Usah memaksa diri sekiranya anda tidak mampu berdepan dengan situasi seperti itu. Hadirinya setelah anda benar-benar kuat untuk berdepan segala kemungkinan melibatkan pertanyaan daripada individu sekeliling seperti “Awak bila lagi nak dapat baby?”
Sekiranya anda terus memaksa diri, ia pada akhirnya mungkin akan menyebabkan wujudnya rasa cemburu dan iri hati. Lebih parah lagi jika ia membuatkan anda berasa sedih dan sekali gus akan meningkatkan kecenderungan untuk mengalami kemurungan.
Elakkan sebarang hal berkaitan bayi mahupun wanita mengandung, sama ada secara berdepan atau sekadar gambar. Ia adalah satu cara penjagaan diri dan bukannya mementingkan diri.
- Hadkan topik berkaitan kesuburan
Berbicara mengenai perkara yang membelenggu diri, seperti isu ketidaksuburan bersama ahli keluarga rapat dan rakan, adalah satu perkara yang baik bagi meluahkan perasaan anda yang terpendam.
Tetapi ada kalanya, tidak bercakap mengenainya juga adalah satu tindakan yang amat baik dalam penjagaan diri bagi menghindari kemurungan mahupun tekanan.
Jika individu yang masih belum berkahwin, tidak suka pertanyaan berkaitan seperti “Bila hendak tamatkan zaman bujang?”, begitu jugalah keadaannya dengan individu yang masih mencuba untuk hamil.
Berterus-terang jika anda tidak selesa untuk berbicara mengenai masalah ketidaksuburan yang anda alami. Ia adalah cara terbaik berbanding anda berpura-pura senang berbual tentang isu tersebut, namun hakikatnya anda terluka.

- Dapatkan sokongan
Pasangan anda mungkin sentiasa memberikan sokongan kepada anda. Namun anda juga memerlukan sokongan daripada sahabat yang benar-benar dapat memahami keadaan yang dilalui anda.
Anda boleh memilih sahabat yang merupakan pendengar setia dalam membantu meredakan tekanan emosi yang anda alami. Mungkin juga anda boleh dapatkan kumpulan sokongan dalam talian atau bantuan pakar terapi kaunseling yang bertauliah.
Paling utama, jangan pendam apa yang anda rasa. Meluahkan adalah cara terbaik mengatasi tekanan diri.
Kesimpulannya
Masalah ketidaksuburan, mandul atau sukar mendapat zuriat adalah satu perkara yang sensitif untuk dibincangkan, terutamanya kepada pasangan yang sedang berusaha memperolehi cahaya mata.
Namun, ia tidak bermakna mereka yang berdepan masalah ini tidak memerlukan sokongan individu sekeliling. Tetapi elakkan daripada menyuruh mereka bersabar atau bertenang, sebaliknya berikan sokongan terhadap apa juga ikhtiar yang sedang mereka lakukan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.