Diagnosis Diabetes Jenis 2, WAJIB Buat Pemeriksaan Kesihatan Berkala

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 14/10/2020 . 4 minit bacaan
Share now

Selain memerhatikan simptom diabetes, anda juga mungkin perlu melakukan beberapa ujian makmal untuk melihat bacaan kencing manis dan mengetahui bacaan normal kencing manis anda. Ini yang diperlukan untuk mendiagnosis diabetes jenis 2.

Tujuan ujian makmal dilakukan adalah untuk melihat kepada penanda gula darah anda. Ujian ini amat penting memandangkan ada sesetengah individu yang mempunyai simptom yang tidak disedari atau tidak jelas kelihatan.

Selain itu, ia juga untuk menentukan sama ada simptom yang dialami tersebut adalah benar-benar disebabkan oleh diabetes jenis 2, bukannya simptom bagi keadaan kesihatan yang lain. 

Untuk mendiagnosis dan mendapatkan bacaan kencing manis jenis 2, anda mungkin perlu melakukan beberapa ujian seperti ujian hemoglobin A1C, puasa gula darah (FPG) atau ujian toleransi glukosa oral (OGTT). 

Ujian untuk mendapatkan bacaan kencing manis

Berikut adalah ujian-ujian yang sering dilakukan untuk mendapatkan bacaan kencing manis bagi penghidap diabetes jenis 2. Ia akan menentukan sama ada bacaan tersebut adalah bacaan normal kencing manis atau tidak.

#1. Puasa gula darah atau ringkasnya FPG

bacaan normal kencing manis

Puasa gula darah merupakan salah satu ujian untuk mendapatkan bacaan kencing manis seseorang individu. Ia digunakan untuk menentukan sama ada anda mempunyai diabetes atau pradiabetes. 

Ujian ini akan dilakukan setelah anda berpuasa selama beberapa jam, biasanya dalam tempoh 8 jam. 

Bagi anda yang menjalani ujian FPG ini, anda dinasihatkan untuk tidak makan atau minum apa-apa jenis makanan dan minuman kecuali air kosong sebelum ujian dilakukan. 

Darah akan diambil daripada lengan anda semasa prosedur ujian ini dilaksanakan. Ujian pula biasanya akan dilakukan pada waktu pagi sebelum anda mula makan setelah 8 jam berpuasa. 

Hasil bacaan kencing manis melalui FPG

Hasil bacaan kencing manis adalah seperti berikut:

  • Bacaan normal kencing manis: kurang daripada 100 mg/dl
  • Bacaan untuk pradiabetes: 100 mg/dl sehingga 125 mg/dl
  • Bacaan untuk diabetes: 126 mg/dl atau lebih tinggi

#2. Ujian bacaan kencing manis hemoglobin A1c atau ringkasnya A1C

Ujian ini adalah antara ujian bacaan kencing manis yang paling kerap dilakukan untuk mengesan diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2. 

Selain itu, ia juga digunakan untuk melihat perkembangan semasa pengurusan kencing manis anda sama ada ia menunjukkan perkembangan atau tidak. Ujian ini mempunyai pelbagai nama seperti hemoglobin A1C glycated hemoglobin, glycosylated hemoglobin, dan HbA1c. 

Hasil keputusan ujian ini menunjukkan purata tahap gula darah tubuh badan anda bagi tempoh 2 hingga 3 bulan yang lalu. Ujian A1C mengukur peratusan hemoglobin darah anda. 

Hemoglobin ialah sejenis protein yang berada dalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen kepada sel tubuh. 

Hemoglobin ini disaluti dengan gula. Jika semakin tinggi tahap A1C anda, itu bermaksud bahawa anda tidak menguruskan gula darah anda dengan baik dan berpotensi mendapat komplikasi berkaitan penyakit diabetes

Hasil ujian juga digunakan untuk menentukan sama ada anda dikesan mempunyai pradiabetes atau tidak. Jika anda mempunyai pradiabetes, maka risiko anda untuk mendapat diabetes adalah tinggi selain risiko penyakit kardiovaskular. 

Kekerapan melakukan ujian A1C

Kekerapan untuk anda melakukan ujian ini adalah bergantung kepada tahap diabetes anda. Berikut adalah cadangan bilangan untuk anda melakukan ujian A1C:

  • Sekali dalam setahun sekiranya anda mempunyai pradiabetes
  • Dua kali dalam setahun sekiranya anda mempunyai diabetes jenis 2, tetapi tidak menggunakan suntikan insulin dan paras gula darah anda sentiasa berada pada julat sasaran anda
  • 4 kali dalam setahun sekiranya anda menghidap penyakit diabetes jenis 1
  • 4 kali dalam setahun sekiranya anda menghidap diabetes jenis 2, menggunakan suntikan insulin atau sukar untuk memastikan paras gula darah anda berada dalam julat sasaran 

Hasil bacaan kencing manis melalui ujian A1C

Hasil ujian A1C ditunjukkan dalam bentuk peratusan. Semakin tinggi peratus yang ditunjukkan, maka semakin tinggi jugalah tahap gula darah purata anda. 

Semakin tinggi peratus A1C anda, semakin tinggi juga risiko anda untuk mendapat diabetes atau komplikasi akibat diabetes. 

Bagi seseorang yang tidak menghidap penyakit diabetes, tahap A1C yang normal adalah di bawah 5.7%. 

Sekiranya tahap A1C anda berada antara 5.7% dan 6.4%, anda sebenarnya sedang mengalami pradiabetes. Ini bermaksud bahawa anda mempunyai risiko yang agak tinggi untuk menghidap penyakit diabetes pada masa akan datang.

Tahap A1C 6.5% atau lebih tinggi pada dua ujian yang berasingan menunjukkan bahawa anda sedang menghidap penyakit diabetes. 

Tahap A1C melebihi 8% pula bermaksud diabetes anda sedang berada dalam keadaan yang tidak terkawal dengan baik dan anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi diabetes.

Bagi kebanyakan orang dewasa yang menghidap diabetes, tahap A1C 7% atau kurang adalah sasaran rawatan yang biasa. 

Sasaran yang lebih rendah atau lebih tinggi mungkin sesuai untuk sesetengah individu. 

Sekiranya tahap A1C anda melebihi sasaran anda, doktor mungkin akan mengesyorkan perubahan dalam rancangan rawatan diabetes anda.

Sebilangan individu yang menghidap diabetes memantau kadar gula darah mereka di rumah sahaja dengan menggunakan alat ujian yang boleh dibeli di farmasi. 

Namun, alat ujian yang anda gunakan mungkin melaporkan kadar gula darah anda dalam bentuk miligram per desiliter (mg / dL) atau milimol per liter (mmol / L).

#3. Ujian bacaan kencing manis toleransi glukosa oral atau ringkasnya OGTT

bacaan kencing manis

Ujian OGTT ini berfungsi mengukur respons tubuh badan anda terhadap gula atau glukosa. Ia akan mengenal pasti sebarang perubahan dalam cara tubuh badan anda mengendalikan glukosa selepas anda makan. 

Dalam erti kata lain, ia mengesan sama ada tubuh badan anda menghadapi kesukaran untuk memetabolisme pengambilan gula atau sumber karbohidrat. 

Anda akan diminta untuk meminum air gula dan paras gula darah anda akan diukur dan direkodkan sebelum dan selang masa selepas anda meminum air gula tersebut. 

Ujian OGTT ini dilakukan untuk menentukan sama ada anda mengalami pradiabetes, diabetes gestasi bagi wanita hamil, kerintangan insulin atau hipoglisemia reaktif. Sebelum ujian OGTT dilakukan, anda diminta untuk berpuasa dalam tempoh antara 8 hingga 12 jam. 

Anda juga mungkin dinasihatkan untuk tidak mengambil sebarang ubat-ubatan sebelum ujian dilakukan kerana dikhuatiri ubat-ubatan tersebut boleh menjejaskan hasil ujian.

Ketika ujian dilakukan, sampel darah anda akan diambil terlebih dahulu untuk mengukur paras gula darah anda. 

Kemudian, anda akan diminta untuk meminum air gula atau air glukosa yang sangat manis. 

Kira-kira 30 minit selepas anda minum air gula tersebut, sampel darah akan diambil. Selepas 60 minit pula, sampel darah anda akan diambil sekali lagi. 

Ada juga doktor yang akan mengambil sampel darah anda sekali sahaja iaitu selepas 2 jam anda meminum air gula tersebut.

Hasil bacaan kencing manis melalui ujian OGTT

 Berikut adalah hasil ujian OGTT:

  • Bacaan normal kencing manis: kurang daripada 140 mg/dl
  • Bacaan untuk pradiabetes: 140 mg/dl sehingga 199 mg/dl
  • Bacaan untuk diabetes: 200 mg/dl atau lebih tinggi

Kurangkan risiko untuk anda mendapat diabetes

bacaan kencing manis

Sekiranya anda dikesan mempunyai risiko untuk mendapat diabetes seperti pradiabetes, masih tidak terlambat untuk anda menyelamatkan diri daripada mendapat diabetes secara kekal. 

Ada kajian yang menunjukkan bahawa anda boleh mengurangkan risiko untuk mendapat diabetes jenis 2 sekiranya anda mengurangkan 7% daripada keseluruhan berat badan anda. 

Anda boleh lakukannya dengan melibatkan diri dengan kehidupan yang aktif seperti berjalan cepat, berlari, berenang atau berbasikal setiap hari. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan