Kemurungan merupakan antara perkara yang tidak boleh dielakkan daripada berlaku kepada mana-mana individu waima ibu yang sedang hamil. Tetapi bolehkah ibu mengandung mengambil ubat antidepresi?
Kajian ubat antidepresi
Dalam satu kajian yang dijalankan, penyelidik mendakwa pengambilan ubatan antidepresi semasa kehamilan boleh mengubah secara kekal fungsi otak yang memproses maklumat deria (sensor).
Perubahan yang berlaku akibat pengambilan ubatan tersebut adalah ia mengubah deria sentuhan bayi dengan menjejaskan bahagian fungsi otak yang memberikan maklumat mengenai apa yang dirasakan tangan mereka.
Penyelidik dari Washington University School of Medicine di St Louis, Missouri menjalankan kajian ke atas tikus makmal dengan mendedahkan binatang tersebut kepada ubat antidepresi ketika berada di dalam janin dan dua minggu pertama selepas dilahirkan.
Untuk melihat kesan ubat ini kepada aktiviti otak, pasukan penyelidik membahagikan tikus kepada dua kumpulan; satu kumpulan tikus terkawal yang tidak terdedah kepada sebarang ubatan.
Manakala kumpulan tikus yang lain didedahkan kepada fluoxetine, ubat yang biasanya dikenali sebagai Prozac – ubat ini berfungsi untuk meningkatkan tahap serotonin di dalam otak, yang merupakan neurotransmitter yang membawa isyarat kepada neuron.
Hasil kajian
Dalam kajian ini, penyelidik membandingkan imbasan otak tikus baru lahir yang terdedah kepada ubat dengan tikus dari kumpulan terkawal. Semasa dalam keadaan tenang, imbasan yang diperolehi adalah hampir sama.
Walau bagaimanapun, ketika penyelidik merangsang kaki hadapan tikus, berlaku aktiviti otak yang tidak normal – yang tidak dapat dijelaskan – pada kawasan deria bagi tikus yang terdedah kepada ubatan antidepresi. Keadaan yang sama berlaku apabila tikus berkenaan mencapai usia dewasa.
Kajian mendapati tikus yang terdedah kepada antidepresi mempunyai aktiviti otak yang tidak normal apabila penyelidik mencakar dan menyentuh bahagian kaki hadapan. Penyelidik turut menyatakan pendedahan ini menyebabkan perubahan jangka masa panjang dalam otak tikus dan tidak dapat dipulihkan.