Tanpa kita semua sedar, sebenarnya ada kaum lelaki yang pernah atau masih guna vakum zakar dalam usaha untuk menyemarakkan hubungan asmara dengan pasangan.
Mereka mungkin percaya bahawa alat ajaib ini mampu untuk membuat alat sulit lebih besar atau merawat masalah zakar mati pucuk seperti mana dalam iklan produk yang ada di pasaran.
Persoalannya, benarkah vakum pam zakar itu boleh rawat mati pucuk? Jom teruskan baca artikel ini!
Apa itu vakum zakar?
Untuk pengetahuan anda semua, vakum zakar atau pam zakar (vacuum constriction device) adalah sejenis alat yang dicipta khusus untuk menyelesaikan masalah seksual lelaki.
Kebiasaannya, alat ajaib ini terdiri daripada tiga komponen utama yang terpisah seperti berikut:
- Tiub daripada plastik sebagai tempat untuk meletakkan zakar
- Pam yang melekat dengan tiub dan boleh beroperasi secara manual (tenaga tangan) atau automatik (kuasa bateri)
- Cincin yang melekat dengan tiub dan akan digunakan pada pangkal zakar sebelum serta selepas dapat ereksi
Ia boleh ditemui di pasaran sama ada dijual secara langsung atau atas talian dan hampir semua produk akan diiklankan dengan kemampuan untuk menyelesaikan masalah di kamar tidur.
Ada dua titik utama pemasaran produk ini yakni membuat alat sulit lebih besar serta merawat masalah zakar mati pucuk namun kesahihannya masih belum dapat dipastikan.
Apa fungsi vakum zakar?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, pam zakar ini mungkin boleh berfungsi untuk membesarkan saiz zakar serta menyelesaikan masalah ereksi yang lelaki alami.
Ia berfungsi dengan cara menarik serta menyekat darah di dalam salur pada zakar agar ia mampu kekal berada di alat sulit lantas membantu lelaki mendapat ereksi yang lebih baik.
Dari segi teori, mungkin benar bahawa ia mampu bantu lelaki mendapatkan ereksi zakar yang lebih besar, panjang dan padat namun kesannya hanya sementara dan tidak kekal.
Jadi, ia mungkin bagus untuk digunakan oleh mereka yang ada masalah sukar mendapatkan atau mengekalkan ereksi zakar sahaja namun saiz alat sulit anda tetap akan serupa.
Bagaimana cara untuk guna?
Jangan silap cara pakai kerana ada risiko di mana boleh timbul kecederaan malah kerosakan alat kelamin lelaki gara-gara kesalahan ketika guna. Sila ikut langkah yang berikut:
- Cukur bulu pada alat kemaluan anda agar dapat menghindari bulu tersepit atau tersekat pada vakum zakar.
- Sapu gel atau minyak pelincir di zakar agar proses memvakum atau mengepam dapat berjalan dengan lebih lancar.
- Letak zakar ke dalam tiub dan pamkan udara dengan perlahan agar darah mampu mengalir dan buat ia menegang.
- Ulang proses kemasukan udara ke dalam tiub ini selama 10 ke 20 minit bagi mencapai ereksi zakar yang penuh.
- Pasang cincin pada bahagian pangkal zakar setelah berjaya mendapatkan ereksi bagi mengekalkan ereksi tersebut.
- Cabut tiub tersebut dengan perlahan setelah berjaya mendapatkan ereksi penuh dan mula melakukan aktiviti seks.
Sekiranya anda mula rasa tidak selesa atau sakit ketika proses di atas ini, segera berhenti. Seandainya berlaku kecederaan atau kerosakan zakar pula, maka sila segera jumpa doktor.
Ia juga boleh rawat mati pucuk?
Ya, mungkin benar bahawa ia mampu membantu lelaki yang ada masalah sukar mendapatkan dan mengekalkan ereksi zakar, namun bagaimana pula jika lelaki itu mati pucuk?
Menurut International Journal of Impotence Research, didapati bahawa kira-kira 65-83% lelaki yang menggunakan vakum pam zakar untuk rawat masalah mati pucuk itu berjaya.
Ini bermakna lebih daripada separuh lelaki yang ada masalah ini telah berjaya menemui ereksi zakar selepas menggunakan pam zakar. Maka, ia mungkin benar dan efektif.
Pun begitu, doktor mungkin akan menasihatkan anda untuk mendapatkan informasi daripada pakar terlebih dahulu sebelum guna alat ajaib ini ekoran wujud kesan sampingan.
Kesan sampingan vakum zakar!
Antara kesan sampingan paling utama adalah di mana ia akan jadi punca Petechiae, kondisi di mana timbul bintik merah akibat pendarahan di bawah permukaan kulit zakar.
Selain itu juga, turut wujud risiko alat sulit lelaki itu untuk mengalami kecederaan atau kerosakan yang bersifat kekal akibat salah jenis atau cara penggunaan pam zakar ini.
Akibatnya, mereka mungkin akan mengalami kondisi sukar atau sakit ketika ejakulasi air mani akibat ereksi zakar yang ‘palsu’ atau ‘artifisial’ selepas menggunakan vakum pam zakar.
Konklusinya, penggunaan pam zakar bukan cara untuk rawat masalah mati pucuk terbaik. Sila cari alternatif yang lain!