Dapatan menunjukkan, mereka yang mengambil ginseng mempunyai paras gula di dalam darah yang lebih stabil berbanding dengan kumpulan kawalan.
Walau bagaimanapun, tumbuhan herba tersebut tidak menunjukkan kesan ketara pada kawalan A1C (sejenis darah yang membawa gula), insulin semasa berpuasa atau tahap kerintangan insulin.
Kajian metaanalisis 2016
Kajian ini melibatkan tinjauan terhadap 8 kajian yang membuktikan khasiat ginseng terhadap program rawatan bagi pesakit yang menghidap masalah kencing manis jenis 2.
Antara kebaikan yang terbukti melalui kajian-kajian tersebut adalah:
- Kawalan gula dalam darah semasa berpuasa yang baik.
- Kawalan insulin selepas makan yang baik.
- Penurunan pada tahap kerintangan insulin.
Walau bagaimanapun, implikasi penggunaan ginseng terhadap paras A1C masih tidak menunjukkan kesan yang ketara.
Kajian tersebut turut menemui khasiat ginseng lain seperti kawalan trigliserida, kolesterol dan lipoprotein berketumpatan rendah yang baik dalam kalangan pengguna.
Kajian 2019 berkaitan khasiat ginseng
Kajian pada tahun tersebut menunjukkan penggunaan ginseng boleh meningkatkan fungsi endotelial (lapisan dalam salur darah).
Mereka yang mengambil ginseng bersama dengan ubat kencing manis seperti metformin mempunyai tekanan darah sistolik rendah, paras lipid di dalam darah yang rendah serta peningkatan pada paras penghasilan nitrik oksida.
Perubahan pada paras bagi parameter tersebut memberi implikasi bahawa penggunaan ginseng boleh melindungi pesakit diabetes daripada masalah kardiovaskular.
Kontraindikasi dan kesan sampingan ginseng

Jangan ingat pengambilan tumbuhan herba tiada kesan sampingan! Ia merupakan sejenis rawatan yang boleh mempengaruhi fungsi pelbagai jenis organ dan sistem di seluruh badan.
Setakat ini, kesan ginseng terhadap ibu hamil dan janin yang sedang membesar masih lagi tidak diketahui.
Maka mereka tidak digalakkan untuk mengambil herba tersebut.
Jika anda mengambil ubat cair darah, anda mungkin perlu merujuk kepada doktor sebelum menggunakan sebarang suplemen yang mengandungi ginseng.
Ia berikutan herba tersebut boleh mempengaruhi keupayaan darah untuk membeku.
Mereka yang mempunyai masalah ketumbuhan sensitif hormon (seperti kanser payudara) atau keadaan sensitif hormon seperti endometriosis juga tidak digalakkan mengambilnya.
Antara kesan sampingan yang boleh dialami oleh mereka yang mengambil ginseng adalah:
- Insomnia
- Keresahan
- Cirit-birit
- Sakit kepala
Jika anda mengambil ubat kencing manis seperti insulin dan beberapa jenis ubat pil seperti glimepiride, glyburide dan glipizide, anda perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu.
Ia berikutan interaksi di antara ginseng dan ubatan tersebut boleh menyebabkan masalah hipoglisemia (paras gula di bawah normal).
Konklusi
Walaupun ginseng terbukti berkesan untuk mengawal paras gula dalam kalangan pesakit diabetes, penggunaannya perlu dipantau oleh doktor perubatan.
Ia berikutan herba tersebut boleh berinteraksi dengan ubat kencing manis sehingga menyebabkan kesan sampingan yang boleh mengancam nyawa.
Jika anda mempunyai persoalan berkaitan dengannya, ajukan kepada doktor perubatan bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.