backup og meta

Mengapa Lelaki Sukakan Barangan Berjenama Yang Mahal? Ada Kaitan Dengan Hormon!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 07/04/2021

    Mengapa Lelaki Sukakan Barangan Berjenama Yang Mahal? Ada Kaitan Dengan Hormon!

    Tahukah anda, lelaki yang suka beli barang mahal mungkin dipengaruhi oleh hormon testosteron?

    Ia merupakan satu penemuan yang diterbitkan oleh Institut Teknologi California (Caltech) Amerika Syarikat.

    Mungkin anda seorang pengumpul seluar jeans yang dicipta oleh pereka ternama atau anda mempunyai koleksi kereta mahal tersendiri. 

    Pernah tak anda terfikir mengapa anda tidak pernah berasa puas dengan kemewahan sedia ada?

    Hormon testosteron boleh mempengaruhi minat anda terhadap sesuatu jenama yang memberi refleksi terhadap status sosial dalam satu komuniti.

    Sebagai contoh, apabila anda sudah kaya, anda lebih cenderung untuk membeli kereta atau barangan berjenama seperti Apple, Bentley dan sebagainya bagi menggambarkan status anda sebagai orang berada.

    Kajian yang diterbitkan oleh Caltech menunjukkan tahap kemewahan yang dimiliki oleh seorang lelaki bergantung kepada paras hormon testosteron mereka di dalam badan.

    Sebagai contoh, mereka yang bertestosteron tinggi lebih suka akan seluar jeans berjenama Calvin Klein jika dibandingkan dengan jenama lain seperti Levi’s.

    Apa yang lebih mengejutkan adalah kebanyakan pakar mengatakan penemuan tersebut sememangnya ‘masuk akal’. Kenapa?

    Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Beli barang mahal untuk bersaing dengan lelaki lain

    beli barang

    Walaupun bagi sesetengah individu, mereka tidak bersaing secara langsung dengan mana-mana lelaki, namun sikap beli barang berjenama boleh diterangkan melalui konsep hormon dan tingkah laku agresif.

    Dalam dunia haiwan, hormon testosteron merupakan katalis kepada sikap agresif fizikal dalam menyaingi haiwan lain untuk mencapai objektif tertentu.

    Oleh sebab kita (manusia) mempunyai naluri yang berbeza jika dibandingkan dengan haiwan, tingkah laku agresif tersebut berubah daripada keganasan fizikal kepada tingkah laku pengguna agresif.

    Perkara ini boleh dibandingkan dengan pemilikan ekor besar dan cantik oleh burung merak jantan.

    Jika ia tidak perlu menggunakan ekornya untuk menarik perhatian pasangan betina, adalah lebih efektif jika mereka tidak memiliki ekor tersebut.

    Mereka lebih mudah untuk mencari makanan dan lari daripada haiwan pemangsa jika terdapat sebarang ancaman.

    Namun, burung merak jantan bergantung harap kepada ekornya untuk menarik perhatian burung merak betina bagi memastikan spesies mereka tidak terancam.

    Dalam erti kata lain, ekor mereka bagaikan simbol status dalam hierarki populasi burung merak.

    Sama juga dengan seorang manusia lelaki. Mereka tidak perlu membelanjakan ribuan (atau jutaan) ringgit untuk membeli barang mahal seperti kereta, rumah besar dan sebagainya.

    Secara logiknya, jika anda mempunyai RM5 juta, adalah lebih menjimatkan kalau hanya RM50,000 digunakan untuk membeli kereta.

    Namun adakah perkara itu akan berlaku? Kemungkinan besar tidak! Ini kerana kereta tersebut tidak menggambarkan status sosial sebenar anda.

    Jika tidak, masakan pemain bola sepak terkemuka di seluruh dunia mempunyai lebih daripada 3 kereta yang masing-masing bernilai jutaan ringgit?

    Bagaimana saintis tahu testosteron adalah punca?

    beli barang

    Dalam kajian yang dijalankan oleh Universiti Caltech, seramai 243 subjek lelaki yang berusia di antara 18 hingga 55 tahun telah dipilih secara rawak untuk mengambil pil testosteron atau pil kosong.

    4 jam kemudian, keinginan mereka untuk beli barang berdasarkan kepada harga, jenama dan sebagainya telah diuji bagi melihat kesan pemuncakan testosteron terhadap keinginan seseorang.

    Subjek yang menerima pil testosteron lebih cenderung untuk beli barang mahal berbanding dengan mereka yang menerima pil kosong.

    Perkara ini telah diperhatikan dalam dua fasa ujian yang menunjukkan hormon sememangnya boleh mempengaruhi keinginan lelaki untuk berbelanja.

    Dalam kehidupan sebenar, lelaki boleh mengalami peningkatan hormon testosteron secara semula jadi apabila mereka menghadiri upacara tertentu seperti graduasi dan perkahwinan atau ketika mereka berjumpa dengan wanita yang cantik.

    Berdasarkan kepada dapatan kajian Caltech, pada waktu tersebut komunikasi menggunakan barang berjenama dianggap lebih berkesan untuk meningkatkan kejayaan mereka dalam mencapai matlamat sosial.

    Mungkin mereka ingin berkenalan dengan wanita tersebut atau ketika mereka menghadiri apa-apa majlis, mereka ingin kelihatan segak dan tampak berduit.

    Ia merupakan saat yang sukar bagi setiap lelaki terutamanya jika mereka tidak berkemampuan.

    Namun, adakah hormon satu-satunya faktor yang boleh mempengaruhi tahap keinginan anda untuk beli barang mahal?

    Tidak sama sekali. Masih banyak maklumat perlu diselidiki. Jumlah subjek kajian Caltech juga dianggap kecil dan tidak boleh menggambarkan semua populasi lelaki.

    Tambahan pula, minat seseorang terhadap sesuatu jenama boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor persekitaran dan demografi.

    Namun, jika benar hormon testosteron sememangnya mempunyai pengaruh kuat terhadap nafsu membeli, ia boleh menyebabkan implikasi sosial yang negatif.

    Konklusi

    Adakah ini bermakna lelaki yang beli barang mahal mempunyai tahap testosteron yang tinggi?

    Mungkin, tapi ia tidak semestinya begitu. Seperti yang anda sedia maklum, minat seseorang terhadap jenama bergantung kepada faktor persekitaran sepanjang mereka dibesarkan.

    Ada juga lelaki yang meminati jenama tertentu disebabkan oleh kualiti atau ia memenuhi keperluan mereka.

    Sebagai contoh, lelaki yang ingin membeli komputer riba mungkin memilih produk yang berharga RM4,000 atas dasar keperluan dan fungsi produk jika dibandingkan dengan komputer yang berharga RM2,000.

    Akhir kata, tepuk dada, tanya selera!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 07/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan