Walau bagaimanapun, dalam 1/3 pesakit Peyronie, tisu parut yang terbentuk di kawasan lain juga boleh menyebabkan zakar menjadi bengkok.
Sebagai contoh, parut yang terbentuk pada tapak tangan, tapak kaki dan juga pada gegendang telinga juga boleh membuatkan zakar bengkok.
Simptom penyakit Peyronie

Hampir separuh daripada pesakit Peyronie akan rasa sakit semasa melakukan hubungan seks. Simptom ini boleh muncul secara tiba-tiba atau perlahan-lahan.
Selain simptom di atas, ada beberapa simptom lain seperti:
- Muncul tisu parut. Tisu ini boleh dirasa di bawah kulit sebagai ketulan atau garisan yang keras.
- Masalah disfungsi erektil. Penyakit Peyronie juga boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah untuk mengekalkan ereksi.
- Zakar memendek. Penyakit Peyronie juga boleh menyebabkan zakar menjadi pendek.
- Masalah zakar lain seperti lekukan atau penyempitan zakar.
Pesakit Peyronie yang rasa sakit ketika mengalami ereksi selalunya akan bertambah baik dalam masa setahun dua. Walau bagaimanapun, lekukan, tisu parut dan juga pembengkokan yang berlaku disebabkan penyakit ini akan kekal.
Kadangkala, lelaki mengalami kesukaran untuk mengekalkan ereksi disebabkan kegelisahan yang mereka alami. Perasaan ini juga boleh menyebabkan lelaki yang mengalami Peyronie untuk rasa tidak yakin dan takut untuk beraksi.
Mereka yang mengalami penyakit Peyronie yang serius akan rasa sukar, atau tidak dapat melakukan hubungan seks disebabkan rasa sakit serta keadaan fizikal zakar mereka yang menyukarkan penetrasi.
Zakar bengkok ke kiri, bolehkah ia dirawat?

Punca penyakit Peyronie masih lagi menjadi misteri hingga ke hari ini. Walaupun begitu, pakar percaya kondisi ini disebabkan oleh luka atau kecederaan pada zakar yang menyebabkan pendarahan dalaman.
Malah, ada juga bukti yang menunjukkan kekenyalan zakar akan berkurang apabila lelaki jadi semakin berusia. Oleh sebab itu, mereka lebih berisiko untuk mengalami kecederaan ketika melakukan hubungan seks.
Selain itu, ada juga kes yang berlaku ketika tidur. Lelaki yang berpusing ketika mengalami ereksi juga boleh mengalami kecederaan zakar.
Jika anda menghidap penyakit Peyronie yang ringan, anda mungkin tidak memerlukan sebarang rawatan.
Walau bagaimanapun, jika pembengkokan yang terjadi agak teruk dan membuatkan sukar melakukan hubungan seks, pembedahan boleh dilakukan untuk membetulkan bentuk zakar.
Namun, jika pesakit ingin melakukan pembedahan, doktor akan menyarankan pesakit untuk tunggu selama 12 bulan. Kadangkala, simptom boleh sembuh dengan sendiri dan pesakit mungkin tidak perlu melakukan prosedur yang invasif seperti pembedahan.
Pembedahan untuk penyakit Peyronie mungkin melibatkan:
- Pemotongan plak atau ketulan dan melekatkan kulit lain untuk meluruskan zakar.
- Membuang sedikit bahagian zakar pada sebelah ketulan untuk membatalkan bengkok. Walau bagaimanapun, ini boleh menyebabkan zakar menjadi pendek.
- Memasukkan alatan tertentu untuk meluruskan zakar.
Perlukah saya risau mengenai zakar saya?
Disebabkan banyak rawatan yang terbukti boleh membantu pesakit Peyronie, ada banyak prosedur yang boleh doktor cadangkan untuk merawat zakar bengkok yang pesakit alami.
Namun, jika anda mempunyai zakar yang bengkok secara semula jadi dan tidak rasa sakit ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan anda, besar kemungkinan anda tidak menghidap penyakit Peyronie!