Hubungan seks yang berlaku seharusnya melahirkan rasa kepuasan. Tetapi berlainan pula dengan anda, gangguan emosi yang dialami. Mengapakah ia berlaku?
Gangguan emosi selepas hubungan seks
Pada saat awal melakukan hubungan seks, anda berasa gembira dan seronok. Namun segalanya berubah selepas itu.
Ketika berbaring pelbagai rasa dan kebimbangan yang anda fikirkan; apa yang berlaku, apa maksud atau apa yang mungkin akan terjadi seterusnya.
Atau mungkin anda berasa cemas untuk sesuatu yang tiada kaitan dengan seks yang baharu terjadi.
Anda tidak bersendirian.
Postcoital dysphoria atau turut dikenali sebagai post-sex blues, boleh berlaku kepada mana-mana individu tanpa mengira jantina.
Gangguan emosi postcoital dysphoria
Postcoital dysphoria (PCD) merujuk kepada gangguan emosi yang berkisarkan daripada kesedihan, kegelisahan, kemurungan atau kemarahan.
Secara umumnya, PCD adalah perasaan negatif yang tidak sepatutnya wujud selepas mengadakan hubungan seks.
Bahkan anda mungkin boleh mengalirkan air mata kerana post-sex blues. Pelik, kan?
Postcoital dysphoria boleh berlanjutan untuk tempoh 5 minit hingga 2 jam. Ia boleh berlaku sama ada dengan atau tanpa orgasme.
Dalam 1 kajian mendapati simptom berkaitan PCD wujud selepas hubungan seks, sebarang aktiviti seksual serta melancap.
Jika anda mengalami gangguan emosi ini, anda akan rasa sedih, cemas atau kedua-duanya sekali.
Mengenal pasti puncanya
Menurut pakar psikologi, punca sebenar yang menyebabkan PCD terjadi masih tidak dapat diketahui. Namun penyelidik mempunyai beberapa hipotesis:
- Hormon
Semasa melakukan aktiviti seksual bersama pasangan, berlaku peningkatan sejumlah hormon yang berlainan di dalam badan, termasuk dopamin dan oksitosin.
Jika anda mencapai klimaks, terdapat juga hormon yang dilepaskan seperti prolaktin.
Kombinasi hormon-hormon ini, boleh mengakibatkan emosi yang kuat.
Apabila persetubuhan berakhir, tahap hormon ini akan menurun. Ia boleh menyebabkan beberapa emosi yang tidak dijangka, terutamanya kegelisahan.
Maka saintis berpandangan naik turun hormon dalam badan ini turut menjadi punca postcoital dysphoria.
- Perasaan berkaitan hubungan
Jika ada isu yang berbangkit, kerisauan atau ketakutan berkaitan perhubungan kalian, hubungan seks boleh membuatkan emosi anda bercampur-baur.
Lebih-lebih lagi dengan kewujudan hormon-hormon tersebut.
Di samping itu, jika anda adalah pasangan pengantin baharu, segala ketidakpastian dan ‘perkara baharu’ yang dialami juga boleh menimbulkan perasaan kegelisahan.
- Pandangan tentang seks dan badan
Banyak individu mempunyai gangguan emosi yang merangkumi perasaan dan kegelisahan yang kompleks mengenai hubungan seks.
Mungkin anda mempunyai pandangan atau idea tersendiri tentang bagaimana seks itu harus terjadi atau anda tidak selesa dengan posisi seks tertentu.
Anda mungkin bimbang tentang keupayaan anda untuk beraksi ketika melakukan seks.
Ada juga individu yang berasa bersalah atau malu berkaitan seks dan tidak mampu mengenepikan apa yang dirasai ketika bersama pasangan.
Adakalanya wujud kesukaran untuk melupakan masalah imej diri yang dialami. Sudah tentu ia mengakibatkan rasa gelisah saat pasangan melihat anda dalam keadaan bogel semasa seks.
Semua rasa ini adalah normal dan dengan mudah ia cenderung menimbulkan kemurungan setelah aktiviti seksual berlangsung.
- Kebimbangan dan tekanan umum
Adakah banyak perkara yang anda fikirkan? Jika anda berdepan tekanan seharian, pastinya rasa itu sukar untuk diketepikan ketika bersama pasangan.
Anda mungkin berasa anda telah mengenepikannya buat sementara. Namun berlainan pula dengan badan anda yang membawa anda kembali kepada tekanan itu setelah selesai seks.
Jika anda mempunyai gangguan emosi seperti kegelisahan atau kemurungan, terdapat kecenderungan untuk anda mengalami gejala PCD, seperti rasa cemas.
Berdasarkan kajian dilakukan pada 2015, walaupun punca sebenar PCD masih kabur, tetapi mereka yang mengalami tekanan psikologi mungkin lebih berisiko alami post-sex blues ini.
- Trauma atau sejarah penderaan
Sekiranya anda merupakan mangsa serangan seksual atau penderaan, sesetengah sentuhan atau posisi mungkin boleh menjadi pencetus trauma.
Ia mungkin secara tidak sedar menimbulkan rasa kewaspadaan, ketakutan atau cemas.
Atasi gangguan emosi
Pertama sekali anda perlu melihat apa yang anda lalui sebagai peluang untuk belajar mengenai keperluan, motivasi dan nilai seksual anda.
Catatkan apa yang anda rasa dan lakukan perbincangan dengan pasangan.
Anda boleh bertanyakan kepada diri anda 5 soalan berikut dan cuba tentukan apa sebenarnya yang tidak sesuai:
- Adakah sebelum, semasa, dan/atau selepas hubungan seks membuatkan emosi anda mula terjejas?
- Adakah perasaan yang dialami ini turut dirasai pada waktu lain dalam kehidupan anda?
- Adakah tingkah laku anda selaras dengan nilai diri anda?
- Adakah anda berpuas hati dengan cara layanan yang anda terima?
- Adakah terdapat perkara yang anda sesali dengan aktiviti seksual yang berlaku itu?
Jangan memaksa diri
Anda perlu tahu postcoital dysphoria adalah sesuatu yang terjadi kepada ramai individu. Usah berasa pelik mengenainya.
Jika anda mengalami gangguan emosi ini, bersabar dan atasinya secara perlahan-lahan. Sekiranya berterusan, pilihan terbaik adalah berjumpa dengan pakar terapi.