backup og meta

Tak Nak Pakai Cermin Mata Apabila Tua? Ini 9 Cara Jaga Mata Elak Rabun

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 02/09/2022

    Tak Nak Pakai Cermin Mata Apabila Tua? Ini 9 Cara Jaga Mata Elak Rabun

    Apabila bertambah usia, mata pun mula menimbulkan masalah hingga pemakaian cermin mata mungkin diperlukan. Justeru, apakah cara semula jadi untuk jaga dan memelihara kesihatan mata?

    Jangan risau ya, terdapat beberapa cara semula jadi boleh dilakukan untuk melindungi dan meningkatkan penglihatan tanpa memerlukan cermin mata pembetulan.

    Ini kerana, penglihatan yang buruk tidak semestinya menjadi punca yang tidak dapat dielakkan apabila meningkat tua.

    Terdapat beberapa cara semula jadi dan perubahan gaya hidup yang dapat membantu seseorang dalam memperbaiki dan melindungi penglihatan mereka.

    Ini cara-cara hendak jaga mata tanpa perlu pakai cermin mata

    1. Pelindung mata

    Kecederaan mata boleh berpunca daripada pelbagai aktiviti termasuk tugasan rumah tangga, bermain sukan, atau bekerja dengan peralatan tertentu di persekitaran yang berbahaya.

    Dengan memakai cermin mata pelindung, anda dapat bantu mencegah risiko kecederaan, kerosakan, dan kerengsaan pada mata daripada kesan serpihan dan bahan kimia.

    Bergantung pada aktiviti yang dilakukan, perlindungan yang sesuai boleh merangkumi:

    • Cermin mata keselamatan
    • Goggles
    • Topeng muka
    • Topi keledar

    2. Cermin mata hitam

    cermin mata

    Cermin mata hitam bukan sekadar aksesori fesyen, tetapi ia juga membantu melindungi mata daripada sinar ultraviolet (UV).

    Pendedahan UV yang berlebihan mampu merosakkan mata. Lampu UV juga dapat meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat:

    • Katarak
    • Kanser mata
    • Pertumbuhan pada mata, seperti pterygium

    Untuk mendapat perlindungan yang optimum, anda disarankan untuk memilih kaca mata hitam yang disertai dengan perlindungan UV yang mencukupi.

    3. Nak elak pakai cermin mata, lakukan pemeriksaan mata secara berkala

    Menurut National Eye Institute, menjalani pemeriksaan mata secara berkala adalah satu-satunya cara untuk memastikan kondisi mata yang sihat.

    Semasa pemeriksaan dilakuan, titisan mata khas digunakan untuk mengembangkan anak mata, yang membolehkan mereka melihat ke belakang mata dan mengesan sebarang potensi masalah.

    Selain itu, pemeriksaan mata dapat membantu dalam mengesan sebarang masalah mata pada peringkat awal, seperti glaukoma dan degenerasi makula.

    4. Kurangkan menghadap skrin untuk jaga mata

    Pekerjaan yang banyak menggunakan komputer atau menghadap skrin laptop dan telefon bimbit mampu menyebabkan tekanan kepada mata.

    Mereka yang menghabiskan banyak masa di hadapan skrin atau peranti mudah alih boleh mencuba peraturan 20-20-20.

    Ini bermaksud, setiap 20 minit, jauhkan diri daripada skrin pada jarak sekitar 20 kaki selama 20 saat. Latihan ini dapat membantu mengurangkan keletihan dan tekanan mata.

    5. Mengawal diabetes

    cermin mata

    Antara komplikasi yang berpotensi daripada diabetes jenis 1 dan jenis 2 adalah masalah mata yang disebut sebagai retinopati diabetes.

    Kadar gula yang tinggi dalam darah secara beransur-ansur merosakkan saluran darah pada retina, menyebabkannya bengkak, bocor, atau tersumbat.

    Tambahan itu, ia juga boleh mengakibatkan pertumbuhan tisu parut dan saluran darah baru yang tidak normal.

    Tanpa rawatan, retinopati diabetes boleh menyebabkan gangguan penglihatan dan akhirnya buta!

    Mengekalkan kawalan gula darah yang baik dan menjalani pemeriksaan mata tahunan dapat membantu mengurangkan risiko terkena retinopati diabetes.

    6. Vitamin baik untuk elak pakai cermin mata

    Penyelidikan menunjukkan bahawa vitamin A, C, dan E adalah baik untuk kesihatan mata.

    Vitamin-vitamin ini mempunyai sifat antioksidan dan anti radang yang dapat menurunkan risiko degenerasi makula.

    Cara terbaik bagi seseorang untuk memastikan mereka mendapat vitamin mencukupi adalah dengan makan pelbagai makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Sumber vitamin A, C, dan E yang baik termasuk:

    • Brokoli
    • Buah oren
    • Betik
    • Keledek
    • Bayam
    • Lobak merah
    • Lada merah
    • Labu
    • Kacang badam
    • Mentega kacang
    • Biji bunga matahari

    Kajian juga menunjukkan asid lemak omega-3, seperti asid docosahexaenoic dan asid eicosapentaenoic, bermanfaat untuk kesihatan mata dan mengurangkan risiko penyakit mata yang berkaitan dengan faktor usia.

    7. Berhenti merokok

    Sains telah membuktikan dengan jelas merokok tidak baik untuk kesihatan seseorang dan boleh menyebabkan kanser.

    Namun, banyak individu mungkin tidak menyedari bahawa merokok mempunyai kaitan dengan sejumlah penyakit mata.

    Merokok turut meningkatkan risiko degenerasi makula, katarak, dan uveitis yang berkaitan dengan usia. Ia juga dapat meningkatkan risiko retinopati diabetes.

    Bukan itu sahaja, asap tembakau mampu merengsakan mata, membuatkan mata yang kering menjadi lebih teruk.

    8. Kebersihan yang baik

    Mengamalkan kebersihan yang baik dapat membantu mencegah potensi jangkitan mata.

    Jadikan mencuci tangan sebagai tabiat terutamanya sebelum anda menyentuh mata atau mengendalikan kanta lekap.

    Di samping itu, alat solekan mata yang sudah lama juga dapat meningkatkan risiko jangkitan mata.

    Maka, bagi mereka yang sering memakai makeup, pastikan anda sentiasa cakna dengan tarikh luput alat solek.

    Sekiranya anda mengalami jangkitan mata, disarankan agar membuang dan mengganti produk solek mata yang dimiliki.

    9. Ada ahli keluarga yang pakai cermin mata? Ketahui sejarah keluarga anda

    Mengetahui masalah mata yang berlaku dalam keluarga membolehkan seseorang mengambil langkah berjaga-jaga.

    Keadaan mata yang boleh berlaku dalam keluarga termasuk:

    • Degenerasi makula yang berkaitan dengan usia
    • Katarak
    • Glaukoma
    • Neuropati optik
    • Rabun

    Kesimpulan

    Peningkatan usia dan kondisi kesihatan yang tertentu mampu mempengaruhi penglihatan seseorang.

    Walau bagaimanapun, terdapat banyak langkah pencegahan yang boleh diambil untuk memperbaiki dan melindungi penglihatan kita.

    Ini termasuk perkara-perkara yang sering kita terlepas pandang seperti mencuci tangan, berhenti merokok, mendapatkan vitamin mencukupi, dan memakai kaca mata pelindung.

    Bukan itu sahaja, mengekalkan berat badan yang sihat dan makan makanan seimbang juga dapat mengurangkan risiko terkena diabetes dan kondisi kronik lain yang boleh menyebabkan masalah mata.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 02/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan