backup og meta

8 Punca Zakar Bengkak Yang Lelaki Kena Tahu! Ia Mungkin Tanda Kanser?

8 Punca Zakar Bengkak Yang Lelaki Kena Tahu! Ia Mungkin Tanda Kanser?

Walaupun ia bukanlah merupakan kondisi yang sering berlaku kepada lelaki, tetapi zakar bengkak sudah pasti akan menimbulkan rasa risau dan tanda tanya.

Sekiranya ini terjadi kepada anda, ia akan menyebabkan kebengkakan, kemerahan, kegatalan atau kesakitan sehingga menjejaskan kesihatan alat kelamin.

Disebabkan itu, setiap lelaki kena tahu apa punca zakar bengkak. Jom teruskan membaca artikel!

Kondisi zakar bengkak & lelaki

Kadangkala, ia mungkin angkara gigitan tungau sahaja namun ada juga risiko di mana zakar atau penis bengkak adalah disebabkan keadaan kesihatan yang berbahaya.

Selain menyebabkan ketidakselesaan, ia juga mungkin akan mengakibatkan kesukaran untuk membuang air kecil atau berhubung secara seksual bersama pasangan.

Lantaran itu, anda perlu segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan diagnosis, ubatan atau rawatan bagi menyelesaikan masalah kebengkakan zakar ini.

Apa yang boleh jadi punca zakar bengkak?

zakar bengkak

Untuk pengetahuan anda, kebengkakan pada alat sulit lelaki itu boleh berlaku akibat kerengsaan atau keradangan yang diakibatkan oleh faktor luaran tertentu.

Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas, gigitan haiwan kecil seperti tungau adalah salah satu puncanya namun ia mungkin tidak akan begitu memudaratkan.

Sebaliknya, ada beberapa punca lain yang didalangi oleh keadaan kesihatan tertentu termasuk:

#1. Balanitis

Balanitis adalah punca nombor satu terjadinya kondisi ini. Ia mungkin akan berlaku apabila bahagian kepala zakar (glans) mengalami kerengsaan atau keradangan.

Menurut kajian, sekitar 3 ke 11 peratus lelaki mungkin akan mengalami balanitis sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dan ia berkaitan dengan kebersihan.

Mereka yang tidak berkhatan akan masih mempunyai bahagian kulup zakar di mana ia cenderung untuk kotor ekoran bahagian dalamnya yang sukar dibersihkan.

Kebanyakan kes balanitis adalah disebabkan jangkitan Candida albicans, sejenis yis yang secara naturalnya mendiami kawasan tubuh badan termasuk alat sulit.

#2. Posthitis

Berbeza dengan balanitis yang membabitkan kebengkakan pada bahagian kepala zakar, posthitis adalah kondisi di mana hanya bahagian kulup zakar yang terlibat.

Bagi mereka yang tidak berkhatan, bahagian kulup ini boleh menjadi tempat membiak bagi kulat lantas menyebabkan ia membengkak jika dibiarkan tanpa rawatan.

Disebabkan bahagian kulup yang membengkak, maka penderita mungkin akan rasa zakar sakit setiap kali air kencing atau air mani melalui kawasan tersebut.

Untuk pengetahuan anda, kondisi posthitis sering berlaku serentak bersama dengan balanitis. Sila baca pula penerangan gabungan kedua kondisi ini di bawah.

Punca zakar bengkak #3. Balanoposthitis

zakar bengkak

Sekiranya kedua-dua bahagian kepala zakar serta kulup zakar membengkak secara serentak, maka anda mungkin mengalami kondisi yang dinamakan sebagai balanoposthitis.

Ia mungkin sangat jarang berlaku namun ia tentu sahaja akan membuat zakar sakit lebih teruk dan perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan komplikasi lain pula kelak.

Punca penis bengkak #4. Alergi

Seperti mana bahagian kulit pada tubuh badan yang lain, kulit zakar juga boleh membengkak akibat dermatitis kontak angkara alahan terhadap sesuatu seperti:

  • Kondom getah
  • Klorin dalam air mandian
  • Kimia dalam bahan cucian
  • Propylene glycol dalam alat pelincir seks
  • Spermicides dalam alat pembunuh sperma

Jika anda mengalami kondisi ini setelah menggunakan perkara-perkara di atas, segera berhenti daripada menggunakannya dan berjumpa doktor untuk ubatan serta rawatan.

#5. Penyakit Peyronie

Penyakit ini terjadi akibat pengumpulan dan pembentukan plak pada bahagian bawah kulit zakar dan akan menyebabkan ia bengkak serta ereksi tidak normal.

Jika dibiarkan tanpa perhatian perubatan, maka zakar mungkin akan bertambah bengkak lantas terbentuk parut kekal dan keras pada bahagian zakar yang terlibat.

Dipercayai bahawa 6 daripada setiap 100 orang lelaki berusia di antara 40 ke 70 tahun menghidapi penyakit ini, yang juga boleh melibatkan lelaki lebih muda.

zakar bengkak

#6. Uretritis

Radang uretra atau lebih dikenali sebagai uretriris turut boleh jadi punca zakar sakit dan bengkak yang berlaku akibat jangkitan bakteria Neisseria gonorrhoeae.

Ia merupakan salah satu daripada penyakit jangkitan kelamin (STD) yang juga akan menyebabkan rasa sakit ketika membuang air kecil serta terlalu kerap kencing.

#7. Priapisma

Kondisi yang menakutkan ini akan mengakibatkan zakar lelaki mengalami ereksi berterusan dan berpanjangan walaupun tanpa sebarang rangsangan seksual.

Ereksi yang berlaku lebih daripada 4 jam ini juga akan hadir bersama rasa zakar sakit selain bengkak yang perlu mendapat perhatian perubatan segera.

Punca zakar bengkak #8. Kanser

Akhir sekali, zakar bengkak sebenarnya mungkin merupakan tanda awal bagi kanser zakar!

Disebabkan itu, lelaki perlu untuk perhatikan tanda ini selain daripada benjolan, pendarahan kulit, perubahan bau atau pengeluaran cecair aneh dari zakar anda.

Walaupun ia bukan antara jenis kanser yang sering berlaku melainkan anda tinggi faktor risiko, namun ia masih berbahaya dan berpeluang sembuh jika segera dirawat.

Sekiranya anda mengalami kebengkakan pada zakar tanpa diketahui punca ia berlaku, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan informasi lebih lanjut.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Genital Problems in Men, https://familydoctor.org/symptom/genital-problems-men/, Accessed Oct 4 2021.
  2. Types of Penile Conditions and Diseases, https://www.beaumont.org/conditions/types-of-penile-conditions-diseases, Accessed Oct 4 2021.
  3. Penis health: Identify and prevent problems, https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/mens-health/in-depth/penis-health/art-20046175, Accessed Oct 4 2021.
  4. Penis Problems, https://patient.info/mens-health/penis-problems, Accessed Oct 4 2021.
  5. Early Detection, Diagnosis, and Staging, https://www.cancer.org/cancer/penile-cancer/detection-diagnosis-staging.html, Accessed Oct 4 2021.

Versi Terbaru

08/11/2024

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Siti Fatihah


Artikel Berkaitan

Orang Cakap, Saiz Zakar Lelaki Gemuk Selalunya Kecil- Fakta Atau Sekadar Mitos?

Ada 2 Kategori Zakar Semasa Ereksi Iaitu 'Shower' & 'Grower', Anda Yang Mana Satu?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 4 minggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan