
Kita sering dihidangkan dengan pelbagai cerita sensasi berkenaan kesihatan mental artis-artis tempatan sebelum ini.
Ada yang mengatakan ia sekadar dibuat-buat bagi meraih perhatian ramai, malah ada juga yang tidak segan silu mengaibkan artis ini disebabkan oleh pengakuan mereka memiliki kemurungan atau keresahan.
Jangan main-main dengan isu kesihatan mental
Biarpun ia mungkin bukan satu realiti atau sekadar dibuat-buat, perkara pertama yang anda perlu belajar adalah untuk tidak menghakimi seseorang itu setelah dia membuat pengakuan. Mengapa? Tidak kira artis atau orang biasa, perkara yang berkaitan isu kesihatan mental tidak boleh sekali-kali dibuat main.
Adakah anda tahu jika seseorang artis itu benar-benar sekadar berlakon dengan kemurungan yang dialami? Bagaimana pula jika dia sememangnya mengalami keadaan mental yang terjejas?
Bukan tanggungjawab atau tugas anda untuk memperolok-olokkan pengakuan mereka kerana tindakan dan dakwaan itu, jika tidak benar, hanya akan memburukkan lagi situasi sedia ada.
Jadi, sebaiknya anda berdiam diri berbanding memberikan komen atau kecaman yang boleh memberi kesan negatif kepada individu terbabit.
Disebabkan oleh kurangnya pendedahan dan kesedaran berkenaan peri pentingnya pemeliharaan kesihatan mental dalam masyarakat, kecaman terhadap mereka yang terjejas ini sering menjadi bahan gurauan.
Artis-artis tempatan yang pernah dikaitkan dengan isu kesihatan mental
Terdapat beberapa nama dalam industri hiburan tempatan yang pernah sensasi dengan pengakuan mahupun isu berkaitan kesihatan mental.
Kami senaraikan beberapa artis dan seniman yang pernah dikaitkan dengan isu mental ini.
#1. Iqram Dinzly
Dikatakan kemurungan yang dialami oleh pelakon ini bermula sejak kematian bapanya pada tahun 2017 selain faktor-faktor lain seperti kurang mendapat job dan penutupan kedai miliknya di Pulau Langkawi. Iqram Dinzly mula mempertontonkan perkara-perkara pelik dan bersifat lucah di media sosial pada peringkat awal kemurungan yang dialaminya.
Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar berkata, pihak mereka pernah cuba untuk menghubungi pelakon tersebut bagi menghulurkan bantuan yang sepatutnya.
Menurut Anita, pelakon tersebut pada ketika itu sudah mula memberikan petunjuk “cry for help” mengenai masalah yang dialami.
#2. Azma Aizal Yusoof
Pelakon yang juga seorang pengarah ini telah mula menyatakan keadaan dirinya yang mengalami bipolar disorder tahap 1 pada tahun 2009. Pada tahun yang sama juga, dia pernah ditahan di wad psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selama 8 hari. Bipolar disorder atau gangguan bipolar adalah satu penyakit mental di mana penghidapnya akan mengalami perubahan emosi secara mendadak.
Selepas dibawa keluar oleh ibunya dari wad tersebut, dia kemudiannya diuji ketagihan dadah dan alkohol yang mengakibatkannya dimasukkan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) selama 2 minggu.
Kini dia telah bangkit kembali dan sibuk dengan pengarahan drama serta menguruskan projek kem aktiviti lasak bersama rakannya di Radak Adventure.
#3. Yasin Sulaiman
Bekas ahli kumpulan nasyid Brothers ini juga pernah mengakui bahawa dia mempunyai bipolar disorder. Dia juga pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada tahun 2009.
Setelah mula mendapatkan rawatan bagi bipolar disorder yang dialaminya, dia mengakui bahawa dia hampir pulih sepenuhnya pada ketika itu. Pelantun lagu Mimpi Laila ini mengakui jika dahulu dia tidak begitu memperkatakan mengenai masalah yang dialaminya, tetapi kini telah selesa berkongsi berkenaan perkara tersebut.
Dia juga mengaku bahawa semasa mendapatkan rawatan, dia menjadi sangat hyper dan manic sehingga pernah diikat kerana terlalu aktif dan tidak boleh berehat. Menurutnya lagi, disebabkan ramai lagi dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui berkenaan bipolar disorder ini, ramai yang melabelkan gangguan tersebut sebagai ‘gila isim’.
#4. Shah Iskandar
Shah Iskandar pernah membuat pendedahan yang dia mengalami Gangguan Obsesif Kompulsif atau Obsessive Compulsive Disorder (OCD). Tetapi, artis dari negara Singapura ini turut mengakui bahawa dia tidak cuba untuk mendapatkan rawatan bagi keadaan yang dialaminya kerana menganggap ia masih bukan satu keadaan yang kronik.
Dia disahkan mempunyai OCD sejak tahun 2002 semasa masih bergelar penuntut di Politeknik Ngee Ann, Singapura. Kini, dia telah bergiat dengan rancak dalam bisnes yang diusahakan secara bersama dengan isterinya.
#5. Haqiem Rusli
Kecoh seketika dunia hiburan tempatan apabila penyanyi muda, Haqiem Rusli pernah mengumumkan ingin berundur daripada dunia seni pada tahun 2018 disebabkan oleh kemurungan yang dialami.
Pada ketika itu, banyak kecaman yang diterima olehnya disebabkan ramai yang menganggapnya sengaja melakukan satu gimik murahan bagi mendapatkan perhatian.
Selepas kes itu, dalam satu sidang media, dia menyatakan bahawa dia disahkan mengalami kemurungan pada tahap sederhana oleh doktor setelah menjalani pemeriksaan bersama doktor pakar psikiatri. Dia menegaskan bahawa kemurungan yang dialami itu bukanlah satu perkara yang direka-reka.
Sikap anda terhadap kesihatan mental individu
Tidak kira sama ada individu yang mengaku bahawa dia berhadapan dengan masalah mental itu seorang artis atau orang awam, kita perlulah sentiasa memberi sokongan kepada mereka. Kecaman, gurauan atau perlian tidak langsung membantu keadaan yang dialami oleh mereka menjadi lebih baik.
Sikap empati amat perlu agar anda menjadi seorang manusia yang lebih berperikemanusiaan dan bertimbang rasa. Jika pengakuan yang diluahkan individu tersebut adalah satu lakonan atau gurauan semata-mata, hal tersebut terserah kepada mereka sahaja.
Anda tidak perlu untuk bertindak agresif terhadap perkara yang anda sendiri belum tentu pasti.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga:
- Naim Daniel Alami Kemurungan?
- Diana Danielle Kongsi Derita Anxiety Attack, Apa yang Perlu Anda Lakukan Jika Alaminya
- Kesihatan Mental, PUNCA Putera Harry Undur Diri?
- Persepsi Mengenai Kesihatan Mental Berubah Selepas Sedekad
- Ketahui, Makan Sihat Bukan Hanya Untuk Badan, Tetapi Juga Untuk Mental Anda!
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.