Selain memerhatikan simptom diabetes, anda juga mungkin perlu lakukan beberapa ujian makmal untuk melihat bacaan kencing manis dan mengetahui bacaan normal kencing manis anda.
Ini yang diperlukan untuk mendiagnosis diabetes jenis 2.
Tujuan ujian makmal dilakukan adalah untuk melihat kepada penanda gula darah anda. Ujian ini amat penting memandangkan ada sesetengah individu yang mempunyai simptom yang tidak disedari atau tidak jelas kelihatan.
Selain itu, ia juga untuk menentukan sama ada simptom yang dialami tersebut adalah benar-benar disebabkan oleh diabetes jenis 2, bukannya simptom bagi keadaan kesihatan yang lain.
Untuk mendiagnosis dan mendapatkan bacaan diabetes jenis 2, anda mungkin perlu melakukan beberapa ujian seperti ujian hemoglobin A1C, puasa gula darah (FPG) atau ujian toleransi glukosa oral (OGTT).
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Ujian untuk mendapatkan bacaan kencing manis
Berikut adalah ujian-ujian yang sering dilakukan untuk mendapatkan bacaan kencing manis bagi penghidap diabetes jenis 2. Ia akan menentukan sama ada bacaan tersebut adalah bacaan normal diabetes atau tidak.
#1. Puasa gula darah atau ringkasnya FPG
Puasa gula darah merupakan salah satu ujian untuk mendapatkan bacaan kencing manis seseorang individu. Ia digunakan untuk menentukan sama ada anda mempunyai diabetes atau pradiabetes.
Ujian ini akan dilakukan setelah anda berpuasa selama beberapa jam, biasanya dalam tempoh 8 jam.
Bagi yang menjalani ujian FPG ini, anda dinasihatkan untuk tidak makan atau minum apa-apa jenis makanan dan minuman kecuali air kosong sebelum ujian dilakukan.
Darah akan diambil daripada lengan anda semasa prosedur ujian ini dilaksanakan. Ujian pula biasanya akan dilakukan pada waktu pagi sebelum anda mula makan setelah 8 jam berpuasa.
Hasil bacaan kencing manis melalui FPG
Hasil bacaan diabetes adalah seperti berikut:
- Bacaan normal diabetes: kurang daripada 110 mg/dl (6.1 mmol/L)
- Bacaan untuk pradiabetes: 110 mg/dl sehingga 125 mg/dl (6.1 – 6.9 mmol/L)
- Bacaan untuk diabetes: 126 mg/dl atau lebih tinggi (7.0 mmol/L)
#2. Ujian bacaan kencing manis hemoglobin A1c atau ringkasnya A1C
Ujian ini adalah antara ujian bacaan diabetes yang paling kerap dilakukan untuk mengesan diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2.
Selain itu, ia juga digunakan untuk melihat perkembangan semasa pengurusan kencing manis anda. Ujian ini mempunyai pelbagai nama seperti hemoglobin A1C glycated hemoglobin, glycosylated hemoglobin, dan HbA1c.
Hasil keputusan ujian ini menunjukkan purata tahap gula darah tubuh badan anda bagi tempoh 2 hingga 3 bulan yang lalu. Ujian A1C mengukur peratusan hemoglobin darah anda.
Hemoglobin ialah sejenis protein yang berada dalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen kepada sel tubuh.
Hemoglobin ini disaluti dengan gula. Jika semakin tinggi tahap A1C anda, itu bermaksud bahawa anda tidak menguruskan gula darah dengan baik dan berpotensi mendapat komplikasi berkaitan penyakit diabetes.
Hasil ujian juga digunakan untuk menentukan sama ada anda dikesan mempunyai pradiabetes atau tidak. Jika anda mempunyai pradiabetes, maka risiko untuk mendapat diabetes dan penyakit kardiovaskular adalah tinggi.
Kekerapan melakukan ujian A1C
Kekerapan melakukan ujian ini adalah bergantung kepada tahap diabetes anda. Berikut adalah cadangan bilangan untuk anda melakukan ujian A1C:
- Sekali dalam setahun sekiranya anda mempunyai pradiabetes
- Dua kali dalam setahun sekiranya anda mempunyai diabetes jenis 2, tetapi tidak menggunakan suntikan insulin dan paras gula darah anda sentiasa berada pada julat sasaran anda
- 4 kali dalam setahun sekiranya anda menghidap penyakit diabetes jenis 1
- 4 kali dalam setahun sekiranya anda menghidap diabetes jenis 2, menggunakan suntikan insulin atau sukar untuk memastikan paras gula darah anda berada dalam julat sasaran
Baca juga: