Selain gula, lemak dan karbohidrat, pesakit diabetes juga perlu kawal pengambilan protein dalam diet tidak kita ia adalah protein haiwan atau protein tumbuhan.
Secara tidak langsung, penyataan ini telah menimbulkan persoalan iaitu yang mana satu lebih baik di antara kedua-dua jenis protein buat pesakit kencing manis.
Jangan risau kerana kami mungkin ada jawapannya. Jom teruskan membaca artikel untuk tahu!
Apa kaitan protein dengan diabetes?
Untuk pengetahuan anda semua, mereka yang ada diabetes masih perlu ambil protein dalam diet namun ia perlulah daripada kumpulan protein yang ideal dan sesuai.
Tujuan pengawalannya adalah demi memastikan kesihatan sistem kardiovaskular pesakit kencing manis kerana ia adalah salah satu daripada komplikasi penyakit ini.
Pengambilan protein yang baik atau tidak ini mungkin akan menjadi kunci utama di dalam usaha mengelakkan komplikasi berkaitan sistem kardiovaskular penderita.
Pun begitu, inilah yang mungkin akan jadi masalah kerana tidak ramai pesakit diabetes itu tahu akan jenis protein mana perlu dielak atau diambil oleh mereka.
Disebabkan itu, kajian yang akan kami huraikan di bawah ini adalah sangat penting buat anda!
Kajian tentang protein haiwan & protein tumbuhan
Menurut sebuah kajian yang dijalankan terhadap 44 pesakit diabetes jenis 2 selama 6 minggu, didapati bahawa pengambilan protein dalam diet mereka adalah kunci yang utama.
Untuk lebih mendalam lagi, pengkaji mendapati bahawa kedua-duanya mungkin tidak sama!
Dapatan tentang protein haiwan…
Protein dari haiwan dilaporkan mampu membantu mengawal berat badan dan kadar gula dalam darah namun mungkin menyebabkan kerintangan insulin.
Selain itu, ia juga mampu menurunkan kadar asid urik yang boleh jadi punca kondisi lain seperti penyakit buah pinggang, batu karang, gout dan lain-lain.
Dapatan tentang protein tumbuhan…
Protein dari tumbuhan dilaporkan mampu membantu sistem metabolik selain mengurangkan risiko episod serangan kardiovaskular akibat kencing manis.
Selain itu, ia juga mampu meningkatkan kadar tekanan darah diastolik dan HbA1c yang tidak akan berlaku jika pesakit mengambil protein dari sumber lain.
Apa persamaan di antara kedua-duanya?
Sebenarnya, terdapat lebih banyak persamaan berbanding perbezaan di antara kedua-dua jenis protein haiwan dan tumbuhan ini terhadap pesakit diabetes.
Pertama sekali, dilaporkan bahawa kedua-duanya akan meningkatkan tahap metabolik serta dalam masa yang sama juga menjadi pencetus kepada pelbagai faktor risiko kardiovaskular.
Dalam pada itu juga, didapati bahawa pengambilan kedua-dua jenis protein ini akan mengurangkan kadar kolesterol jahat (LDL) serta tekanan darah sistolik.
Bukan itu sahaja, pengambilan kedua-dua protein haiwan dan tumbuhan juga akan mengurangkan kadar pembuangan urin albumin pesakit kencing manis.
Ini jelas membuktikan bahawa sebenarnya tidak begitu banyak perbezaan pengambilan jenis-jenis protein yang dibandingkan terhadap pesakit diabetes.
Jadi, mana satu protein yang lebih baik?
Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, sebenarnya tidak begitu banyak perbezaan pengambilan 2 jenis protein ini terhadap pesakit diabetes.
Kedua-dua protein ini mungkin akan membawa pro dan kontra yang agak serupa lantas menjadikan ia adalah suatu pilihan yang agar sukar untuk ditentukan.
Pun begitu, kajian tersebut juga telah menyatakan apa yang jauh lebih penting di dalam peratusan pengambilan kelas nutrisi di dalam diet pesakit iaitu:
- 30% kalori dari lemak
- 40% kalori dari karbohirat
- 30% protein haiwan atau protein tumbuhan atau gabungan kedua-duanya
Ini bermakna bahawa jenis protein itu sendiri bukanlah satu isu besar asalkan anda masih ambil kelas nutrisi ini di dalam kuantiti dan kualiti yang tepat.
Dari mana untuk ambil sumber protein?
Meskipun kami kata bahawa anda mungkin bebas untuk ambil protein daripada kedua-dua jenis tidak kira haiwan atau tumbuhan, namun anda masih perlu berwaspada.
Ini kerana kuantiti serta kualiti jenis protein haiwan atau tumbuhan itu adalah sangat penting. Berikut adalah contoh sumber protein yang bagus buat anda.
Contoh sumber terbaik dari haiwan:
- Daging lembu
- Daging ayam
- Ikan salmon
- Ikan tuna
- Telur
- Yogurt
- Kerang
Contoh sumber terbaik dari tumbuhan:
- Tempe
- Kacang hijau
- Kacang pis
- Brokoli
- Bayam
- Asparagus
- Ubi kentang
Ini hanyalah sekadar contoh dari mana anda boleh ambil sumber protein sama ada dari jenis haiwan atau tumbuhan dan ia juga mungkin kurang tepat.
Disebabkan itu, anda disarankan untuk berjumpa dan berbincang dengan lebih lanjut bersama doktor tentang diet pemakanan anda jika ada diabetes.
[embed-health-tool-bmi]