Ramai yang tidak sedar, jika diabetes tidak dikawal dan dibiarkan sahaja, ia sebenarnya boleh menyebabkan kebutaan atau retinopati diabetik. Bagaimana keadaan buta kerana diabetes ini boleh berlaku?
Fahami penjelasannya di bawah ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan retinopati diabetik?
Diabetik retinopati adalah satu keadaan atau penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan dan buta dalam kalangan mereka yang menghidap diabetes.
Ia berpunca daripada kerosakan saluran darah pada tisu yang sensitif dengan cahaya yang terletak pada bahagian belakang mata (retina).
Pada mulanya, retinopati diabetik mungkin tidak menyebabkan sebarang gejala atau hanya menyebabkan masalah penglihatan ringan.
Namun, lama-kelamaan ia boleh menyebabkan kebutaan.
Keadaan ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja yang menghidap diabetes jenis 1 atau jenis 2.
Semakin lama anda menghidap diabetes dan semakin kurang terkawal gula darah, maka semakin besar kemungkinan anda untuk mengalami buta kerana diabetes ini.
Bagaimana buta kerana diabetes boleh berlaku?
Retina merupakan satu lapisan sel yang sensitif cahaya, yang terletak pada bahagian belakang mata.
Ia menukarkan cahaya kepada isyarat elektrik.
Isyarat ini kemudiannya dihantar ke otak yang mengubahnya menjadi imej yang anda lihat.
Retina memerlukan bekalan darah yang berterusan, yang diterima melalui rangkaian saluran darah kecil.
Dari masa ke masa, paras gula darah yang tinggi secara berterusan boleh merosakkan saluran darah ini dalam 3 peringkat utama:
- Retinopati latar belakang: Benjolan kecil berkembang dalam saluran darah, yang mungkin menyebabkan pendarahan yang kecil tetapi biasanya tidak menjejaskan penglihatan anda
- Retinopati pra-proliferatif: Perubahan lebih teruk yang menjejaskan saluran darah, termasuklah pendarahan yang lebih ketara dalam mata anda
- Retinopati proliferatif: Tisu parut dan saluran darah baru yang lemah dan mudah berdarah, yang berkembang pada retina dan boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan
Walau bagaimanapun, jika masalah dengan mata anda dapat diatasi lebih awal, perubahan gaya hidup dan rawatan boleh menghalangnya daripada menjadi lebih teruk.
Simptom-simptom retinopati diabetik
Peringkat awal diabetik retinopati biasanya tidak mempunyai atau menunjukkan sebarang gejala khusus.
Sesetengah individu mungkin akan mengalami perubahan dalam penglihatan mereka, seperti ada masalah membaca atau ketika melihat objek yang jauh.
Perubahan ini mungkin akan berlaku dalam tempoh masa yang sebentar dan kemudiannya menghilang.
Pada peringkat akhir penyakit ini, saluran darah dalam retina mula berdarah ke dalam vitreous (cecair seperti gel yang memenuhi mata anda).
Jika ini berlaku, anda mungkin akan melihat bintik-bintik gelap terapung atau jalur yang kelihatan seperti sarang labah-labah.
Kadangkala, bintik-bintik ini akan menghilang dengan sendirinya.
Namun, adalah amat penting untuk mendapatkan rawatan dalam kadar segera.
Tanpa rawatan, pendarahan boleh berlaku lagi dan kemudiannya menjadi lebih teruk atau menyebabkan parut.
Siapakah yang berisiko tinggi menjadi buta kerana diabetes?
Mana-mana individu yang menghidap diabetes jenis 1 atau 2 amat berisiko tinggi untuk mendapat retinopati diabetik.
Risiko ini akan semakin tinggi jika anda mengalami diabetes dalam tempoh yang lama, sentiasa mempunyai bacaan gula darah yang tinggi dan juga mempunyai tekanan darah yang tinggi.
Individu yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan hamil juga amat berisiko untuk mengalami buta kerana diabetes.
Bagaimana untuk mengelakkan retinopati diabetik daripada berlaku?
Jika anda seorang penghidap diabetes tidak kira sama ada jenis 1 atau 2, anda boleh melakukan tip-tip di bawah ini sebagai langkah pencegahan:
- Uruskan diabetes anda dengan baik. Pastikan anda makan mengikut pelan pemakanan khusus bagi pesakit diabetes. Selain itu, pastikan anda kerap melakukan aktiviti fizikal setiap hari. Jangan sesekali mengabaikan aturan makan ubat diabetes yang telah ditetapkan oleh doktor
- Kawal paras gula darah. Lakukan ujian gula darah beberapa kali dalam sehari dan rekodkannya dalam buku nota anda. Lakukan ujian ini dengan lebih kerap apabila anda tidak sihat atau berada dalam keadaan stres
- Kawal tekanan darah anda. Pastikan anda sentiasa mengawal tekanan darah dan juga paras kolesterol anda. Caranya adalah dengan mengambil makanan yang sihat, kerap bersenam dan turunkan berat badan anda
- Pastikan sebarang perubahan pada mata. Jika anda menyedari sebarang perubahan pada mata seperti kabur atau berbintik-bintik, segera lakukan pemeriksaan dengan doktor dan jangan sesekali mengabaikannya
- Berhenti merokok. Merokok boleh menyebabkan risiko mendapat diabetik retinopati menjadi lebih tinggi. Oleh itu, minta bantuan doktor berkenaan cara yang berkesan untuk berhenti merokok.
Rawatan bagi retinopati diabetik
Rawatan hanya akan diberikan jika doktor mendapati penglihatan anda berisiko untuk mengalami buta kerana kencing manis.
Antara kaedah rawatan utama yang akan diberikan oleh doktor ialah seperti rawatan laser, suntikan ubat pada mata anda dan juga pembedahan untuk membuang darah atau tisu parut yang terdapat pada mata anda.
Jika ia tidak berisiko menjejaskan penglihatan anda, doktor akan menyarankan anda melakukan tip-tip seperti yang telah dinyatakan di atas.
[embed-health-tool-bmi]