#3. Sindrom penarikan diri (withdrawal syndrome)
Jika seseorang individu itu lebih gemar menyendiri atau mengelakkan diri daripada bergaul dengan rakan-rakan mahupun menyertai aktiviti sosial, ia juga mungkin simptom-simptom berlakunya kemurungan. Ini termasuklah hilangnya minat terhadap sesuatu perkara atau aktiviti yang dahulunya amat amat digemari oleh individu tersebut.
#4. Perubahan personaliti atau penampilan
Individu yang cuba untuk membunuh diri mungkin akan menunjukkan perubahan sikap atau perlakuan yang tidak seperti kebiasaannya. Selain itu, seseorang individu itu juga mungkin akan kurang mengambil berat mengenai penampilan peribadinya.
#5. Tingkah laku yang berbahaya atau membahayakan diri sendiri
Antara contoh-contoh kelakuan atau tingkah laku yang berbahaya termasuklah pemanduan yang tidak cermat, melibatkan diri dengan aktiviti seks tidak selamat, selain penyalahgunaan dadah dan juga peningkatan pengambilan minuman keras. Kelakuan seperti ini juga menunjukkan bahawa seseorang individu itu tidak lagi memikirkan mengenai nilai hidupnya.
#6. Trauma atau krisis kehidupan
Krisis kehidupan yang besar mungkin akan mencetuskan keinginan seseorang untuk membunuh diri. Apakah contoh krisis kehidupan yang mungkin berlaku? Ia termasuklah kematian seseorang yang disayangi, perceraian, didiagnosis memiliki penyakit kronik, kehilangan pekerjaan dan juga masalah kewangan yang serius.
#7. Melakukan persediaan
Anda mungkin terkejut tetapi ini juga adalah satu tanda bahawa seseorang itu mungkin mahu bersedia untuk menamatkan kehidupannya. Antara kelakuan yang mungkin akan dilakukan oleh seseorang itu ialah melawat rakan dan saudara-mara, mula memberikan barangan peribadi kepada orang lain, menulis wasiat, membersihkan rumah atau bilik dan juga menulis nota tertentu sebelum kejadian yang tidak diingini ini berlaku.
#8. Mengancam untuk membunuh diri
Walaupun tidak semua individu yang ingin membunuh diri akan menyatakan sedemikian, tetapi setiap ugutan atau ancaman seperti ini perlu diambil berat. Pada anda ia mungkin kelihatan seperti satu gurauan, tetapi ia mungkin satu hasrat hati yang ingin diperkatakan oleh seseorang itu sebagai salah satu kata akhirnya.