brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Kayap + Diabetes: Kombinasi Ini Buat Sakit Saraf Jadi Lebih Teruk!

Ramai pesakit diabetes tidak sedar bahawa perubahan pada sistem saraf boleh bermula daripada tanda awal seperti kaki pesakit kencing manis yang sering kebas, rasa mencucuk, atau menjadi lebih sensitif. 

Kayap + Diabetes: Kombinasi Ini Buat Sakit Saraf Jadi Lebih Teruk!

Kaki pesakit kencing manis merujuk kepada keadaan apabila saraf dan salur darah di bahagian kaki mengalami kerosakan akibat paras glukosa yang tinggi dalam jangka masa panjang. Kerosakan inilah yang akhirnya menyebabkan pesakit mengalami simptom seperti kebas, kesemutan, rasa terbakar serta perubahan pada warna kulit, dan jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius.

Apabila masalah saraf ini bertembung pula dengan jangkitan kayap, kesannya boleh menjadi lebih teruk dan berpanjangan. 

Kedua-dua diabetes dan kayap sebenarnya berkongsi laluan kerosakan saraf yang saling berkaitan, menjadikan pesakit lebih mudah mengalami kesakitan mendalam serta proses pemulihan yang perlahan. 

Artikel ini akan menerangkan bagaimana kedua-dua keadaan ini menjejaskan saraf, kesannya terhadap tubuh, dan mengapa pengesanan awal amat penting.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

Kaki pesakit kencing manis: apa yang berlaku pada saraf ketika jangkitan kayap?

Kayap berlaku apabila virus cacar air, varicella-zoster virus atau VZV) yang pernah wujud dalam badan sejak kecil kembali aktif. 

Statistik menunjukkan bahawa 1 daripada 3 orang akan mengalami pengaktifan semula virus ini sepanjang hidup mereka.1,2,3

Apabila VZV “kembali aktif”, ia bergerak melalui urat saraf menuju ke kulit. 

Pergerakan inilah yang menyebabkan rasa panas, mencucuk, menyengat, atau seperti ditikam. Kesemua ini merupakan gejala awal yang biasa muncul beberapa hari sebelum ruam timbul.

Ruam kayap pula muncul mengikut laluan saraf terlibat, biasanya pada satu bahagian badan atau muka. 

Namun, VZV boleh menyerang pelbagai jenis saraf, menjadikan simptom setiap pesakit berbeza dan kadangkala tidak dijangka.1

kaki kencing manis
Antara tanda-tanda lazim jika anda dijangkiti kayap.

Infografik ini adalah hak milik Hello Doktor.

Rujukan: Mayo Clinic Staff. (2022, August 20). Shingles – Symptoms and causes. Mayo Clinic. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/shingles/symptoms-causes/syc-20353054. 

Lebih membimbangkan, kayap boleh mencetuskan komplikasi jangka panjang seperti postherpetic neuralgia (PHN), iaitu sakit saraf yang boleh berlangsung selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun walaupun ruam sudah sembuh.1

Seseorang yang telah mempunyai masalah saraf seperti rasa kebas di tapak tangan dan kaki akan berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi saraf yang lebih teruk kerana laluan saraf yang sedia ada telah pun lemah sebelum virus kayap mula menyerang.,

Kenapa pesakit diabetes lebih mudah terjejas bila diserang kayap?

kaki kencing manis
Ruam kayap akan muncul pada bahagian tertentu kulit.

Kejadian kayap meningkat dengan ketara apabila seseorang mula memasuki usia 50-60 tahun.1* (Data Amerika Syarikat,¹ mungkin tidak mewakili situasi di seluruh dunia)

Pada masa yang sama, diabetes menyerang saraf menerusi keadaan yang dikenali sebagai neuropati diabetes, iaitu kerosakan saraf akibat paras gula yang tinggi secara kronik. 

Keadaan ini biasa disebut sebagai kaki kencing manis kerana kerap berlaku pada anggota badan bahagian bawah seperti kaki.

Apabila paras glukosa terlalu tinggi dalam tempoh lama, ia akan menyebabkan:

  • Salur darah kecil yang membekalkan oksigen kepada saraf menjadi rosak
  • Nutrisi ke saraf berkurang
  • Saraf menjadi lemah, meradang dan lambat menghantar isyarat

Ini menyebabkan pesakit kaki kencing manis mengalami simptom seperti:

  • Rasa kebas di kaki
  • Kesemutan
  • Rasa terbakar atau mencucuk
  • Perubahan pada kulit seperti kehitaman di kaki yang hampir sama dengan simptom saraf akibat kayap.

Disebabkan saraf pesakit diabetes sudah pun dalam tekanan, apabila kayap menyerang, ia menghasilkan “double hit“ atau tekanan berganda pada sistem saraf:

  1. Imuniti lemah akibat diabetes meningkatkan risiko jangkitan termasuk kayap.4 5 6 7
  2. Virus cacar air aktif semula, merosakkan saraf yang sudah pun tidak stabil.
  3. Penuaan & stres turut melemahkan sistem imun, mengurangkan keupayaan tubuh melawan keradangan.

Hasilnya, pesakit diabetes sering mengalami:8 9 10 11

  • Sakit yang lebih teruk berbanding mereka tanpa diabetes
  • Risiko komplikasi saraf lebih tinggi

Tidak hairan jika ramai yang melaporkan rasa kebas di kaki menjadi lebih teruk semasa atau selepas episod kayap.

Tip pengurusan kesakitan saraf bagi pesakit diabetes

Berikut adalah langkah pengurusan kesakitan saraf yang disyorkan untuk mereka yang menghidap diabetes:

#1. Pengurusan sensitiviti kulit (Allodynia)

Kerosakan pada gentian saraf akibat virus menyebabkan gangguan penghantaran isyarat ke otak, sehingga sentuhan ringan pakaian pun boleh mencetuskan rasa sakit yang melampau.12

Pesakit dinasihatkan memakai pakaian yang longgar dan diperbuat daripada gentian asli seperti kapas untuk meminimumkan geseran pada saraf yang meradang.13

Meletakkan tuala yang dibasahkan dengan air sejuk pada kawasan ruam juga dapat membantu menenangkan hujung saraf yang sedang mengalami sensasi terbakar.14

#2. Pencegahan jangkitan sekunder pada luka

Oleh sebab penyembuhan luka bagi pesakit diabetes mungkin memerlukan perhatian yang lebih, adalah penting untuk menjaga integriti kulit bagi mengelakkan kesakitan bertambah akibat jangkitan bakteria.

Pastikan kawasan bintik air sentiasa bersih dan jangan memecahkannya secara sengaja.

Gunakan losyen calamine atau mandian yang sejuk untuk mengurangkan kegatalan tanpa menggores kulit.15

#3. Penggunaan analgesik khusus saraf

Kesakitan kayap adalah kesakitan neuropatik yang mungkin tidak berkesan dengan ubat tahan sakit biasa. 

Doktor mungkin mempreskripsi ubat seperti gabapentin yang terbukti secara klinikal dapat meredakan isyarat kesakitan saraf yang kronik.16

Nampak tanda awal kayap? Pesakit kencing manis wajib jumpa doktor segera!

kaki kencing manis
Kemunculan ruam kulit antara tanda jangkitan kayap.

Simptom awal kayap selalunya bermula dengan:17

  • Rasa pedih
  • Kulit sensitif pada satu sisi badan
  • Rasa panas, mencucuk, menyengat atau kesemutan

Bagi pesakit diabetes khususnya mereka dengan keadaan kaki kencing manis yang teruk dan mengalami kaki kebas, tanda awal sebegini perlu diberi perhatian serius kerana:

  • Ia boleh disalah anggap sebagai tanda tanda kencing manis pada kaki
  • Rawatan antiviral yang dimulakan awal boleh mengurangkan risiko komplikasi saraf
  • Stres akibat kayap boleh meningkatkan paras gula buat sementara

Berjumpa doktor lebih awal membolehkan:

  • Pengesahan diagnosis sama ada ia kayap atau neuropati
  • Rawatan antiviral dimulakan secepat mungkin
  • Pemantauan paras glukosa yang lebih ketat
  • Strategi mengurus kesakitan dan penyembuhan saraf

Selain rawatan, amalan seperti tidur mencukupi, mengurangkan stres dan mengawal pengambilan gula juga membantu meningkatkan kesihatan pesakit.18 

Namun perlu diingat bahawa langkah-langkah ini bukan untuk mencegah kayap, tetapi untuk menyokong proses pemulihan saraf.

Dapatkan nasihat doktor untuk memahami dengan lebih jelas tentang jangkitan kayap.

*Semua kandungan dihasilkan oleh Hello Doktor

Program pendidikan ini dibawakan kepada anda oleh GSK.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi doktor anda.

GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd 195801000141(3277-U)

©2026 syarikat kumpulan GSK.

NP-MY-HZU-WCNT-250002 04/26

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/04/2026