Walaupun masalah kekurangan zink merupakan masalah yang jarang dialami oleh individu, namun ia boleh berlaku kepada mereka yang mempunyai mutasi genetik, anak yang menyusu daripada ibu yang mengalami masalah kekurangan zink dan individu yang mengambil minuman beralkohol secara berlebihan.
Mereka yang kekurangan zink akan mengalami simptom seperti ruam, cirit birit kronik, proses penyembuhan luka terganggu, keguguran rambut dan masalah berkaitan tingkah laku.
Sebenarnya…
Pelbagai jenis kajian telah membuktikan bahawa gabungan nutrisi mikro zink dan asid folik dapat memberikan kesan positif terhadap tahap kesuburan lelaki. Namun, kajian yang telah diterbitkan di laman Jurnal Rangkaian JAMA pada awal Januari 2020 telah menunjukkan dapatan yang sebaliknya.
Kajian tersebut telah dijalankan oleh pengkaji dari Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat melibatkan 2,380 lelaki yang mempunyai masalah ketidaksuburan. Subjek berusia di antara 18 hingga 45 tahun. Sebahagian daripada mereka diberikan suplemen asid folik 5mg dan zink 30mg. Selebihnya menerima pil yang tidak memberikan apa-apa kebaikan fisiologi digelar plasebo.
Sampel air mani mereka dianalisis sebanyak 4 kali, pada permulaan kajian dan dalam tempoh 2,4 dan 6 bulan kajian. Antara perkara yang diperiksa adalah jumlah sperma, pergerakannya, kualiti dan pemecahan DNA. Secara amnya, mereka yang mempunyai jumlah kerosakan DNA yang tinggi cenderung untuk mengalami masalah ketidaksuburan.
Dapatan kajian direkodkan melalui kadar kehamilan yang berlaku dalam kalangan pasangan subjek selama tempoh 18 bulan. Secara keseluruhannya, 820 orang subjek mempunyai pasangan yang hamil dalam tempoh tersebut. Namun, apa yang menghairankan adalah tiada perbezaan di antara kedua kumpulan tersebut malahan terdapat peningkatan (lebih tinggi daripada plasebo) pemecahan DNA pada kumpulan yang mengambil suplemen tersebut.
Perlu dikaji semula
Kajian semula perlu dibuat berikutan dapatan yang bercanggah dengan kebanyakan kajian termasuklah kajian metaanalisis yang pernah diterbitkan pada tahun 2017 di laman Jurnal Urologi.
Kini, terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan dan suplemen yang dijual bagi membantu meningkatkan keupayaan lelaki yang mengalami masalah kesuburan dalam usaha mereka mendapatkan cahaya mata. Produk tersebut kebanyakannya mengandungi zink dan asid folik yang menjadi teras kepada fungsi pemulihan masalah ketidaksuburan tersebut.
Jika suplemen tersebut tidak memberikan impak signifikan terhadap tahap kesuburan lelaki, ia perlu diperjelaskan agar fungsinya tidak disalahertikan. Jangan salah faham! Zink dan asid folik, kedua-duanya penting untuk proses fisiologi normal di dalam badan namun peranannya dalam mempertingkatkan kualiti sperma lelaki masih menjadi persoalan buat para ahli akademik.
Kajian lanjut perlu dibuat bagi memahami fungsi, peranan dan hubungan di antara suplemen dan tahap kesuburan lelaki.
Konklusi
Buat masa sekarang, saranan utama adalah supaya wanita yang merancang untuk hamil mengambil asid folik bagi mengelakkan kecacatan kongenital. Dapatan berkenaan dengan kesan asid folik dan zink buat lelaki perlu dikaji semula bagi melihat keberkesanan elemen tersebut dalam menyebabkan kehamilan. Jika anda merupakan lelaki yang mengalami masalah ketidaksuburan, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan.