rasa keibuan anda. Oksitosin juga merupakan sejenis hormon yang dikenali sebagai hormon kasih sayang.

Membentuk hubungan

Bagi individu lelaki bergelar ayah, anda tidak akan mengalami sebarang peningkatan hormon atau jalinan kasih sayang istimewa seperti yang dilalui individu wanita hamil. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna pertalian antara bapa dan anak tidak akan berlaku.

Ini kerana apabila seorang anak itu semakin membesar, mereka akan mempunyai keupayaan untuk menjalinkan ikatan mesra dengan mana-mana individu yang bertindak balas terhadap keperluan fizikal dan emosi mereka. 

Berdasarkan teori ikatan yang merupakan satu panduan prinsip psikologi berkaitan perhubungan di antara individu, ia menyatakan bahawa seseorang individu tanpa mengira usia akan menjadi sangat terikat dengan individu lain yang membuatkan mereka berasa selamat dan memberi sokongan. Lebih menarik lagi, setiap individu tidak akan hilang keupayaan dan keinginan untuk membentuk pertalian ini.

Merasai ikatan kasih

Tidak dinafikan, sesetengah ibu tidak terus berasa kasih dengan anak dengan sedang dalam kandungan. Keadaan ini mungkin disebabkan rasa tertekan, kecewa atau keletihan yang boleh menghilangkan hormon kasih tersebut. Tetapi jangan risau. Keadaan ini biasanya untuk sementara waktu sahaja. 

Kasih sayang terbentuk tanpa had dan masa bagi seorang ibu dan anaknya. Jika anda boleh berada di sisinya ketika jam pertama dia terjaga, anak anda pastinya akan cuba merenung mata anda dan mengingati wajah anda, atau paling tidak wajah anda dalam versi yang kabur. Senyuman pertama yang diukirnya dapat membantu anda berdua berhubung.

Dalam satu kajian yang dilakukan pada tahun 2008, menunjukkan bahawa apabila seorang ibu melihat gambar bayi mereka yang sedang tersenyum, bahagian otak mereka yang dikaitkan dengan bahan kimia dopamine berkembang.

Namun begitu, bagi seorang bayi, mereka memerlukan tempoh masa antara tujuh hingga lapan bulan untuk membentuk satu ikatan yang kuat dengan anda sebagai individu penting di dalam hidupnya. Jadi para ibu dan bapa sekalian, harap bersabar ya?

Tunjukkan kasih sayang kepada si manja

Bagaimana caranya untuk menunjukkan kasih sayang, sama ada daripada seorang ibu dan anak mahupun seorang ayah kepada anaknya? Adakah anda hanya perlu memberikan ciuman kasih sayang atau dengan melafazkan ungkapan seperti “mama sayangkan Husna”, semata-mata?

Sebenarnya terdapat pelbagai cara yang boleh anda lakukan untuk menunjukkan rasa kasih sayang anda terhadap anak, antaranya:

Sentuhan fizikal

Untuk menunjukkan kasih sayang anda terhadap si kecil sudah tentu memerlukan sentuhan fizikal. Ia boleh dilakukan dengan pelukan, ciuman atau belaian lembut dengan penuh kasih sayang. 

Anda boleh lakukannya apabila mereka sedang menangis, sebelum tidur atau lakukan pada bila-bila masa yang anda mahukan. Sesungguhnya kasih sayang yang ditunjukkan melalui sentuhan fizikal adalah lebih mudah untuk dilakukan.

Kata-kata

Anda juga boleh memilih untuk meluahkan rasa kasih sayang anda melalui ungkapan kata-kata. Anda tidak perlu menjadi seorang ibu bapa yang hebat dalam bermadah. Ketika anda bersendirian dengan si kecil, katakan kepadanya “mama sayang awak.” 

Jika si kecil sudah besar untuk memahami ungkapan tersebut, sudah pasti akan akan menerima jawapan balas seperti “sayang mama juga.” Pasti ia akan membuahkan rasa bahagia di hati anda, bukan?

Sekiranya anda jenis individu yang sukar untuk melafazkan ungkapan seperti itu, kata-kata berupa sokongan atau galakan juga boleh diberikan sebagai ganti. 

Meluang masa

Tiada apa yang lebih diinginkan oleh seorang anak melainkan dapat bersama ibu bapanya. Tidak dinafikan sebagai ibu bapa yang bekerja, anda mungkin keletihan selepas seharian menjalankan tugasan kerja anda. Walau bagaimanapun, cuba untuk meluangkan masa bersama anak. Paling tidak, selepas pulang bekerja, ketepikan segala gajet atau sebarang tugasan melibatkan kerja. Berikan sedikit masa untuk bersama anak. 

Jika anda mempunyai masa terluang, bawalah anak untuk berjalan-jalan, bercuti atau sekadar makan bersama di restoran. Percayalah, apabila anda meluangkan masa untuk bersama anak-anak anda, ia akan membuatkan mereka berasa kewujudan mereka penting dalam hidup anda. Paling penting, jangan lokek untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak anda. 

Membantu

Jika anak anda sudah memasuki alam persekolahan, anda boleh tunjukkan rasa kasih sayang kepada mereka dengan membantu mereka melakukan tugasan sekolah. Tetapi elakkan daripada terlalu membantu anak sehingga mereka menjadi terlalu bergantung kepada anda, okay?

Hadiah

Siapa yang tidak suka hadiah, apatah jika ia daripada individu yang disayangi. Begitu juga dengan kanak-kanak yang diberikan hadiah, walaupun hanya sekeping bar coklat. Hadiah yang diberikan bukan bergantung kepada nilai tetapi pemberian tersebut membuatkan mereka berasa istimewa dalam hidup anda. 

Jika anak sudah bersekolah, anda mungkin boleh memberikan ganjaran sekiranya mereka mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan. Bukankah itu dapat membantu menaikkan lagi semangat anak anda untuk lebih berjaya di dalam akademik?

Akhir kata

Rasa kasih sayang antara seorang ayah, ibu dan anak boleh dizahirkan dengan pelbagai cara. Namun, perkara yang harus diingatkan adalah untuk sentiasa menunjukkan rasa kasih itu kepada anak setiap hari. Jadi, bagaimana dengan hari ini, sudahkah anda tunjukkan rasa sayang kepada si kecil?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.sciencedirect.com/topics/medicine-and-dentistry/mother-child-relation /Accessed on Jan 23, 2020

https://www.babycenter.com.my/a25013069/bagaimana-kasih-sayang-berputik-di-antara-ibu-dan-anak  /Accessed on Jan 23, 2020

https://my.theasianparent.com/kasih-sayang-untuk-anak  /Accessed on Jan 23, 2020

https://www.unicef.org/parenting/child-care/relationship-between-mother-and-baby /Accessed on Jan 23, 2020

https://www.thehealthy.com/family/childrens-health/bond-between-mother-and-child/ /Accessed on Jan 23, 2020

Versi Terbaru

02/07/2020

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Selain Curang, Apa Lagi Punca Penceraian Di Malaysia? Kalau Sayang, Berubah!

6 Rahsia Menjadi Isteri Solehah, Bukan Hanya Jaga Makan & Pakai Suami Ya!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 02/07/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan