Tahukah anda, penghidap diebetes lebih mudah untuk mendapat penyakit kandidiasis mulut berbanding mereka yang tidak mempunyai diabetes. Anda tahu apakah itu penyakit kandidiasis? Ini penerangannya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.
Makna penyakit kandidiasis
Dalam tubuh badan manusia, terdapat yis yang tumbuh secara semula jadi.
Namun, apabila yis ini tumbuh dengan kadar yang terlalu banyak atau berlebihan, maka ia boleh menyebabkan masalah kepada tubuh badan manusia.
Penyakit kandidiasis biasa berlaku di kawasan tubuh badan manusia yang lembap dan hangat. Antaranya seperti bahagian kemaluan, kulit dan juga pada mulut.
Bagi mereka yang mempunyai diabetes atau kencing manis, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit kandidiasis ini.
Malah, rawatan bagi merawat penyakit kandidiasis juga akan menjadi lebih sukar jika anda menghidap diabetes.
Bagaimana diabetes boleh menyebabkan penyakit kandidiasis?
Penghidap kencing manis mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kandidiasis berbanding mereka yang tidak mempunyai kencing manis.
Malah, jika penyakit diabetes yang dialami tidak diuruskan dengan baik, maka risikonya akan menjadi lebih tinggi.
Berikut adalah faktor-faktor mengapa diabetes boleh menyebabkan penyakit ini berkembang:
#1. Gula yang berlebihan
Apabila anda mempunyai diabetes, sememangnya paras gula darah anda akan menjadi lebih tinggi berbanding paras normal.
Gula yang terlalu tinggi ini boleh menggalakkan pembiakan yis menjadi lebih banyak dan berlebihan.
Apabila paras gula darah anda terlalu tinggi, lebihan gula ini akan dikeluarkan oleh tubuh melalui mukus atau lendir tubuh, perpeluhan dan juga air kencing.
Oleh itu, yis akan menjadi lebih mudah melekap pada sel kulit dan kelenjar mukus disebabkan kehadiran gula yang tinggi.
Gula berperanan menjadi makanan atau sumber tenaga untuk yis membiak.
Selain itu, penghidap diabetes juga mempunyai paras glikogen yang tinggi.
Glikogen adalah sejenis bahan yang disimpan dalam tisu badan sebagai simpanan karbohidrat.
Glikogen yang berlebihan pada faraj boleh meningkatkan tahap keasidan faraj.
Ini juga boleh meningkatkan risiko pembiakan yis secara berlebihan.
#2. Sistem imun yang semakin lemah
Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai diabetes lebih mudah untuk mendapat jangkitan kandidiasis.
Ada kajian menyatakan, paras gula darah yang tinggi boleh menyebabkan penekanan ke atas protein imun tertentu.
Protein ini membantu sel imun tubuh untuk melawan sebarang serangan dan jangkitan yang berlaku dalam tubuh.
Apabila penyakit diabetes berlaku, maka protein imun ini tidak dapat berfungsi dengan baik lalu menyebabkan jangkitan kandidiasis.
#3. Jangkitan yang kerap berlaku
Apabila sesuatu kawasan tubuh itu pernah dijangkiti dengan yis, maka adalah lebih mudah untuk jangkitan yis berlaku kembali.
Mereka yang mempunyai diabetes berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan berulang.
Simptom-simptom kandidiasis mulut
Antara kawasan tubuh yang mudah untuk mendapat jangkitan ini ialah mulut.
Kandidiasis mulut adalah antara jenis jangkitan yis yang mudah berlaku dalam kalangan penghidap diabetes.
Bagaimana untuk mengetahui tanda kandidiasis mulut ini? Ini simptom-simptomnya:
- Terdapat pecahan atau rekahan pada hujung bibir anda
- Berlakunya kemerah-merahan dalam mulut
- Berlakunya pendarahan dalam mulut
- Berasa pahit atau tidak enak dalam mulut anda
- Kesakitan pada mulut termasuklah pada bahagian tekak
- Terdapat tompokan berwarna putih berkrim dalam mulut anda iaitu di kawasan pipi, lidah, bibir dan juga tekak
Adakah kandidiasis mulut sesuatu yang serius?
Kandidiasis adalah antara jenis jangkitan yis yang biasa berlaku dalam kalangan pesakit diabetes. Begitu juga dengan kandidiasis mulut.
Ia mungkin berlaku beberapa kali namun ia bukanlah satu perkara yang serius.
Namun, jika ia kerap berlaku tanpa sebarang rawatan yang wajar, ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih teruk.
Malah, ia juga boleh menjangkiti orang lain seperti pasangan dan anak-anak anda.
Bolehkah kandidiasis mulut ini dirawat?
Ya, ia boleh dirawat dengan menggunakan krim anti kulat atau ubat makan.
Antara jenis ubat sapuan yang sering digunakan untuk merawat jangkitan ini adalah seperti clotrimazole, ketoconazole, imidazole, fluconazole dan itraconazole.
Ini cara untuk anda elakkan jangkitan kandidiasis
Bagi penghidap diabetes, anda semestinya perlu mengawal paras gula darah anda untuk mencegah jangkitan ini daripada berlaku kembali.
Selain itu, bagi mengelakkan kandidiasis mulut daripada berlaku, anda perlu melakukan perkara-perkara ini:
- Jaga kesihatan mulut anda dengan baik. Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan lakukan flos gigi juga.
- Kumur mulut anda setiap kali selepas makan. Ini bagi mengelakkan sebarang sisa gula melekat dalam mulut anda.
- Gunakan pembersih mulut untuk membantu menghalang jangkitan bakteria dan juga kulat dalam mulut.
- Lakukan pemeriksaan mulut dan gigi secara berkala. Anda disarankan untuk berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
[embed-health-tool-bmi]