Benarkah ginseng merah Korea berkesan dalam merawat mati pucuk? Walaupun terdapat banyak rawatan untuk disfungsi ereksi (ED) tersedia, pesakit nampaknya lebih gemarkan ubatan oral, seperti Viagra.
ED, turut digelar lemah tenaga batin boleh didefinisikan sebagai penyakit di mana zakar seseorang lelaki tidak mampu menegang semasa ingin melakukan hubungan seks.
Mati pucuk acap kali terjadi dalam kalangan lelaki berumur 75 tahun ke atas, menurut American Academy of Family Physicians (AAFP).
Walau bagaimanapun, lelaki muda juga tidak terkecuali untuk mengalaminya!
Herba yang menjadi bualan rawatan alternatif ED, ginseng merah Korea adalah ubat tradisional Asia yang banyak digunakan di Amerika Syarikat dan mempunyai profil keselamatan yang meyakinkan.
Teruskan pembacaan untuk ketahui hubungan antara herba tradisional ini dan mati pucuk dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.
Kenali ginseng merah Korea
Ginseng merah atau Panax ginsenx merupakan sejenis remedi herba Korea. Ia digunakan secara meluas untuk mengubati beberapa kondisi, termasuklah masalah mati pucuk.
Untuk makluman, ginseng merah adalah herba semula jadi tertua dan tidak boleh dituai sehingga tanaman ini mencecah usia sekurang-kurangnya 6 tahun!
Tumbuhan ini mempunyai akar bertangkai, yang menyerupai tubuh manusia, seperti berlengan dan berkaki.
Pengamal dan pengilang suplemen herba ini kebiasaannya menyediakan ginseng merah Korea sebagai minuman teh atau dijual dalam bentuk pil.
Ginseng merah sebagai rawatan mati pucuk
Penyelidik masih tidak dapat merungkai mekanisme yang tepat di sebalik penggunaan herba ini sebagai rawatan ED.
Ginseng merah ini pada awalnya dianggap menyebabkan pengaruh hormon yang serupa dengan testosteron.
Walau bagaimanapun, para penyelidik telah mengukur tahap testosteron pada lelaki yang mengambil ginseng merah dan ia kelihatannya tidak meningkat.
Mekanisme tindakan lain yang mungkin boleh menjelaskan penggunaannya, termasuk peningkatan kadar oksida nitrat, yang membuatkan otot zakar relaxed, lantas melancarkan aliran darah.
Pun begitu, penyelidik masih tidak pasti jika wujudnya penyebab lain yang dapat mengurangkan gejala ED.
Ginseng merah Korea dan ED, ini dapatan sains!
Kajian 2008 dalam British Journal of Clinical Pharmacology mengenai ginseng merah dan mati pucuk mendapati 6 daripada kajian yang dikaji melaporkan peningkatan fungsi ereksi jika dibandingkan dengan plasebo.
Namun, para penyelidik menekankan bahawa kajian penyelidikan berskala yang lebih besar diperlukan.
Satu lagi kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Impotence Research telah meneliti 119 lelaki dengan masalah ED bertahap ringan hingga sederhana.
Para peserta mengambil sebanyak 350 miligram (mg) ginseng merah, 4 kali sehari atau plasebo selama 8 minggu.
Di penghujung kajian, para saintis mendapati isu ejakulasi pramatang telah menurun dan prestasi seksual meningkat pada individu yang mengambil herba ini!
Kini, ginseng merah Korea ini telah dijual dalam pelbagai bentuk termasuk krim dan pil.
Menurut AAFP pula, pengambilan 900 mg herba tradisional ini, sebanyak 3 kali sehari boleh meningkatkan ereksi!
Namun, AAFP turut menekankan bahawa tiada peningkatan dalam pengalaman seksual ketika mengambil ginseng merah ini.
Kesan sampingan
Walaupun ia mempunyai manfaat tersendiri, herba ini masih berupaya memberikan kesan sampingan!
Salah satu kesan sampingan ginseng merah yang berpotensi terjadi adalah insomnia.
Kesan lain yang kadang-kadang turut boleh berlaku termasuk sakit kepala, sakit perut, dan sembelit.
Malangnya, disebabkan kajian yang tidak meluas, para penyelidik tidak mempunyai data mencukupi untuk mengenal pasti kesan jangka panjang pengambilan herba ini.
Manfaat-manfaat kesihatan lain
Pengamal perubatan tradisional Cina telah menggunakan ginseng merah dalam penyediaan tonik yang direka untuk meningkatkan tenaga seseorang.
Tumbuhan ginseng ini juga mengandungi sebatian yang dikenali sebagai ginsenosida, dipercayai memberi kesan baik pada kesihatan manusia.
Menurut National Center for Complementary and Integrative Health (NCCIH), faedah tambahan yang berkaitan dengan penggunaan herba ini termasuk:
- Meningkatkan kesejahteraan keseluruhan
- Meningkatkan stamina fizikal
- Menyembuhkan gangguan kesihatan, seperti masalah pernafasan dan jantung
- Meningkatkan daya tumpuan/fokus
- Mengurangkan kejadian panas badan saat menopaus
- Melambatkan proses penuaan
Tetapi, NCCIH juga menekankan kekurangan kajian baharu yang secara konklusif dapat menyokong penggunaan ginseng merah sebagai rawatan untuk sebarang jenis kondisi perubatan, termasuk mati pucuk.
ED, rawatan-rawatan lain yang berpotensi membantu
Disebabkan banyak faktor boleh menyumbang kepada masalah ED, adalah penting bagi pesakit menemui doktor untuk mengetahui kemungkinan penyebabnya.
Doktor anda mungkin akan dapat memberikan cadangan berkaitan perubahan gaya hidup dan mempreskripsikan ubat-ubatan yang mampu mengurangkan risiko mati pucuk.
Antara contoh rawatan dan perubahan yang boleh penghidap ED lakukan, merangkumi:
- Perubahan gaya hidup: Berhenti merokok, kurangkan pengambilan alkohol, cuba jadi lebih aktif secara fizikal, dan hentikan penyalahgunaan dadah secara haram dapat bantu mengurangkan gejala ED.
- Sokongan kesihatan mental: Kaunseling untuk membantu seseorang lelaki mengurangkan kegelisahan dan tekanan atau meningkatkan hubungannya dengan pasangannya, akan dapat membantu individu yang bergelut dengan disfungsi ereksi.
- Ubat-ubatan preskripsi: Mengambil ubat-ubatan preskripsi tertentu berupaya meningkatkan aliran darah dan mengurangkan kejadian ED. Contoh ubat ini termasuk sildenafil (Viagra), tadalafil, dan vardenafil.
- Ubat suntikan: Kadangkala, suntikan akan dapat menyebabkan ereksi. Contoh ubat termasuklah alprostadil. Ubat-ubatan ini berfungsi dengan melebarkan saluran darah, lantas mencetuskan ereksi.