#3 Jangan berendam dalam kolam panas, kelak sperma rosak
Seperti yang diperbincangkan di atas, walaupun haba boleh mempengaruhi kualiti dan kiraan sperma, anda tidak perlu begitu risau akan kesan kolam panas kepada anda.
Bagi pengguna yang hanya meluangkan masa beberapa minit atau kurang dari sejam, ia tidak menjadi masalah. Haba pada kolam panas hanya boleh menyebabkan masalah kesuburan apabila anda meluangkan masa berjam-jam setiap hari di dalamnya.
Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Pakar Reproduktif, Pusat Perubatan Baylor All Saints di Texas, Robert Kaufmann.
Ujarnya, terdapat kaitan di antara penggunaan tab air panas, haba pada kawasan kantung telur lelaki dan penurunan pada kiraan sperma. Walau bagaimanapun, jika hanya digunakan sekali sekala, ia tidak menjadi masalah.
#4 Pakai boxer ketat, tak bagus untuk sperma suami?

Walaupun ramai beranggapan pemakaian seluar dalam ketat boleh mempengaruhi kesuburan, ia merupakan satu bentuk kerisauan yang tidak masuk akal.
Perkara ini dinyatakan dan disahkan sendiri oleh Kaufmann. Ideanya adalah, oleh sebab seluar dalam ketat tersebut menyebabkan kenaikan suhu pada kantung telur, ia boleh merosakkan sperma.
Walau bagaimanapun, impak yang disebabkan olehnya tidaklah begitu ketara sehingga mempengaruhi tahap kesihatan lelaki.
#5 Berbasikal boleh turunkan keupayaan anda untuk menimang cahaya mata?
Kajian yang melibatkan 2,200 lelaki di Boston antara tahun 1993 hingga 2003 menunjukkan mereka yang berbasikal sekurang-kurangnya 5 jam seminggu lebih berisiko mempunyai kiraan sperma rendah dan sperma dengan masalah pergerakan.
Perkara ini turut terbukti melalui beberapa kajian lain, termasuklah yang melibatkan subjek bagi acara triathlon.
Walau bagaimanapun, terdapat juga kajian yang hanya menemui kaitan apabila ia melibatkan pengayuh basikal jarak jauh. Bagi mengesahkan hipotesis ini, kajian lanjut perlu dilakukan.
#6 Telefon pintar, pengaruhi kualiti dan kiraan sperma

Pengaruh telefon pintar dan peranti mudah alih terhadap kesuburan sememangnya satu ura-ura yang popular.
Namun, adakah ia benar? Tinjauan kajian yang dibuat di Universiti California menunjukkan 8 daripada 9 kajian berkaitan merumuskan telefon pintar boleh memberi impak negatif terhadap kiraan sperma lelaki.
Perkara ini terutamanya jika telefon tersebut diletakkan di dalam poket seluar.
Ia mengeluarkan radiasi dalam bentuk gelombang elektromagnetik yang boleh menyebabkan kesan buruk terhadap sel dan perkembangan sperma di dalam testis.
#7 Tabiat merokok, punca kepada segala jenis penyakit
Ketidaksuburan bukanlah satu-satunya masalah yang boleh disebabkan oleh tabiat merokok. Ia merupakan ibu kepada segala jenis penyakit dan perosak pelbagai jenis sel termasuklah sperma.
Kajian yang dilakukan bertahun lamanya menunjukkan tabiat merokok boleh menyebabkan perubahan negatif terhadap kromosom sperma.
Jika anda ingin menimang cahaya mata, pastikan anda cuba untuk berhenti merokok. Ia boleh memberikan kebaikan kesihatan serta menghindarkan daripada pelbagai jenis kanser.
Konklusi
Jangan mudah percaya jika anda terdengar ura-ura yang tidak disertakan dengan bukti saintifik. Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan membuat siasatan dan kajian sendiri.
Kesuburan merupakan satu topik yang sensitif.
Jika anda ingin menghasilkan sperma berkualiti serta pada kiraan yang mencukupi, pastikan anda mempertimbangkan fakta dan nasihat seperti yang di atas.
Kalau anda mempunyai sebarang keraguan atau persoalan, ajukan kepada doktor perubatan bertauliah untuk nasihat kesihatan.