home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Mahu Atasi Masalah Mati Pucuk? Mudah Sahaja, Jom Jalan Kaki 3KM Setiap Hari!

Mahu Atasi Masalah Mati Pucuk? Mudah Sahaja, Jom Jalan Kaki 3KM Setiap Hari!

Tahukah anda, jalan kaki mempunyai manfaat besar terhadap kesihatan tubuh badan? Untuk kaum Adam, aktiviti berjalan kaki didapati boleh meningkatkan kesihatan seksual lelaki dan mengelakkan kemandulan!

Lebih menarik lagi, anda tidak perlu berjalan jauh untuk memperoleh manfaat ini. Cukup sekadar 3 kilometer sehari, kaum Adam boleh kekal sihat fizikal dan mental serta mampu beraksi di ranjang seperti orang muda.

Semua orang tahu, kehidupan seks yang bahagia terdiri daripada dua komponen utama iaitu libido dan juga kemampuan untuk mengekalkan ereksi.

Apakah maksud libido? Libido merupakan satu terma yang digunakan untuk menerangkan keinginan seksual seseorang. Libido seseorang berkait rapat dengan hormon androgen (seperti testosteron).

Disebabkan lelaki mempunyai 40 kali ganda testosteron berbanding wanita, normallah jika mereka mempunyai keinginan seksual yang lebih kuat.

Kemampuan untuk mengekalkan ereksi juga merupakan satu perkara yang penting. Lelaki yang tidak dapat mengekalkan ereksi dikatakan menghidap satu penyakit yang dikenali dengan nama disfungsi erektil (ED).

Manfaat jalan kaki terhadap kesihatan seksual lelaki

kesihatan seksual lelaki

Disfungsi erektil merupakan salah satu masalah seksual yang boleh berlaku kepada kaum Adam.

Namun, masalah ini boleh dikurangkan dengan bersenam ataupun melakukan aktiviti yang boleh membuatkan jantung bekerja keras.

Tidak kisahlah apa jua bentuk senaman tersebut – berjalan kaki, joging, ataupun berlari, semua aktiviti ini mampu mengelak dan juga menyembuhkan masalah mati pucuk.

Walau bagaimanapun, ada perbezaan pendapat mengenai aktiviti berbasikal yang dikatakan tidak baik untuk kesihatan seksual lelaki.

Menurut kajian yang dimuatkan di dalam Journal of the American Medical Association, masalah disfungsi erektil amat lazim dalam kalangan lelaki yang obes.

Walau bagaimanapun, selepas 2 tahun mengamalkan gaya hidup yang sihat dan bersenam dengan kerap, 1/3 daripada peserta kajian ini berjaya menterbalikkan kesan disfungsi erektil yang mereka alami.

Tetapi, apakah rahsianya?

Lelaki yang obes dan menjalani gaya hidup sedentari boleh mengurangkan risiko penyakit ini dengan cara melakukan senaman yang dapat membakar sekurang-kurangnya 200 kalori sehari, bersamaan dengan berjalan kaki sejauh 3 kilometer!

Jalan kaki merupakan sejenis senaman mudah yang mempunyai pelbagai manfaat.

Malah, berjalan kaki boleh meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan pembentukan plak. Dalam masa yang sama, kaum Adam juga boleh merendahkan risiko sakit jantung.

Masalah ED dan kesannya

kesihatan seksual lelaki

Masalah disfungsi erektil boleh berlaku apabila pengaliran darah pada kawasan zakar atau saraf di sekelilingnya terhalang.

Lelaki yang mempunyai masalah ini mungkin menghidap penyakit seperti ateriosklerosis, sakit jantung, tekanan darah tinggi atau diabetes.

Walau bagaimanapun, disfungsi erektil boleh juga berlaku disebabkan tekanan perasaan dan masalah emosi.

Oleh sebab itu, penting untuk pesakit mencari punca sebenar masalah disfungsi erektil yang mereka alami.

Kondisi ini bukan sahaja akan mempengaruhi kepuasan seksual diri sendiri dan pasangan, namun ia juga boleh menyebabkan keyakinan diri lelaki jatuh merudum.

Malah, lelaki yang mempunyai masalah disfungsi erektil mungkin akan rasa semakin tertekan apabila mereka ingin menimang cahaya mata. Sukar untuk mereka mengawal ereksi jika menghidap penyakit ini.

Walaupun senaman jalan kaki mungkin tidak cukup untuk merawat disfungsi erektil, tapi tidak rugi jika anda mencubanya.

Senaman bukan sahaja baik untuk kesihatan seksual lelaki, malahan ia juga dapat membuatkan badan anda lebih sihat dan cergas.

Berjalan kaki sebanyak 3 kilometer sehari boleh membakar sekitar 200 kalori. Ini sudah cukup untuk menurunkan risiko disfungsi erektil dalam kalangan lelaki.

Malah, kenyataan ini disokong oleh Goldstein dari Boston University. Tambah beliau lagi, berjalan kaki walaupun perlahan boleh membantu kaum Adam mengekalkan kesihatan seksual masing-masing tanpa sebarang bantuan perubatan.

Walau bagaimanapun, kenyataan ini sudah tentulah berbeza mengikut keadaan fizikal dan juga status kesihatan seksual masing-masing.

Oleh sebab itu, adakah anda sudah bersedia?

Apa kata anda mula berjalan di sekitar kawasan perumahan anda mulai petang ini. Jika anda berjalan kaki, jarak 3 kilometer boleh ditempuhi dalam masa 30 hingga 45 minit.

Cara mencegah disfungsi erektil

kesihatan seksual lelaki

Walaupun jalan kaki mempunyai banyak manfaat yang tersendiri, namun senaman itu sendiri mungkin tidak dapat merawat masalah disfungsi erektil yang dialami oleh lelaki.

Oleh sebab itu, lelaki yang inginkan kesihatan seksual yang lebih baik haruslah:

  1. Berhenti merokok. Amalan merokok berkait rapat dengan penyakit jantung dan saluran darah yang boleh meningkatkan risiko ED.
  2. Makan secara sihat. Elakkan makanan tinggi garam dan lemak untuk mengelakkan ED. Pastikan anda makan secara sihat untuk mengawal tekanan darah dan juga diabetes.
  3. Aktif secara fizikal. Senaman boleh meningkatkan peredaran darah pada tubuh anda termasuklah kawasan zakar. Cuba lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk badan yang sihat.
  4. Pastikan berat badan sihat. Mereka yang obes lebih berisiko untuk mengalami masalah disfungsi erektil. Oleh sebab itu, cuba turunkan berat badan dan perhatikan kesannya.

Jika anda mempunyai masalah berkaitan kesihatan seksual anda, jangan malu atau segan untuk berjumpa dengan doktor.

Nyatakan dengan jelas mengenai masalah anda kepada pakar. Mereka dapat membantu untuk menyelesaikan masalah anda.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Mayo Clinic. 2021. Erectile dysfunction. April 13. Accessed April 21, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/erectile-dysfunction/symptoms-causes/syc-20355776.
  2. News Medical Life Sciences. 2018. What is Libido? August 23. Accessed April 21, 2021. https://www.news-medical.net/health/What-is-Libido.aspx.
  3. NIH. 2017. Preventing Erectile Dysfunction. July. Accessed April 21, 2021. https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/erectile-dysfunction/prevention.
  4. Siddiqui, NI, A Nessa, and MA Hossain. 2010. “Regular physical exercise: way to healthy life.” Mymensingh Med J. 154-158.
  5. Urology Care Foundation. 2018. Erectile Dysfunction (ED). June. Accessed April 4, 2021. https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/e/erectile-dysfunction-(ed).
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 29/09/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan