Dalam kehidupan suami isteri, kemampuan seksual yang kuat serta hebat sangat ditagih demi kesejahteraan kehidupan di kamar tidur anda dan pasangan. Persoalannya, apakah penyebab ereksi sukar kendur? dan apa yang boleh dilakukan?
Disebabkan itu, golongan lelaki akan sangat berbangga sekiranya mereka mempunyai kemampuan ereksi zakar yang mantap.
Pun begitu, adalah agak membimbangkan sekiranya ereksi itu kekal dan sukar kendur meskipun sesudah selesai beraksi.
Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk mengetahui jawapannya dengan lebih mendalam lagi!
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Seksual di sini.
Apa penyebab ereksi sukar kendur?
Sebelum mengetahui cara untuk menghadapinya, wajarlah untuk kita tahu penyebab ereksi ini berlaku terlebih dahulu.
Untuk pengetahuan anda, ereksi zakar yang normal akan berlaku setiap kali lelaki menerima rangsangan seksual.
Ketika ini, hormon testosteron akan memasuki saluran darah pada zakar menjadikannya menegang dan membesar.
Terdapat 3 jenis penyebab ereksi yang normal iaitu:
- Reflexogenic – berlaku akibat rangsangan sentuhan
- Psychogenic – berlaku akibat rangsangan visual atau fantasi
- Nocturnal – berlaku ketika lelaki sedang tidur
Ereksi pada zakar akan membolehkan lelaki dan wanita itu melakukan proses penetrasi ketika bersenggama.
Kebiasaannya, ia akan kekal sekitar 30 minit ke 60 minit sahaja.
Namun jika ia berpanjangan sehingga 4 jam tanpa henti tanpa sebarang rangsangan, mungkin ia petanda penyakit yang dinamakan priapism.
Apa yang dimaksudkan dengan penyakit priapsm?
Buat anda yang belum tahu, priapism adalah kondisi di mana zakar sukar kendur selama berjam-jam meskipun telah selesai berasmara atau tidak menerima sebarang rangsangan.
Ia berlaku akibat darah yang memasuki saluran pada zakar terperangkap di situ dan tidak mampu untuk keluar kembali seperti sedia kala.
Apa yang lebih membimbangkan adalah ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk serta akan merosakkan zakar jika tidak dirawat dengan segera.
Antara punca dan penyebab ereksi termasuklah:
- Gangguan pada darah seperti anemia, leukemia, talasemia, multiple myeloma dan lain-lain
- Pengambilan ubatan tertentu untuk merawat masalah psikologi, mati pucuk atau ADHD
- Pengambilan hormon tambahan seperti testosteron atau gonadotropin
- Pengambilan minuman beralkohol secara berlebihan
- Penyalahgunaan dadah seperti kokain atau ganja
- Kecederaan pada kawasan alat sulit
- Gigitan haiwan berbisa seperti labah-labah, kala jengking atau lipan
- Gangguan metabolik seperti gout atau amyloidosis
- Gangguan neurogenik seperti sifilis atau kecederaan saraf tunjang
- Kanser zakar
Apa yang boleh dilakukan untuk mencegahnya?
Rawatan priapism adalah sangat bergantung kepada penyebab ia berlaku.
Namun dalam kebanyakan kes, pengambilan ubatan untuk membetulkan saluran darah pada zakar sudah memadai.
#1. Tenangkan diri anda untuk kendurkan ereksi
Pertama sekali, kalian perlu elakkan panik serta tidak lagi menerima sebarang rangsangan seksual. Kalian boleh cuba cara berikut:
- Duduk bersila
- Bernafas dengan perlahan
- Kekal tenang
#2. Cuba alihkan perhatian
Kemudian, cuba alihkan perhatian anda dari perkara yang melibatkan seks. Sebagai contoh, mungkin boleh cuba selesaikan masalah matematik, teka-teki atau apa-apa sahaja aktiviti yang lain.
#3. Cuba betulkan kedudukan
Sekiranya berbaring tidak mampu mengendurkan ereksi zakar, cuba duduk, berdiri, berjalan atau berlari. Ia mungkin boleh membantu melancarkan kembali saluran darah pada zakar anda.
#4. Mandi untuk kendurkan ereksi zakar
Jika masih tidak berkesan, kalian boleh cuba untuk mandi. Bergantung kepada individu, ada yang perlu mandi air panas atau air sejuk.
Ini bertujuan untuk membuat kalian terasa ingin membuang air kecil. Jika itu adalah puncanya, maka ereksi akan kendur selepas itu.
#5. Lakukan senaman ringan
Relaks, kami tidak kata kalian perlu melakukan sukan ekstrem seperti mendaki gunung atau merejam lembing.
Sebaliknya, cuba lakukan senaman ringan sahaja seperti berjoging atau berbasikal yang mungkin boleh membantu.
Andai kata kalian sudah mencuba kesemua cara mengendurkan ereksi zakar di atas dan ia masih tidak berjaya, penyebab ereksi sukar kendur itu mungkin didalangi oleh penyakit priapism.
Oleh itu, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan konsultasi dan rawatan lanjutan ya?