Ia tidak bermakna mereka yang positif tidak boleh kahwin, tetapi langkah berjaga-jaga dan rawatan boleh diberikan sekiranya perlu.
Matlamat utama adalah untuk meminimumkan penyebaran (secara ideal, tiada penyebaran) dan menghindarkan komplikasi jangkitan kelamin.
Kepentingan saringan jangkitan kelamin perlu ditekankan berikutan kebanyakan penyakit kelamin tidak menyebabkan simptom.
#3 Jisim berat badan, ujian saringan ringkas untuk pantau risiko pelbagai penyakit
Jisim berat badan (BMI) bukanlah saringan kesihatan yang sering dikategorikan sebagai ujian saringan.
Namun, pantauan terhadapnya membolehkan doktor untuk meramal risiko penyakit kronik bagi individu yang terlibat.
Berbeza dengan orang Eropah, orang Asia mempunyai kadar BMI yang lebih rendah untuk paras normal.
Ia berikutan kecenderungan orang Asia untuk didiagnosis dengan masalah kencing manis walaupun normal pada standard orang Eropah.
Nilai normal bagi orang Asia adalah di antara 18.5 hingga 22.9 manakala orang Eropah pula dianggap mempunyai nilai normal jika BMI mereka berada di antara 18.5 hingga 24.9.
#4 Kolesterol, faktor risiko penyakit jantung yang perlu disaring
Persatuan Jantung Amerika (AHA) menyarankan kaum Adam untuk menjalani ujian kolesterol setiap 4 hingga 6 tahun setelah mereka mencapai usia 20 tahun.
Jika dilihat pada faktor risiko penyakit kardiovaskular, lelaki lebih berisiko untuk didiagnosis berbanding wanita.
Kolesterol memainkan peranan penting dalam proses penyakit tersebut.
Terdapat juga punca lain yang boleh meningkatkan kecenderungan untuk anda mendapat penyakit jantung seperti tabiat merokok, kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Namun, ujian saringan kolesterol boleh membantu memberikan idea kepada setiap lelaki akan risiko mereka untuk mendapat penyakit kardiovaskular.
#5 Kolonoskopi, lakukan saringan awal jika berisiko

Walaupun lelaki yang berusia 50 tahun perlu melakukan ujian kolonoskopi secara rutin untuk mengesan kanser usus, mereka yang mempunyai faktor risiko perlu melakukannya lebih awal.
Tiada siapa yang suka punggung mereka dijolok masuk dengan alat kamera untuk mengesan kehadiran ketumbuhan atau tanda kanser yang lain.
Namun, ia boleh menyelamatkan nyawa.
Sebelum anda menjalani pemeriksaan saringan kolonoskopi, persiapan ke arahnya adalah jauh lebih tidak selesa.
Anda akan diberi julap untuk mengosongkan perut 1, 2 atau 3 hari sebelum saringan dilakukan.
Anda juga tidak boleh mengambil makanan pepejal dan perlu menumpukan kepada pengambilan air kosong.
#6 Saringan prostat, prosedur untuk kesan kanser
Saban tahun, terdapat pelbagai kontroversi yang berkaitan dengan ujian saringan kanser prostat.
Terdapat kajian yang menunjukkan ujian mengesan kanser prostat boleh jadi mahal dan menyebabkan lebih banyak kesan buruk daripada kesan baik.
Namun, bagi lelaki yang berusia 50 tahun dan ke atas, rujukan kepada doktor perlu dibuat sebelum saringan kanser prostat dijalankan.
Ujian rektal digital dan ujian PSA (antigen spesifik kepada prostat) boleh mengukur indikator kanser yang terdapat di dalam darah.
Namun, ia juga boleh memberikan keputusan positif dan negatif palsu.
Tambahan pula proses perubahan kanser prostat berlaku pada kadar yang sangat perlahan. Rawatan agresif tidak akan memberikan apa-apa kebaikan tambahan.
Oleh itu, penting bagi anda untuk merujuk kepada doktor bagi mengetahui jika anda memerlukan ujian saringan ini.
Konklusi
Lelaki perlu menjalani ujian saringan bagi memastikan tahap kesihatan mereka berada pada paras optimum.
Penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung dan kanser boleh mempengaruhi kualiti hidup individu.
Sekiranya anda mempunyai sebarang soalan, rujuk kepada doktor perubatan untuk makluman selanjutnya.