“Nak beli spek, tapi tak pasti bentuk cermin mata untuk muka bulat.” Anda pernah alami masalah yang sama? Tidak pasti cermin mata yang sesuai untuk bentuk muka masing-masing? Jangan risau, kami di sini untuk membantu!
Cermin mata merupakan satu keperluan untuk mereka yang mempunyai masalah rabun. Walau bagaimanapun, ramai yang rasa menyesal jika ‘tersalah beli’ cermin mata yang tidak sesuai dengan bentuk wajah.
Sebab itulah, mereka yang memakai cermin mata ini memilih orangnya! Lagipun, cermin mata bukanlah aksesori yang murah. Semakin berkualiti, semakin mahal harganya!
Sebenarnya, masalah ini boleh diatasi. Pertama sekali, anda perlulah tahu apakah bentuk wajah anda.
Kemudian, pastikan pemilihan cermin mata untuk muka bulat, petak, bujur atau sebagainya dapat menonjolkan ciri yang menarik pada wajah anda.
Jika anda ikut tip kami di bawah, pasti anda tidak akan menyesal dengan cermin mata yang bakal dibeli. Nak tahu cara terbaik untuk pilih cermin mata mengikut bentuk wajah? Jom, ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.
Tentukan bentuk wajah anda
Sebelum beli cermin mata, anda perlulah kenal pasti apakah bentuk wajah anda. Hendak beli cermin mata untuk muka bulat, petak, bujur atau sebagainya, ini panduan untuk anda:
- Bentuk wajah petak. Mereka yang mempunyai bentuk wajah petak mempunyai dahi dan dagu yang luas. Selalunya, mereka juga mempunyai rahang yang lebar.
- Bentuk wajah bulat. Dahi, pipi dan dagu mempunyai saiz yang lebih kurang sama. Rahang dan tulang pipi juga tidak tajam.
- Wajah bentuk hati. Dahi luas tetapi dagu tirus. Individu dengan bentuk wajah ini selalunya mempunyai tulang pipi yang tajam.
- Bentuk wajah diamond. Mereka ini mempunyai dahi dan dagu yang tirus tetapi tulang pipi yang lebar.
- Bentuk wajah bujur. Dahi dan dagu yang bersaiz sederhana tetapi dengan pipi dan rahang yang memanjang.
- Bentuk wajah segi tiga. Dahi yang tirus dengan rahang yang lebar.
Namun, ingat ya, sama seperti bentuk badan, semua orang mempunyai bentuk wajah yang berbeza. Bentuk muka di atas hanyalah panduan semata-mata. Tidak ada seorangpun yang mempunyai bentuk wajah yang betul-betul bulat, petak atau sebagainya.
Di bawah, kami akan jelaskan bentuk cermin mata untuk muka bulat dahulu sebelum bentuk muka yang lain.
Baca juga:
- Antara Cermin Mata & Contact Lens, Yang Mana Satu Lebih Baik? Ini Pro Kontranya
- Rimas Pakai Cermin Mata, Inginkan Penglihatan Yang Jelas? Cuba Pembedahan LASIK
Cermin mata untuk muka bulat
Contoh selebriti muka bulat: Selena Gómez, Drew Barrymore, Leonardo DiCaprio, Mira Filzah
Individu yang mempunyai wajah yang bulat perlulah elakkan pemakaian cermin mata yang kecil atau berbentuk bulat.
Cuba dapatkan cermin mata yang bersegi. Ia dapat menonjolkan garis wajah dan membuatkan anda nampak lebih cantik.
Cermin mata untuk muka bulat atau bujur
Contoh selebriti muka oval: Jessica Alba, Gigi Hadid, Adam Levine, Erra Fazira, Hanis Zalikha
Individu yang mempunyai wajah yang bujur selalunya mempunyai muka yang panjang.
Namun, mereka yang mempunyai muka bujur sirih selalunya lebih versatil. Mereka boleh pakai apa jua bentuk cermin mata yang diinginkan.
Namun, elakkan cermin mata yang terlalu besar kerana ia boleh ‘menenggelamkan’ ciri wajah anda yang patut ditonjolkan.
Cermin mata untuk muka berbentuk hati
Contoh selebriti muka berbentuk hati: Reese Witherspoon, Nick Jonas, Scarlett Johansson
Muka berbentuk hati, macam mana tu? Untuk pengetahuan anda, mereka yang mempunyai wajah berbentuk hati selalunya berdahi luas. Kemudian, wajah mereka akan tirus ke bawah, sama seperti bentuk hati.
Sebagai individu yang mempunyai wajah jenis ini, anda perlu elakkan cermin mata yang tebal dan besar untuk elakkan dahi anda nampak lebih besar daripada biasa.
Cermin mata untuk wajah berbentuk petak
Contoh selebriti muka berbentuk petak: Angelina Jolie, Cristiano Ronaldo, Sandra Bullock, Wany Hasrita
Rahang yang menyerlah merupakan kekuatan utama mereka yang mempunyai wajah bersegi.
Kalau boleh, elakkan cermin mata yang berbentuk segi empat. Pilih cermin mata yang berbentuk bulat untuk jadikan wajah anda lebih simetri.
Anda mungkin berminat:
- Sukar Bezakan Warna Merah Dan Hijau? Ada Cermin Mata Khas Untuk Si Rabun Warna
- Cabaran Si Mata Empat, Ini Cara Nak Elak Cermin Mata Berkabus Apabila Pakai Pelitup Muka!
Cermin mata untuk wajah berbentuk diamond
Contoh selebriti muka berbentuk diamond: Viola Davis, Tyra Banks
Mereka yang mempunyai bentuk muka diamond mempunyai tulang pipi yang tajam.
Selain itu, dahi dan rahang mereka pula lebih kecil. Pipi akan nampak lebih tembam daripada biasa.
Bagi mereka yang mempunyai bentuk muka ini, elakkan cermin mata yang kecil dan tirus. Cermin mata jenis ini hanya akan buatkan wajah anda nampak lebih kecil.
Pilih cermin mata berbentuk cat-eye atau bujur untuk menyerlahkan tulang pipi anda.
Selepas ini, jangan risau jika anda ingin memilih cermin mata untuk muka bulat, bujur, petak atau sebagainya. Panduan kami ini mungkin dapat membantu anda!