backup og meta

Betul Ke Virus COVID-19 Juga Jadi Punca Penyakit Diabetes?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/03/2022

    Betul Ke Virus COVID-19 Juga Jadi Punca Penyakit Diabetes?

    Adakah anda tahu bahawa sesetengah virus juga boleh menjadi penyebab penyakit diabetes? Ya, penyakit kencing manis juga sebenarnya boleh dipicu oleh serangan virus tertentu.

    Bagaimana hal ini berlaku? Ini penerangan ringkas yang perlu anda fahami.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    Virus yang menjadi penyebab penyakit diabetes

    penyebab penyakit diabetes

    Terdapat dua perkara yang kita sedia maklum menjadi punca atau sebab berlakunya penyakit kencing manis.

    Dua faktor tersebut ialah berkurangnya respons sel tubuh terhadap insulin atau pankreas tidak menghasilkan insulin dengan jumlah yang mencukupi.

    Tahukah anda, sebuah kajian yang dijalankan di Brazil menunjukkan bahawa terdapat virus tertentu yang juga boleh memicu penyakit kencing manis ini.

    Sebenarnya, terdapat banyak kajian sebelum ini yang telah mengesan kaitan antara diabetes jenis 1 dan juga beberapa jenis virus.

    Walau bagaimanapun, dalam pelbagai jenis virus yang telah dikaji sejak akhir tahun 1960-an, enterovirus merupakan jenis virus yang dikesan mempunyai impak terbesar dalam memicu penyakit diabetes jenis 1.

    Enterovirus merupakan keluarga virus yang boleh menyebabkan sejumlah penyakit seperti herpangina, polio dan juga gangguan pernafasan.

    Baca juga:

    Salah satu kajian awal mendapati bahawa, terdapat peningkatan antibodi CVB4 dalam kalangan pesakit yang baharu dikesan menghidap diabetes jenis 1.

    Antibodi CVB4 merupakan sejenis protein daripada sistem imun yang berfungsi melawan serangan virus Coxsackie B Type 4 atau ringkasnya CVB4. CVB4 ini merupakan salah satu virus daripada keluarga enterovirus.

    Berdasarkan kepada kajian tersebut, sekumpulan saintis di Brazil telah meneruskan kajian lanjutan mengenainya terhadap tikus pada tahun 2014.

    Setelah melakukan sejumlah eksperimen terhadap tikus tersebut, kumpulan saintis ini menemui cara bagaimana virus CVB4 boleh menjadi penyebab penyakit diabetes.

    Jangkitan virus CVB4 telah menyebabkan penurunan URI, sejenis protein yang berperanan mengawal banyak fungsi sel.

    Penurunan URI ini sekali gus akan mengurangkan gen Pdx1 yang berfungsi mengawal fungsi sel beta pada pankreas.

    Untuk makluman anda, sel beta merupakan sel pankreas yang berperanan menghasilkan hormon insulin.

    Sekiranya terdapat gangguan pada sel beta ini, maka penghasilan hormon insulin juga akan terjejas.

    Kekurangan gen Pdx1 boleh menghilangkan sifat sel beta dan menukarkannya menjadi sel alfa. Sel alfa pula mempunyai fungsi yang amat berbeza dengan sel beta.

    Sel alfa akan meningkatkan gula darah selain boleh menyebabkan hiperglisemia atau paras gula darah yang melampau.

    Bukan itu sahaja, kajian-kajian lain turut menjumpai antibodi enterovirus yang lebih banyak dalam kalangan ibu hamil yang melahirkan anak dengan diabetes jenis 1.

    Virus COVID-19 disyaki menjadi penyebab penyakit diabetes dalam kalangan individu sihat

    penyebab penyakit diabetes

    Selain daripada enterovirus, satu lagi virus yang disyaki atau berkemungkinan boleh memicu penyakit kencing manis ialah virus SARS-CoV-2 atau virus COVID-19.

    Penemuan ini telah diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada tahun 2020.

    Kumpulan pengkaji ini mendapati bahawa terdapat hubungan antara virus COVID-19 dengan penyakit kencing manis.

    Antaranya, penyakit kencing manis boleh meningkatkan risiko gejala COVID-19 yang lebih teruk.

    Selain itu, penyelidik turut menemui kes-kes penyakit kencing manis baharu dalam kalangan pesakit COVID-19.

    Kumpulan penyelidik turut menjumpai kes-kes komplikasi yang lebih teruk dalam kalangan penghidap diabetes seperti ketoasidosis diabetik.

    Buat masa ini, para penyelidik masih belum dapat memahami dengan sepenuhnya bagaimana virus COVID-19 boleh menjadi antara penyebab penyakit diabetes.

    Walau bagaimanapun, mereka menemui bahawa virus COVID-19 ini boleh bercantum dengan reseptor angiotensin-converting enzyme 2 (ACE-2).

    ACE-2 terdapat dalam organ dan juga rangkaian tubuh yang terlibat dalam metabolisme glukosa seperti lemak, usus kecil, pankreas dan juga hati.

    Jika virus COVID-19 memasuki organ-organ ini, ia mungkin boleh mengganggu metabolisme glukosa.

    Sekiranya metabolisme glukosa ini terganggu, maka tubuh badan kita akan mengalami kesukaran untuk menukarkan gula menjadi sumber tenaga.

    Kesannya, glukosa atau gula ini akan berkumpul di dalam darah dan menyebabkan hiperglisemia yang akhirnya menyebabkan penyakit kencing manis. 

    Cara cegah penyakit kencing manis

    Sebahagian besar penemuan mengenai virus penyebab penyakit diabetes ini masih perlu dikaji dengan lebih mendalam.

    Buat masa ini, tiada sebarang kaedah khusus yang boleh digunakan bagi mencegah diabetes jenis 1 daripada berlaku.

    Namun, anda masih boleh mencegah risiko diabetes jenis 2 dengan lima langkah di bawah ini:

    • Kawal berat badan anda. Jika berat badan anda berlebihan, ambil inisiatif untuk menurunkannya dan mengekalkan berat badan yang sihat
    • Berhenti merokok. Tabiat merokok boleh meningkatkan risiko kerintangan insulin yang merupakan faktor penyebab kencing manis
    • Ambil makanan yang bernutrisi dan seimbang. Kurangkan pengambilan makanan tinggi gula dan berlemak, selain mengambil lebih banyak sayuran dan buah-buahan
    • Kerap bersenam. Anda perlu bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari, lima hari seminggu

    penyebab penyakit diabetes

    • Lakukan pemeriksaan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan secara berkala juga amat penting agar langkah pencegahan penyakit boleh diambil lebih awal

    Virus mungkin boleh memicu penyakit diabetes dalam kes-kes tertentu, namun faktor utama yang menyebabkan penyakit ini ialah gangguan penghasilan hormon insulin dan juga respons sel tubuh terhadap insulin. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan